Rakyat Malaysia menduduki tempat ke-3 paling malas di dunia ?
Berdasarkan satu kaji selidik yang dibuat oleh penyelidik di Universiti Stanford, Amerika Syarikat, baru-baru ini, rakyat Malaysia secara purata berjalan atau bergerak 3,963 langkah sehari. Kajian berkenaan yang dibuat menggunakan aplikasi khusus pada telefon pintar merekodkan pergerakan kira-kira 700,000 orang dari 46 negara di seluruh dunia.
Projek yang dipimpin oleh Profesor Scott Delp itu pada asalnya memberi fokus kepada isu obesiti, tetapi akhirnya bertukar kepada isu malas. Dalam kata lain, jumlah purata langkah yang dibuat oleh penduduk atau rakyat di sesebuah negara kajian itu dijadikan ranking kemalasan negara berkenaan.
Maka, berdasarkan kaji selidik di 46 negara berkenaan, penduduk Hong Kong yang secara puratanya dikatakan berjalan dan bergerak sebanyak 6,880 langkah sehari dianggap negara yang mempunyai rakyat paling rajin di dunia. Ini diikuti China di mana purata rakyatnya melangkah 6,189 tapak sehari.
Dalam kalangan negara ASEAN, Singapura di kedudukan kesembilan apabila rakyatnya dikatakan melangkah 5,674 tapak sehari. Bagi negara maju, Jepun di nombor 4 (6,010 langkah), United Kingdom (12 dengan 5,444 langkah), Australia (28 dengan 4,941 langkah) dan Amerika Syarikat di nombor 30 dengan 4,774 langkah.
Bagaimana pula dengan negara kita? Mengikut kajian universiti tersohor di California itu, dengan purata 3,963 sehari, Malaysia diletak jauh di kedudukan hampir corot, iaitu di ranking ke-44. Dua negara di bawah kedudukan Malaysia adalah Arab Saudi (3,807 langkah) manakala kajian itu telah menobatkan Indonesia sebagai negara paling pemalas di dunia dengan purata rakyatnya hanya berjalan 3,513 langkah sehari.
Maka secara rasminya, berdasarkan kajian itu, negara kita kini adalah negara ketiga paling pemalas di dunia!
Terus terang, saya tiada masalah dengan kajian ini. Saya juga tidak berniat untuk menyanggah dapatan atau hasil daripada kaji selidik yang dikatakan dibuat secara begitu menyeluruh membabitkan 700,000 responden, terperinci dan amat saintifik itu.
Yang menjadi kemusykilan saya adalah kajian berkenaan hanya dibuat terhadap rakyat di 46 negara sedangkan realitinya ada 196 negara yang berdaulat di muka bumi ini. Ini bermakna ada 150 negara lagi di mana rakyatnya tidak dijadikan bahan kaji selidik ini.
Kajian ini hanya dijalankan di 25 peratus negara (46) di seluruh dunia manakala hasil kajian atau dapatannya pula dianggap mewakili seluruh dunia dengan menobatkan rakyat Hong Kong, China dan Ukraine sebagai kelompok manusia paling tidak pemalas di dunia manakala rakyat Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia diberi kedudukan sebagai makhluk paling pemalas di muka bumi ini. Adilkah?
Benua Afrika yang mempunyai 54 negara, tetapi hanya membuat kaji selidik di Mesir dan Afrika Selatan, manakala bagi benua Amerika Selatan, hanya Chile dan Brazil yang dibuat kajian, sedangkan benua itu mempunyai 12 negara.
Saya boleh terima jika kajian ini menjurus kepada kaitan antara jumlah purata langkah dengan tahap obesiti atau kecergasan dan kecerdasan rakyat di sesebuah negara berkaitan. Maknanya, semakin tinggi atau banyak purata langkah dibuat setiap hari, maka semakin rendah kadar obesiti di sesebuah negara itu.
Contohnya, dengan purata 6,880 langkah sehari, purata penghidap obesiti di Hong Kong jauh lebih rendah berbanding penghidap obesiti di Malaysia. Tetapi mengaitkan jumlah kita berjalan atau melangkah dengan ‘kemalasan’ rakyatnya adalah amat pelik dan sukar diterima akal.
Tiada jaminan bahawa manusia yang banyak berjalan adalah lebih rajin dan produktif berbanding mereka yang kurang berjalan. Tukang jahit atau pekerja kilang yang kerjanya hanya duduk atau berdiri di sesuatu tempat selama berjam-jam tentunya lebih rajin daripada seseorang yang hanya berjalan ke hulu ke hilir sehari suntuk tanpa menghasilkan sesuatu.
Menggunakan analogi kurang melangkah bermakna orang itu pemalas, maka seorang nelayan yang hanya duduk di sampan sepanjang hari menjala ikan itu adalah lebih pemalas berbanding seorang penoreh getah yang perlu bergerak berpuluh kilometer setiap pagi dari satu pokok ke pokok yang lain?
Sebenarnya ada banyak sebab mengapa rakyat di sesebuah negara itu lebih banyak melakukan aktiviti berjalan berbanding dengan negara lain. Negara-negara seperti Hong Kong, Singapura dan Jepun mempunyai sistem pengangkutan awamnya yang sangat meluas dan sempurna, menjadikan rakyat negara itu perlu lebih banyak berjalan terutama dari kediaman mereka ke stesen kereta api atau bas dan dari stesen pengangkutan berkenaan ke pejabat atau tempat kerja mereka.
Faktor harga kenderaan persendirian yang tinggi seperti di Singapura juga menyebabkan ramai rakyatnya lebih memilih menggunakan pengangkutan awam. Selain itu, Singapura, Hong Kong dan kota-kota besar seperti London, Sydney dan New York juga memang sudah terkenal sebagai kota raya yang mesra dengan pejalan kaki dan mempunyai rangkaian kemudahan untuk pejalan kaki yang begitu baik, bersih dan selamat.
Berbeza dengan Malaysia atau Indonesia di mana sistem pengangkutannya masih belum begitu menyeluruh dan sempurna, maka lebih banyak rakyatnya menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta atau motosikal untuk ke tempat kerja. Ini tentu sekali akan mengurangkan aktiviti berjalan atau melangkah bagi penghuninya.
Sumber :
– Harian Metro
✍ Sumber Pautan : ☕ MyNewsViral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2uSLnX4
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment