Bila Manusia Belajar Berbahasa?
Menjadi bingung ahli bahasa yang tidak beriman kepada Adam as ketika memikirkan tentang bagaimana bahasa dicipta. Ada yang menyangka bahawa manusia pada awalnya hanya mampu berkata “huhuhu”, lalu mengambil masa yang lama untuk menjadi makhluk yang mampu menyusun kata. Proses ini berjalan sejajar dengan pengalaman manusia semenjak turunnya dari pokok lalu menetap di gua, dan lama kemudian menjumpai logam yang menandakan datangnya “Zaman Besi” dan berakhirnya “Zaman Batu”.
Namun bahasa begitu kompleks berbanding menternak ayam dan memakai cengkerang di tangan. Untuk menternak ayam sahaja, ‘manusia pra sejarah’ mengambil masa yang begitu lama, justeru bagaimana mungkin mereka sudah mampu mencipta bahasa? Inilah yang membingungkan kaum atheis dan orang yang terpengaruh dengan mereka.
Bagi orang yang beriman kepada Nabi Adam as, mereka mengetahui bahawa Allah Ta’ala yang mengajarkan seluruh bahasa yang ada di dunia. Allah tegaskan kepada kita: “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama seluruhnya” (Al Baqarah : 31). Dengan mengetahui seluruh bahasa yang akan dituturkan oleh zuriatnya serta segala benda yang ada, menjadikan para malaikat takjub lalu sujud. Mereka akur dan tunduk. Tahulah mereka bahawa Allah telah menjadikan Adam seorang manusia yang bijak bistari, luas pengetahuannya dan indah bahasanya.
Malah Adam bukanlah manusia pra sejarah, datang dari ungka dan monyet, seperti pemahaman Charles Robert Darwin dan orang yang sepemahaman dengannya. Sebaliknya Adam adalah manusia yang paling cerdik di dunia. Dia mengetahui segala ilmu yang manusia miliki hari ini kerana Allah swt menciptakannya dengan tangan kanan-Nya, untuk dijadikan sebagai khalifah di dunia.
Rasulullah saw telah khabarkan kepada kita bahawa Nabi Adam adalah manusia bertamadun, sudah mengenal kebudayaan kebendaan dan bukan kebendaan. Dalam Al Qur’an juga menerangkan bagaimana perseteruan dua anak Nabi Adam sehingga Allah akan mengadili mereka melalui persembahan kurban. Lantas Qabil mempersembahkan gandum dari ladangnya sementara Habil mempersembahkan kambing peliharaannya. Lalu bukankah ini sebuah bukti bahawa manusia sejak awal telah hidup bertamadun?
Islam tidak pernah mengiktiraf manusia berasal dari monyet, malah Islam menetapkan bahawa Adam as adalah manusia paling bijak, sehingga dia layak menjadi bapa kepada manusia. Dari Abu Musa Al Asy’ari, dia berkata: “Sesungguhnya ketika Allah menurunkan Adam dari syurga ke bumi, Dia mengajarkan kepada Adam cara membuat segala sesuatu dan membekali buah-buahan syurga. Jadi, buah-buahan kalian ini adalah berasal dari syurga, tetapi buah-buahan yang ada pada kalian boleh berubah sedangkan buah-buah di syurga tidak pernah berubah” (Riwayat Al Bazzar).
Lebih menarik adalah hadis shahih yang diriwayatkan oleh At Thabrani, Ibnu Jarir, Ibnu Saad dan Ibnu Asakir dari Ubai Bin Ka’ab yang menceritakan anak-anak Nabi Adam membawa kapak, parang dan golok ketika mencari buah syurga ketika Adam di ambang kematian. Justeru Adam bukanlah manusia yang tinggal di dalam gua, bercawat ekor, tidak beragama, menggunakan batu untuk memotong haiwan buruan dan tidak tahu berbahasa. Ini semua adalah wacana Darwin untuk membodohkan dan menyesatkan umat Islam. Juga untuk menutup kisah nenek moyang mereka yang ditukar menjadi babi dan kera kerana melanggar Hari Sabat.
Kalam An Nafsi
Adam sudah berbicara semenjak dia di syurga, berdialog langsung dengan Allah dan para malaikat. Begitu juga Nabi Musa telah berbicara langsung dengan Allah saw di Gunung Sinai lalu diberikan dua loh batu yang berisi 10 Perjanjian. Nabi Muhammad saw turut berbicara langsung dengan Allah Azzawajalla ketika di Lauh Mahfuz.
Mereka berkata-kata kepada Allah Ta’ala tanpa perantaraan, dan Allah benar-benar berbicara dengan suara yang dapat ditangkap oleh daun telinga para Nabi ini. Tidak benar sebahagian pemahaman yang mengatakan bahawa Allah berbicara tanpa suara, yang diistilahkan sebagai Kalam an Nafsi. Kerana ini bersalahan dengan nash, aqidah para imam ahlus sunnah dan menyanggahi akal sihat.
Kerana, Kalam An Nafsi diciptakan tatkala sebahagian pemikir beranggapan bahawa Allah persis seperti manusia. Bagi mereka, suara yang terdengar di cuping telinga adalah ciptaan manusia maka jika Allah bersuara dengan sebuah lafas bererti lafas itu adalah ciptaan Allah. Sebaliknya manusia boleh berkata-kata tanpa suara, iaitu ketika mana dia bermonolog di dalam hati. Maka sekali lagi mereka menganggap Allah persis seperti manusia; dengan menetapkan bahawa Allah berbicara tanpa suara, sepertimana manusia berbicara dengan suara hati.
Akhirnya Kalam An Nafsi mengharuskan wujud pula Kalam Al Lafzi, yang hujung-hujungnya membawa makna bahawa Al Qur’an adalah ciptaan Allah Ta’ala, sekaligus makhluk. Oleh itu tidak hairanlah seorang tokoh kontroversi yang mendakwa dirinya sebagai ulama’ Asyaariyah, Hasan As Saqaf secara terang menyatakan bahawa Al Qur’an adalah makhluk lalu mengagung-agungkan golongan Mu’tazilah sebagai orang yang mulia lagi benar (lihat: http://www.youtube.com/watch?v=sE1KZoSfUto)
Walhal, keyakinan seperti ini tidak pernah diungkapkan oleh para sahabat, malah taabi’in ataupun para salaf as soleh. Sebaliknya generasi awal Islam beriman bahawa Allah berbicara dengan suara sehingga para malaikat mendengarnya, begitu juga para Nabi yang diberi kesempatan untuk berdialog secara langsung dengan Allah Azzawa jalla. Pemikiran yang mengatakan bahawa Allah berbicara tanpa suara hanyalah dibuat atas landasan logika dan filsafat yang melencong.
Allah Berbicara Dengan Suara
Terdapat banyak hadis dari Rasulullah saw yang menjelaskan tentang Allah berbicara dengan suara. Antaranya Nabi bersabda: “Allah akan mengumpulkan hamba-hamba pada hari kiamat, kemudian Allah memanggil mereka dengan suara yang terdengar dari jarak jauh seperti suara yang terdengar dari jarak dekat: Aku adalah Al Malik (Maharaja), Aku adalah Ad Dayyaan (Maha Membalas)…” (Riwayat Al Bukhari)
Kemudian Imam Bukhari menerangkan maksud hadis di atas dalam kitab beliau yang menjadi bantahan kepada kelompok pengagung akal dan filsafat: “Dan sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memanggil dengan suara, di mana orang yang jauh mendengar suara ini seperti orang yang dekat, maka ini tidak mungkin dimiliki oleh selain Allah ‘Azza wa Jalla, dan ini dalil bahawa suara Allah tidak sama dengan suara-suara makhluk, kerana suara Allah didengar dari jarak jauh seakan-akan didengar dari jarak dekat.” (Khalqu Af’aalil ‘Ibaad)
Di kesempatan lain Nabi pernah menjelaskan kepada para sahabat tentang para malaikat yang pengsan ketika mendengar suara Allah. Rasulullah saw bersabda: “Jika Allah berbicara dengan wahyu, penduduk langit mendengar suara gemerincing seperti rantai yang diseret di atas batu. Mereka pengsan, dan mereka terus-menerus dalam keadaan demikian hingga Jibril mendatangi mereka. Ketika Jibril datang kepada mereka, dicabutlah rasa takut pada hati-hati mereka, seraya bertanya: “Ya Jibril, apa yang telah dikatakan oleh Rabbmu? Jibril menjawab: “Kebenaran”. Maka mereka pun berkata: “Kebenaran, kebenaran”. (Riwayat Abu Dawud)
Cukuplah dua hadis diatas menjadi hujah pada sisi Ahlus Sunnah bahawa Allah berbicara dengan suara, sedangkan suara Allah itu tidak diketahui keadaannya kerana Allah tidak sama dengan makhluknya. Namun untuk mengatakan bahawa Allah berbicara kepada para Nabi tanpa suara, pandangan ini telah dibantah oleh para ulama’ Ahlus Sunnah sejak zaman dahulu.
Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku bertanya kepada bapaku tentang satu kaum yang mengatakan bahawa Allah berbicara dengan Musa tanpa suara. Maka bapaku (Imam Ahmad) berkata: “Tidak demikian, sesungguhnya Rabb-mu ‘Azza wa Jalla berbicara dengan suara , hadis-hadis ini kami riwayatkan sebagaimana datangnya.” (Diriwayatkan Abdullah dalam As-Sunnah)
Kemudian Imam Ahmad mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan faham yang membahagikan perkataan Allah kepada Kalam An Nafsi dan Kalam Al Lafzi. Beliau berkata: “Barangsiapa yang mengatakan al-Qur’an dengan lafas kita adalah makhluk, maka dia termasuk jahmiyah. Kerana Allah telah berfirman: “…. maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengarkan firman Allah.” Dari mana mereka mendengar?” (Aqidatus Salaf Ashabul Hadits)
Oleh itu Syeikul Islam Abu Uthman As Shobuni menjelaskan lebih terperinci dalam kitab aqidahnya tentang masalah ini: “Maka ayat-ayat al Qur’an yang dihafalkan dalam dada, yang dibaca melalui lisan, yang ditulis dalam mushaf, dibaca oleh pembacanya, dilafaskan oleh orang yang melafaskannya, dihafalkan oleh para penghafalnya, di mana ia dibaca dan bila pun dikumandangkannya, dicetak di dalam mushaf kaum muslimin, dicatat dalam papan tulis anak-anak dan lain-lainnya semuanya adalah ucapan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung, bukan makhluk. Barangsiapa yang menganggapnya sebagai makhluk, maka dia telah kafir kepada Allah yang Maha Agung” . (Aqidatus Salaf Ashabul Hadits)
Sumber : http://ift.tt/2wt9xXJ
✍ Sumber Pautan : ☕ Islam Itu Indah
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2wFKJfd
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment