Tony Fernandes minat bantu bola sepak Malaysia
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes membayangkan kesediaannya untuk membantu perkembangan bola sepak Malaysia.
Menyatakan pembabitan itu tidak semestinya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebaliknya dalam bentuk lain yang ditentukan oleh persatuan berkenaan.
“Sekiranya saya diminta membantu bola sepak Malaysia, saya akan bantu,” kata Tony kepada pemberita pada majlis penghargaan AirAsia kepada pemenang pingat temasya Paralimpik Rio.
“Dan jika saya boleh tolong, sudah tentu saya akan tolong. Ia terpulang kepada persatuan itu (FAM) bagaimana mereka mahu saya bantu,” tambahnya.
Tony pernah menaja pasukan Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers.
Tony yang mengakui melihat bola sepak Malaysia sejak berumur lima tahun di kejohanan Piala Merdeka berkata, beliau amat meminati bola sepak.
“Saya cinta akan bola sepak, masanya masih panjang dan biar kita lihat jika orang mahukan saya dan biar kita lihat jika saya dapat menyumbang,” katanya.
Pada majlis itu, Air Asia menghadiahkan penerbangan percuma kepada pemenang pingat Paralimpik dari negara Asean.
“Sekali lagi atlet Asean telah membanggakan rantau ini dengan menunjukkan bahawa kita boleh menjadi pencabar yang hebat di peringkat dunia,” kata Tony.
Tiga pemenang pingat emas negara yang menerimanya ialah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) yang menerima penerbangan percuma seumur hidup.
Pemenang pingat gangsa tunggal negara, Siti Noor Radiah dalam acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) pula menerima penerbangan percuma selama tiga tahun.
Penerima juga diberikan kad AirAsia BIG edisi khas yang berwarna emas, perak dan gangsa yang membolehkan mereka terbang ke lebih 120 destinasi yang diliputi rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X termasuk Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment