Sri Aman bukan sekadar Pesta Benak, banyak “produk sejarah” lain mampu tarik pelancong
SRI AMAN: Selain Pesta Benak sebagai produk pelancongan, Sri Aman yang kaya sejarah dapat menggunakan tapak bersejarah di Bahagian itu sebagai daya tarikan kehadiran pelancong.
Menurut Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem melalui teks dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, “bandar ini mempunyai lokasi bersejarah seperti Kubu Alice yang dipulih menjadi Muzium Warisan Sri Aman dan mempamer pelbagai bahan sejarah tempatan di sini.
Bercakap pada Majlis Penangguhan Pesta Benak Sri Aman 2016 pada Ahad, Uggah berkata, “kawasan ini juga mempunyai beberapa tempat menarik seperti Gereja Mount Hosana, rumah panjang kaum Iban di Lubok Antu, Taman Negara Batang Ai dan Taman Hidupan Liar Lanjak-Entimau yang boleh dipromosi kepada pelancong.”
Adenan menyifatkan Sri Aman bukan lagi bandar terpinggir berikutan program transformasi luar bandar merapatkan bandar ini melalui jaringan prasarana yang baik dengan bandar lain.
Mengaitkan pembangunan Sri Aman dengan faedah Lebuh Raya Pan Borneo, Adenan berkata Pan Borneo akan memberi suntikan hebat kepada negeri ini dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.
“Kerajaan berharap rakyat dapat menggunakan peluang mengangkat status ekonomi tempatan apabila Lebuh Raya Pan Borneo ini siap,” kata Adenan.
Pada majlis tersebut, Uggah mengumumkan peruntukan RM50,000 dihulurkan kepada Jawatankuasa Penganjuran Pesta Benak Sri Aman 2016. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment