Mahu jadi presiden PAS? Anak Hadi tersipu, terkejut
Hampir sejam temubual ketua baru Pemuda PAS berlangsung tenang tetapi suasana serius itu tiba-tiba bertukar riuh dengan gelak ketawa.
Muhammad Khalil Abdul Hadi bagaikan tidak menyangka ProjekMMO akan mengajukan soalan sama ada beliau bercita-cita menjadi presiden PAS seperti bapanya.
Wajah anak sulung Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelihatan hampir merah. Beliau hanya mampu tersenyum tersipu-sipu. Jawapannya pula tersekat-sekat.
“Yalah… [berhenti seketika]. Bagi kita daripada jadi… [berhenti lagi, dan ketawa],” katanya, yang masih tidak menyangka sama sekali soalan itu.
“Kepimpinan ini satu amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki,” katanya lancar, kemudiannya.
Setiausaha Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden yang berada di sebelah beliau ketika itu antara yang kuat ketawa.
Afnan pula anak ulama PAS dan bekas imam Masjid Negara yang pernah mewakili kerusi parlimen Baling.
Baru dipilih tanpa bertanding dalam muktamar awal Mei lalu, Khalil hampir pasti diperuntukkan satu kerusi pada pilihan raya umum akan datang atas kuota ketua Pemuda.
Namun, bekas ketua pemuda Marang, kawasan bapanya, bersikap “dengar dan patuh” dengan keputusan parti sewaktu ditanya kerusi yang mahu beliau tandingi.
“Saya serah kepada parti. Saya lebih selesa menjadi jentera yang bertugas daripada jadi calon,” katanya.
Beliau menggantikan Nik Abduh Datuk Nik Aziz, bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan, yang kini mewakili parlimen Pasir Mas.
Diasak lagi soal calon, Khalil berkata: “Saya tidak kisah, jika parti letak di mana-mana, saya terima, sami’na wa ata’na [kami dengar dan patuh].”
Dilahirkan dalam keluarga politik di Rusila, Marang, beliau tidaklah terlalu kekok dengan politik walau namanya masih baru di pentas nasional.
“Memang keluarga saya ini, keluarga politik. Bukan daripada tok guru [Abdul Hadi], tapi sebelum itu lagi.
“Arwah datuk dan moyang saya memang banyak terlibat politik, mungkin itu sedikit sebanyak mempengaruhi minat kepada politik,” katanya, sebulan lalu.
Namanya mula muncul di media apabila ditahan polis susulan kekecohan insiden mengepung bas “pengundi hantu” di kampungnya ketika pilihan raya umum 2008.
Beliau termasuk dalam kumpulan 20 lelaki, antara 15 hingga 60 tahun, yang ditahan kerana enggan bersurai, kata polis Terengganu waktu itu.
Ketika ditemu bual, Khalil mengimbau penglibatannya dengan PAS sejak berumur 13 tahun, pada 1990, yang menyaksikan kemenangan semula PAS di Kelantan.
“Masa itu saya sudah [terlibat] dalam jentera cawangan. Kita ikut tampal poster, kutip derma, dan edar risalah,” kata lulusan sarjana pengajian Islam Universiti Portsmouth, United Kingdom.
Diaju soalan berkaitan tokoh-tokoh yang dikaguminya, Khalil berkata tiada ahli politik, tempatan atau antarabangsa, yang khusus menjadi pilihannya.
Beliau lebih suka menimba pengalaman semua ahli politik, termasuk dua tokoh besar parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan bekas presiden Datuk Fadzil Noor.
“Ada orang kagum dengan Hasan al-Banna. Dia tinggal di Mesir. Ada orang bawa seratus peratus di Malaysia, jadi itu tidak sesuai, pada pandangan saya.
“[Apa] yang sesuai dengan tempat kita, kita ambil. Ada yang tidak sesuai kita ambil. Mereka orang Arab, kita orang Melayu, berbeza,” katanya, merujuk pengasas Ikhwanul Muslimin.
Khalil bagaimanapun amat mengagumi gurunya Abdul Karim Zaidan, nama yang mendorong beliau menyambung pelajaran dalam bahasa Arab dan syariah di Yaman.
“Saya tahu dia berada di Yaman. [Jadi] saya pergi ke sana walaupun dalam proses hendak sambung [belajar] ke Madinah, dan Jordan ketika itu.
“Kerana saya terlalu kagum dengan dia, saya pergi dan saya dapat banyak istifadah daripada [guru saya] itu,” kata siswazah Universiti Yamaniah.
Beliau kini menyambung pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang Islam kontemporari di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.
Sumber: Projek MMO
Sumber Mahu jadi presiden PAS? Anak Hadi tersipu, terkejut
✍ Sumber Pautan : ☕ Trending Now
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sHI5nd
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment