Hi! Welcome Back and Stay Tune! Polis tumpaskan geng samun bersenjata - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Polis tumpaskan geng samun bersenjata

BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya menumpaskan geng samun bersenjata, pecah rumah dan curi kenderaan yang aktif di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di sini selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di Machang Bubok, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis membuat pemeriksaan di rumah itu pada 12.45 tengah malam tadi dan menahan dua lelaki berusia 24 dan 29 tahun.

“Pemeriksaan dalam rumah yang didiami lelaki berusia 29 tahun itu, polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil curi antaranya sejumlah anak kunci, pelbagai beg, peralatan elektrik, resit pajak gadai, barangan kemas, lima utas jam tangan pelbagai jenama dan tiga telefon bimbit.

“Selain itu, polis turut merampas 34 pemetik api dan 12 kotak rokok dipercayai hasil samun dari kedai serbaneka. Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai terlibat kes samun bersenjata di kedai serbaneka sejak beberapa bulan lepas,” katanya di sini hari ini.

Katanya polis turut menemui sebuah beg galas mengandungi pelbagai senjata yang dipercayai digunakan dua lelaki itu dalam menjalankan aktiviti jenayah mereka antaranya parang, pisau, topeng muka, pemotong besi dan besi boleh laras.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya juga menemui sebuah van yang dilaporkan hilang di Alma pada Selasa dan pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui pelbagai barangan dipercayai baru dicuri hasil pecah rumah antaranya dapur gas, pendingin hawa, mesin menyimpan duit, peralatan elektrik dan sebatang kuku kambing.

Katanya, selain aktif menjalankan kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah sejak awal tahun ini, dua lelaki itu turut terlibat dengan aktiviti curi kenderaan terutama motosikal.

“Dalam operasi itu polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135 LC yang dipercayai dicuri dan pelbagai komponen kenderaan dipercayai telah dileraikan untuk dijual,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis percaya dua lelaki itu terlibat lebih 10 kes samun bersenjata, pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah SPT dan pihaknya percaya mereka juga aktif di daerah lain.

Katanya, dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Bernama



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.