Hi! Welcome Back and Stay Tune! PAS dulu pernah bekerjasama dengan UMNO, sampai kena pecat? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

PAS dulu pernah bekerjasama dengan UMNO, sampai kena pecat?

PAS dulu pernah bekerjasama dengan UMNO, sampai kena pecat?

Makin dekat kita dengan pilihanraya, makin banyak orang tanya – adakah UMNO akan bekerjasama dengan PAS? Annuar Musa dari UMNO kata macam boleh, Tuan Ibrahim dari PAS pulak kata jangan perasan.

Tapi korang tau tak yang lama dulu, PAS dan UMNO memang dah pernah try duduk semeja? Tapi tak lama pun, sebab pada 13 Disember 1977, PAS kena pecat dari Barisan Nasional. Alamak baru je couple dah terus clash. Apa yang jadik sebenarnya? Benda ni la yang menarik untuk kita bincangkan.

Ok sebelum kita cerita kenapa dorang clash, kita kena tau dulu kenapa dorang couple. Semuanya bermula bila…

Lepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, perpaduan Melayu perlu diwujudkan

Pada tahun 1972, Tun Razak mula menyuarakan cadangan bagi Kerajaan Perpaduan Perikatan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Perkara sama disuarakan Dato’ Asri Muda (Dipertua Agung PAS) dalam Mensyuarat Agung PAS pada tahun yang sama (sumber dari

Dato Asri menyambut ketibaan Tun Razak, 1971. Imej dari helenang.wordpress

Ada beberapa sebab kenapa Kerajaan Campuran Perikatan-PAS diperlukan termasuklah:

  1. Untuk menguatkan perpaduan umat Islam dan Melayu selepas peristiwa 13 Mei 1969.
  2. Perpaduan masyarakat diperlukan untuk menghadapi Komunis, lebih-lebih lagi bila Amerika Syarikat berundur dari Vietnam.
  3. Membangunkan bangsa Malaysia dengan pandangan hidup Islam.
  4. Akibat perpecahan Gerakan Rakyat Malaysia & DAP masa tu buatkan MCA kuat dan UMNO terpaksa satukan Melayu di luar Perikatan untuk mengimbangi MCA.

Banyak reaksi dari perwakilan PAS tentang cadangan ni, ada yang setuju dan ada jugak yang bantah. Mejoriti perwakilan yang setuju, bagi syarat PAS boleh berkerjasama kalau tak korbankan prinsip parti tu. Tapi masih ada yang tak setuju macam wakil dari Sabak Bernam, Kuala Langat, Arau Kurung Anai dan Kampong Gajah.

“Telah sekian lama kita marah kepada Perikatan kerana merugikan perjuangan Islam dan bangsa Melayu, sekarang hendak berunding pula” – Wakil Kuala Langat, dipetik dari PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982, p251.

Undian dibuat, dan ramai perwakilan PAS menyokong kerjasama ini

Setelah cadangan ini dibincang dan diperdebatkan, akhirnya perwakilan PAS buat keputusan dengan 190 undi menyokong, 94 undi membantah dan 19 undi berkecuali. Allahyarham Nik Aziz yang ketika itu Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dah ditanya tentang hukum kerjasama ini.

“Sementara berikat (bergabung) dengan orang-orang bukan Islam adalah diharamkan, bercampur adalah diharuskan sekiranya percampuran itu disertai dengan syarat-syarat yang boleh menjamin keutuhan syakhsiah (kepribadian) parti-parti yang bercampur itu” – Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, dipetik dari PAS Dalam Era Mohd Asri Muda, 1965-1982, p253.

Imej dari idealismalaysia.blogspot

PAS akhirnya tetapkan beberapa syarat dalam Kerajaan Campuran itu:

  1. Menerima syariat Islam sebagai sumber perundangan.
  2. Tak buat Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum tamat tempoh Parlimen.
  3. Perbaiki kelemahan dalam Perlembagaan Persekutuan.
  4. Menghapuskan diskriminasi antara rakyat

3 orang jugak dipilih mewakili PAS dalam kerajaan campuran tersebut iaitu Dato’ Asri Muda (Di-Pertua Agung PAS), Hasan Adli Arsyad (Timbalan Di-Pertua Agung PAS) dan Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Agung PAS).

Akhirnya pada 28 Disember 1972, berlaku pertemuan antara Asri dan Tun Razak dan pada 1 Januari 1973 kerajaan campuran Perikatan-PAS pun terbentuk.

“Sekalipun ada pandangan dari Tun Dr Ismail agar kerjasama antara PAS dan UMNO tu biarlah setakat Kelantan sahaja, namun pandangan itu hanyalah sekadar seimbas lalu semata-mata dan akhirnya persetujuan telah dicapai untuk berkerjasama pada semua peringkat.” – Memoir Politik Asri, p91

Apa yang lebih menarik, menurut buku, Memoir Politik Asri: Meniti Arus (ditulis oleh Dato’ Asri), nama Perikatan ditukar kepada Barisan Nasional (BN) pada 1974 atas cadangan Dato Asri sendiri.

Tapi baru je buat Kerajaan Campuran, masalah dah mula timbul

Walaupun Kerajaan Campuran hasil daripada kerjasama Perikatan dan PAS dah terbentuk, tapi masih ada lagi yang tak puas hati dengan kerjasama ni. Dilaporkan yang hanya seorang wakil PAS Kedah dilantik dan takde seorang pun wakil PAS Terengganu diilantik dalam agensi kerajaan seperti mana yang pernah dijanjikan.

Ada jugak dakwaan yang kata ahli PAS kat Kelantan mula disisihkan. Selain tu, dikatakan jugak takde kerjasama antara Menteri Besar Terengganu dan Negeri Sembilan dengan ahli-ahli PAS kat negeri masing-masing.

Tapi keadaan mula tegang bila berlaku perselisihan pendapat antara Yusuf Rawa (Naib Yang Dipertua Agung PAS) dengan  Abdul Kadir Yusof (Peguam Negara) dalam isu pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia. Tapi Asri waktu anggap semula benda ni bersifat sementara kerana kedua kedua pihak masih lagi kurang faham dengan tanggungjawab masing-masing. (Rujuk Fail PDF)

PAS jugak masa tu ada krisis keyakinan terhadap pimpinan Asri Muda bila anak saudaranya yang jugak Menteri Besar Kelantan, Ishak Lotfi Omar dituduh terlibat dalam salah guna kewangan negeri. (Rujuk Fail PDF)

Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar jadi MB Kelantan pada (1959-1964) & (1973-1974).

Ada ahli PAS yang tak puas hati dengan agihan kerusi PRU 1974

Perikatan buat kali pertamanya bertanding dengan nama Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 1974. Walaupun PAS bertanding atas tiket BN, tapi masalah mula timbul bila ada sebahagian ahlinya yang tak puas hati dengan agihan kerusi. Perkara tu dah disuarakan oleh ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Masa tu jugak muncul satu kumpulan yang dikenali sebagai  ‘Bebas Bersatu’ yang menentang pimpinan Ishak Lotfi Omar di Kelantan dan kerjasama PAS-Perikatan. Mereka yang sertai kumpulan ni akhirnya bertanding dalam PRU 1974 sebagai calon-calon bebas. Tapi malangnya, diorang tak menang satu kerusi pun.

Dato’ Asri Muda masa bertugas. Imej dari buletinonline.net

Walaupun selepas pilihan raya, rasa tak puas hati ahli PAS terhadap kerajaan campuran masih lagi ada. Antaranya adalah apabila diorang dakwa yang PAS gagal mempengaruhi UMNO untuk memasukkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara. Pemimpin UMNO jugak didakwa tak hormat pada PAS.

Keadaan semakin goyah, bila ada wakil dari Dewan Pemuda PAS yang mendesak PAS keluar dari Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, Asri Muda ketika tu cuba menenangkan keadaan dengan kata yang segala masalah akan dapat diselesaikan. (Rujuk Fail PDF)

Krisis Menteri Besar Kelantan yang membawa kepada rusuhan

Lepas BN menang dalam PRU 1974, ada dua nama yang dicadangkan untuk jadi Menteri Besar Kelantan. Ia adalah Dato’ Mohamad Nasir dan Wan Ismail Ibrahim, kedua-dua mereka ni dari PAS. Tapi apa yang jadi masalah, bila nama Mohd Nasir dicadangkan oleh UMNO dan Wan Ismail oleh PAS.

Tindakan PAS yang cadangkan nama Wan Ismail ketika tu dapat bantahan dari 2 orang kuat UMNO Kelantan iaitu Tengku Razaleigh dan Abdullah Ahmad. Mereka berdua masa tu dikatakan dah pengaruhi Tun Razak supaya pilih Mohd Nasir jadi MB.

Datuk Muhamed bin Nasir. Imej dari Wikipedia.

Tindakan UMNO dianggap membelakangkan Badan Perhubungan PAS Kelantan yang patut dibagikan kuasa penuh dalam hal ehwal politik Kelantan. Tapi akhirnya, Dato’ Asri terima desakan UMNO tu dan Mohd Nasir dilantik jadi MB Kelantan, manakala Wan Ismail jadi Timbalan Menteri Besar.

Pelantikan Mohd Nasir ni, dah buatkan ahli PAS Kelantan makin tak puas hati dengan UMNO dan BN. Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS pun mula rasa tak puas hati bila diorang kata yang Mohd Nasir ni bersikap:

  1. Mengutamakan ahli-ahli UMNO dari PAS
  2. Suka buat janji besar yang susah ditunaikan
  3. Sikapnya yang tak endahkan keputusan parti

Akibat dari konflik ni, akhirnya Mohd Nasir serahkan surat letak jawatan pada 20 Nov 1976. Peletakan jawatan ni sepatutnya berkuat kuasa pada 31 Ogos 1977, tapi Mohd Nasir masih tak letak jawatan sebab ada masuk campur UMNO. PAS seterusnya ambil tindakan tegas dengan memecat Mohd Nasir pada 10 Oktober 1977 dan undi tak percaya diadakan pada 15 Oktober 1977 untuk menyingkirkannya dari jawatan Menteri Besar.

Keadaan luar Dewan Undangan Negeri Kelantan masa undi tak percaya dibuat. Imej dari sokmo.net

Akibat dari undi tak percaya tu, berlaku demonstrasi dan rusuhan di Kota Bahru. Demonstrasi tu diketuai satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Barisan Bertindak Rakyat Kelantan’ yang dikatakan dipimpin oleh Ibrahim Ali.

Disebabkan peristiwa tu, perintah berkurung dah dikeluarkan di Kelantan dan ada cadangan untuk mendaruratkan Kelantan. Maka bermulalah satu lagi krisis antara PAS dan UMNO dalam Kerajaan Campuran Barisan Nasional. (Rujuk Fail PDF)

Kedaan masa demonstrasi. Imej dari sokmo.net.

PAS tak setuju cadangan mendaruratkan Kelantan

Rusuhan ni sampai ke kemuncaknya apabila perusuh menyerang rumah Wan Ismail (Tim Menteri Besar Kelantan) pada 22 Oktober 1977. Akibat daripada rusuhan tu, Dr Mahathir (ketika tu Timbalan Perdana Menteri) dah mencadangkan supaya Kelantan didaruratkan.

Walaupun begitu, PAS tak setuju dengan cadangan tu sebab keadaan kat Kelantan masa tu masih dianggap terkawal dan mereka jugak taknak Kerajaan Kelantan jadi ‘Kerajaan Boneka’ yang dikuasai UMNO secara tak demokratik.  Tapi Dato’ Hussein Onn (ketika tu Perdana Menteri) bertegas mahukan Kelantan didaruratkan dan bagi tempoh kat PAS sampai 7 November 1977 untuk bagi jawapan.

Tun Hussein Onn & Dr Mahathir Imej dari peribadidrmahathir.blogspot.

PAS masih bertegas dengan pendirian mereka hinggalah cadangan ni dibawa ke Parlimen. Dato’ Hussein Onn dalam ucapannya berkata yang 288 tangkapan dah dibuat sejak rusuhan ni berlaku.

“Pihak kominis, puak pelampau, anti-nasional dan anasir-anasir jahat yang akan mengancam keselamatan bukan sahaja di Negeri Kelantan bahkan di seluruh negara kita. Kemungkinan ini menjadi lebih serius disebabkan oleh sempadan bersama dengan Negeri Thai.” – Dato’ Hussein Onn, dipetik dari sokmo.net.

Dato’ Asri dalam ucapannya pulak, mendakwa yang rusuhan tu berlaku disebabkan oleh rancangan pihak tertentu. Dia jugak jelaskan kenapa semua menteri PAS dalam BN meletakkan jawatan.

“Saya dan rakan-rakan saya terpaksa keluar daripada Jemaah Menteri atau Kerajaan ialah kerana hendak mencari keadilan. Saya hendak menjaga nama baik Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang, supaya jangan saya berdiri di kerusi Menteri itu bercakap menentang Perdana Menteri sendiri.” – Dato’ Asri Muda, dipetik dari sokmo.net.

Hasilnya, ahli Parlimen PAS ambil keputusan tolak Rang Undang-Undang tersebut dengan 12 daripada 14 wakil rakyat PAS mengundi menentang. Akibatnya, Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 dah arahkan PAS supaya pecat keahlian ahli-ahli Parlimen PAS yang undi menentang cadangan darurat ini. Masa yang diberikan sehingga 17 Disember 1977, kalau PAS gagal ikut arahan tu, PAS akan dipecat dari BN.

Tapi PAS tak peduli dengan arahan tu. PAS jugak masa tu dah buat satu tindakan drastik dengan memecat Timbalan Yang Di-pertua Agung PAS, Ustaz Datuk Haji Hassan Adli sebab undi menyokong cadangan darurat.

Dato’ Haji Hassan Adli pernah menang dalam PRU 1978, sebagai calon Bebas. Imej dari zabidin13.wordpress

Akhirnya, PAS ambil keputusan yang parti tu memang dah dipecat dari BN pada 13 Disember 1977 dan tak payah tunggu sampai 17 Disember 1977. Maka tersingkirlah PAS dari BN dan menjadikan parti sebagai parti pembangkang semula.

Boleh ke PAS dan UMNO berkerjasama kembali?

Imej dari kluangtoday.com

Isu kerjasama antara PAS dan UMNO ni sememangnya dah lama diperkatakan sejak beberapa tahun lepas. Tapi isu ni mula senyap bila Tuan Guru Nik Aziz (Allahyarham) tak setuju dengan cadangan menggabungkan PAS dan UMNO.

Bagaimanapun, hari ni mungkin pendirian PAS mula berbeza bila bercakap soal kerjasama dengan UMNO. Baru-baru ni Ketua Pemuda Pas, Nik Mohammad Abduh dah mengaku yang ada kerjasama antara PAS dan UMNO untuk membawa Rang Undang-Undang 355 ke Dewan Rakyat.

Beliau jugak sebelum ni pernah kata yang PAS dan UMNO takkan rugi apa-apa sekiranya berkerjasama atas nama Islam. PAS jugak sekarang nampaknya dah bawa pendekatan ‘Politik Matang dan Sejahtera’ dalam politiknya.

Sama ada UMNO dan PAS akan berkerjasama lagi atau tak di masa akan datang. Semuanya hanya akan ditentukan oleh kedua-dua parti ni. Mungkin kita akan dapat tengok suasana poltik baru lepas PRU 14 nanti.

(Nota: Artikel ini akan banyak merujuk pada: PAS dalam era Mohd Asri Muda, 1965-1982 tulisan Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff) dan Memoir Politik Asri: Meniti Arus tulisan Dato’ Asri Muda.)



Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2gTnPJA

a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.