Hi! Welcome Back and Stay Tune! Larangan ceramah berlaku sejak zaman sebelum merdeka lagi. Kenapa? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Larangan ceramah berlaku sejak zaman sebelum merdeka lagi. Kenapa?

Larangan ceramah berlaku sejak zaman sebelum merdeka lagi. Kenapa?

Kat Malaysia ni, ceramah agama dan orang Melayu memang tak boleh dipisahkan. Terutamanya pada pakcik-makcik yang dah pencen dan selalu solat berjemaah kat surau atau masjid. Kalau yang muda-mudi pulak, selalunya diorang tengok ceramah kat Youtube je…

Tapi masalah mula timbul bila ada penceramah yang tak dibenarkan masuk negeri-negeri tertentu sebab takde tauliah. Sampaikan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pun pernah kena tangkap sebab bagi ceramah takde tauliah kat Selangor. Tauliah ni apa benda? Kejap lagi kami cerita.

Baru-baru ni, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad didenda RM2,900 oleh mahkamah sebab bersalah bagi ceramah tanpa tauliah kat satu surau di Klang, Selangor. Kesan dari hukuman tu, Khalid mungkin akan hilang kelayakannya sebagai ahli parlimen. Jadi nampaknya serius jugak undang-undang yang melarang berceramah tanpa tauliah ni.

Dr Maza masa ditahan JAIS sebab bagi ceramah takde tauliah kat sebuah banglo di Hulu Klang. Imej dari bumiyang.blogspot

Oleh itu, mari kita ambil tahu kenapa undang-undang ini diperkenalkan dan sejak bila sebenarnya larangan bagi ceramah ni bermula.

Dari zaman sebelum merdeka lagi, dah ada larangan ceramah apabila golongan mufti berselislih dengan Kaum Muda

Walaupun negara kita hanya merdeka pada 1957, tapi sebelum itu kita sudah ada institusi agama penting yang dikenali sebagai mufti. Tugas mufti ni sangat penting iaitu sebagai penasihat agama kepada sultan dan negeri. Mufti jugak bertanggungjawab dalam memberikan pendapat dalam hukum hakam dan mengeluarkan sesuatu fatwa.

Oleh itu, kalau kita tengok balik sejarah, sejak awal 1900an telah muncul golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda‘. Mereka ini jugak terkenal sebagai penggerak gerakan ‘islah’ atau pembaharuan yang dipengaruhi oleh reformis-reformis Islam dunia seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh.

Di Nusantara pulak, ramai mereka yang membawa pemikiran ini seperti Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin (di Tanah Melayu). Manakala di Indonesia, terkenal dengan nama seperti Hamka dan Sheikh Abdul Karim Amrullah atau Haji Rasul (bapa Hamka). Mereka ini ditentang hebat oleh golongan ulama tradisional atau ‘Kaum Tua’.

HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Haji Abdul Karim Amrullah. Imej dari wasatonline.wordpress

Kerana itulah bila Haji Rasul nak datang ke Tanah Melayu pada 1916. Kedatangannya tu ditentang oleh mufti-mufti di Tanah Melayu. Ini kerana mereka dituduh sebagai wahabi dan sesat.

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafie.” – Hamka, Ayahku, m/s 160.

Perkara ini tak terlepas kepada ulama reformis di Tanah Melayu macam Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Sheikh al-Hadi sendiri terpaksa menutup madrasahnya kat Bandar Kaba, Melaka selepas pemikirannya tak dapat diterima oleh ulama Kaum Tua dan dia jugak diugut oleh orang yang tak puas hati dengannya. Malah buku, karya dan majalah Kaum Muda jugak dilarang masuk ke beberapa buah negeri negeri Melayu.

Dua orang tokoh pembaharuan Melayu. Imej dari Penang Travel Tips & Daulah Rakyat.

Sebenarnya golongan Kaum Tua ni ada pengaruh sebab diorang berkuasa kat pejabat kadi dan mufti. Maka dengan itu Hamka dah tulis satu surat yang bertajuk “Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor”. Surat ni ditulis sebab nak jawab tuduhan Mufti Johor ketika itu yang tuduh gerakan Kaum Muda ni sebagai sesat. Malah, Za’ba yang kita kenal sebagai ‘Bapa Persuratan Melayu’ jugak diharamkan tulisannya kat banyak negeri Tanah Melayu.

Kesimpulannya, larangan untuk menyampaikan ceramah dan pemikiran ni dah ada lama sejak zaman sebelum merdeka lagi. Sampai sekarang jugak, kebanyakkan mereka yang dilarang berceramah ini kerana diorang ni disyaki membawa fahaman Salafi atau Wahabi.

Surat HAMKA kepada Mufti Johor yang telah dibukukan. Imej dari roketkini & The Legend 88.

[Tentang madrasah Syed Sheikh al-Hadi itu kami merujuk buku: Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda. Boleh juga baca artikel kami pasal Reformis Melayu/Islam kat sini]

Kenapa banyak sangat institusi-institusi Islam kat Malaysia, dan apa bezanya?

Seperti yang dikatakan tadi, agama Islam diiktiraf dalam Perlembagaan sebagai agama persekutuan. Perkara ni penting sebab tak semua negara buat macam ni. Sebagai contoh Indonesia, walaupun negara tu ada umat Islam terbanyak kat dunia, negara tu tetap takde agama persekutuan.

Perkara ni ditambah lagi dengan peranan penting sultan-sultan sebagai Ketua Agama Islam kat setiap negeri mereka masing-masing. Manakala Yang di-Pertuan Agong pulak bertindak sebagai Ketua Agama Islam untuk negeri-negeri yang tak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria. Imej dari Asro Awani.

Oleh kerana tu jugaklah kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti. Tapi dengan adanya beberapa jabatan, majlis dan sebagainya ni, kadang-kadang kita rasa keliru jugak nak bezakan tugas-tugas diorang. Sebenarnya, setiap institusi ni ada tanggungjawab masing-masing dan tugas diorang pun lebih kurang sama walaupun berlainan negeri:

Majlis Agama Islam

  1. Bertanggungjawab dengan perkara berkaitan pentadbiran agama Islam atas nasihat sultan (negeri masing-masing).
  2. Menetapkan dasar-dasar berkaitan agama Islam dan orang Islam.
  3. Perkara berkaitan pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal (Selangor & Kedah ada Lembaga Zakat sendiri).

Jabatan Agama Islam

  1. Melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan Majlis Agama.
  2. Uruskan perkara berkaitan nikah cerai, dakwah, pendidikan Islam, pengurusan masjid dan sebagainya.
  3. Berkuasa memberi atau menarik tauliah dan mendakwa orang yang tak bertauliah dari berceramah mengikut undang-undang negeri masing-masing.

Jabatan Mufti

  1. Memberi nasihat kepada sultan dalam isu hukum hakam dan permasalahan umat.
  2. Bertanggungjawab dalam bidang fatwa, soal jawab agama, kiblat, falak (mengkaji ilmu astronomi).
  3. Membantu Jabatan Agama Islam dalam dakwah macam khutbah, mencerap hilal (tengok anak bulan) dan sebagainya.

Begitulah secara ringkasnya jika nak fahamkan apa fungsi setiap institusi-institusi agama Islam kat Malaysia ni. Walaupun nampak agak rumit sikit, tapi tak salah rasanya jika apa yang dilakukan tu dengan tujuan yang baik untuk Islam dan umatnya.

Hampir semua negeri ada undang-undang tauliah jika nak berceramah

Walaupun kita selalu dengar negeri Selangor yang selalu tahan orang berceramah tanpa tauliah ni. Tapi sebenarnya hampir semua negeri di Malaysia ada undang-undang dan peruntukan pasal hal ni rupa-rupanya.

Sebagai contoh negeri Johor tahun lepas dah keluarkan senarai nama penceramah yang dilarang berceramah kat Johor. Antara nama yang tersenarai adalah Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) dan Dr Fathul Bari (Exco Pemuda UMNO). Negeri Pahang pun bertindak sama dengan keluarkan waran tangkap kepada Bob Lokman (bekas pelakon dan penulis lirik) sebab bagi ceramah agama tanpa tauliah.

Dr Fathul Bari Mat Jahya. Imej dari TV14.

Sebenarnya, hampir setiap negeri kat Malaysia ni ada jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam bidang memberi dan memantau tauliah ni. Cuma nama je mungkin agak berbeza dari setiap negeri. Contohnya Jawatankuasa Tauliah (untuk Selangor & Negeri Sembilan), Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam (Terengganu) dan beberapa lagi nama jawatankuasa (boleh klik sini).

Macam mana nak dapatkan tauliah?

Perkara ni mungkin jadi persolan pada masyarakat kat luar sana. Maklumlah sekarang ni banyak rancangan ustaz/ustazah yang kita boleh nampak kat TV, selain pendakwah popular kat internet. Tapi walaupun seseorang tu dah terkenal dengan dakwah dan ceramah agamanya. Tak semestinya diorang tu boleh bagi ceramah sesuka hati diorang je.

Sebabnya, jabatan agama dah gariskan syarat-syarat tertentu yang melayakkan seseorang itu berceramah atau tidak. Mungkin kita boleh ambil dari apa yang digariskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam perkara ini. Dekat Selangor tauliah dibahagikan kepada 4 kategori iaitu:

  1. Kategori D 1: Tauliah mengajar/berceramah
  2. Kategori D 2: Tauliah mengajar Fardhu Ain (perkara yang diwajibkan pada setiap muslim)
  3. Kategori D 3: Tauliah mengajar al-Quran
  4. Kategori D 4: Tauliah Khas (contohnya perbandingan agama/perbankan Islam/ motivasi)

Boleh buat pemohonan kat setiap Pejabat Agama Islam Negeri masing-masing. Imej asal dari TV14.

Manakala, syarat-syarat wajib bagi mereka yang dibagi tauliah adalah:

  1. Bagi ceramah umum tentang agama Islam berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ (kesepakatan para ulama) dan Qias serta tak bawa fahaman / ajaran salah.
  2. Berakhlak mulia dan amanah.
  3. Tak boleh menyentuh mana-mana parti politik.
  4. Tak memfitnah saudara Islam yang lain.
  5. Patuhi undang-undang negara dan arahan dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan jawatankuasa dari semasa ke semasa.

Pada yang dah ada kad tauliah ni pulak, kad tu akan valid selama 5 tahun dan kena dibarukan 6 bulan sebelum tempohnya tu tamat. Walaupun begitu, Jawatankuasa Tauliah masih ada kuasa untuk tarik balik tauliah tu kalau penceramah tersebut melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. (Boleh klik sini untuk maklumat lanjut cara memohon tauliah kat JAIS)

Tauliah perlu ada untuk kawal fahaman yang salah

Kalau ikut kata pihak berkuasa agama di Malaysia, tauliah ini diperlukan sebab untuk kawal kemasukan ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan amalan majoriti umat Islam di negara ini. Secara amnya, ajaran yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.

Jika kita lihat dalam senarai nama orang yang dilarang berceramah kat Johor, dikatakan yang mereka ni didakwa cuba membawa ajaran yang salah dan melagakan umat Islam, termasuklah mengkafir, memfitnah dan menghina. (Klik sini kalau nak tengok senarai nama)

“Penceramah yang dilarang ini, ada antara mereka saya lihat terlalu popular di laman sosial, selain bertindak memburukkan individu lain. Hakikatnya ia satu perbuatan yang berdosa.

Mereka ini tidak sesuai di Johor, yang cuba melaga-lagakan, memfitnah, memperlekehkan ulama, dan ada unsur penghinaan.” – Abdul Mutalip Abdul Rahim, Exco Agama Johor. Dipetik dari Sinar Harian.

Imej asal dari Mynewshub.

Walaupun begitu, sudah pasti orang yang dituduh tu akan mempertahankan diri diorang. Kita jugak kena berlaku adil dengan diorang. Dr Asri (Mufti Perlis) kata semua tuduhan yang dibuat tu fitnah belaka, malah dia suruh orang nilai tulisan dan ceramahnya tu betul atau salah. Dr Fathul Bari pulak kata yang dia terkilan dengan tuduhan tersebut.

Jadinya, inilah yang mungkin menampakkan sedikit celaru dalam bab siapa yang betul dan siapa yang salah. Mungkin kita sebagai masyarakat perlu lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling kita dalam menghadapi situasi yang macam ni.

Jangan keliru. Imej dari Giphy.

Sebenarnya ada mereka yang dikecualikan dari tauliah

Walaupun memang betul setiap pendakwah yang nak berceramah kena ada tauliah, tapi nampaknya masih ada mereka yang dikecualikan dari mendapat tauliah. Menurut laporan mStar, kalau dilihat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003. Memang ada klausa ‘Pengecualian’ terhadap sesetengah pendakwah yang sebenarnya layak diberi pengecualian. 

Mereka adalah alim ulama atau tokoh agama luar negeri yang dijemput secara rasmi, mufti-mufti negeri, hakim-hakim Mahkamah Syariah dan beberapa lagi mereka yang dikecualikan dalam senarai tersebut (klik sini untuk selanjutnya).

Masa Zakir Naik datang Malaysia dulu pun ada yang bantah. Imej dari The Malay Mail Online.

Tapi, kenapa Mufti Perlis, Dr Maza boleh ditahan pulak? Perkara ni lah yang pernah dipersoalkan media dulu. Untuk menjawab persoalan ni baik kita imbas balik kenyataan yang dibuat oleh Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali (sekarang tak lagi).

“Hasan mengakui Peraturan Tauliah ada menyebut ulamak dan mufti boleh dikecualikan dari syarat berkenaan tetapi perkataan ‘boleh’ itu juga boleh menjurus kepada ‘tidak boleh’, bergantung kepada Jawatankuasa Tauliah.” –  Dipetik dari BERNAMA.

Menurut JAIS walaupun ada pengecualian, tapi mufti atau ulama mesti jugak mendapatkan permohonan daripada JAIS dan bagitau ilmu macam mana yang diorang nak sampaikan pada para jemaah. Jadi maknanya, walaupun ada pengecualian, tapi perkara itu tak tetap sebab ia jugak bergantung dengan Jawatankuasa Tauliah untuk memberi tauliah atau tidak pada seseorang penceramah.

“Contohnya, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah buat permohonan kepada JAIS untuk menyampaikan ceramah di Selangor sebelum ini.

Dengan bahasa mudahnya, jika seseorang nak masuk ke rumah orang lain, dia perlu beri salam dahulu, perlu ada adab, hormat kepada tuan rumah, bukan main masuk saja.” – Datuk Muhammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, dipetik dari Malaysiakini.

OK…faham..Imej dari Giphy.

Dapatkanlah tauliah kalau tak nak kena tangkap

Macam apa yang jadi kat Khalid Samad baru-baru ni, walaupun dia kata yang dia sebenarnya cuma bagi ceramah pasal perjalanannya kat Gaza, Palestin. Perkara tu tetap salah di sisi mahkamah. Tak dinafikan ada kemungkinan penahanan ini ada bermotifkan politik. Apa pun, kesan dari hukuman ni jugak dah buatkan Khalid Samad mungkin akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.

Jadi pada korang yang nak jadi ustaz dan ustazah tu, pergilah buat permohonan dapatkan tauliah sebelum korang berceramah tanpa tauliah dan ditangkap. Semua tu sebenarnya untuk kebaikan kita jugak, dan kawal penularan ajaran-ajaran yang menyeleweng dan sesat.

Kalau nak tahu sesuatu hukum, lebih baik rujuk Majlis Fatwa Kebangsaan. Dari kiri: Datuk Othman Mustapha (Ketua Pengarah JAKIM), Prof. Tan Sri Shukor (Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan) & Sheikh Ghazali Abdul Rahman (Ahli Panel Majlis Fatwa). Imej dari mStar.

Untuk maklumat lanjut pasal pendakwah yang disahkan bertauliah, korang boleh rujuk kat Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing (klik sini untuk senarai penceramah bertauliah kat Selangor). Akhirnya, setiap penceramah ada hak dalam membawa pemikiran dan dakwah mereka kepada masyarakat. Cumanya sesuaikanlah ia dengan kehendak undang-undang, untuk mengelakkan sebarang masalah.



Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2jPp1iV

a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.