Najib Minta Masyarakat Cina Kemukakan Lebih Ramai Wakil Dalam Kerajaan BN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa masyarakat Cina negara ini supaya mengemukakan lebih ramai wakilnya kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pelbagai kaum pada pilihan raya umum akan datang. Perdana menteri berkata beliau mahu melihat perwakilan yang lebih kuat daripada masyarakat Cina dalam kerajaan BN pimpinannya kerana kadar enam peratus Anggota Parlimen daripada etnik itu yang ada dalam BN pada masa ini adalah terlalu sedikit.
"Saya mahukan perwakilan Cina yang lebih kuat dalam kerajaan BN. Kita perlu tambah angka itu.
"Kalau suara Cina lebih kuat dalam BN, anda dapat membentuk dasar dan kemungkinan kerajaan ini menjadi lebih baik, malah lebih kuat pada masa akan datang, " katanya kepada 16,000 orang yang menghadiri Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina anjuran MCA di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan bahawa sebagai negara pelbagai kaum, dengan kerajaan yang inklusif dan sentiasa membantu dalam mewujudkan peluang perniagaan untuk masyarakat itu, orang Cina perlu bekerjasama dengan etnik lain dalam pembentukan negara bangsa.
"Realitinya adalah anda tidak boleh lakukan sendirian. Ini adalah negara berbilang-bilang kaum dan ia mesti berdasarkan kepada kerajaan pelbagai kaum yang sederhana dan progresif. Mari kita maju (bersama), banyak yang boleh kita nantikan bersama," kata beliau sambil memberitahu bahawa kerajaan BN juga komited untuk membangunkan sebuah negara yang aman dan harmonis.
Beliau juga menggesa masyarakat Cina agar tidak terus membuang masa dan terpedaya dengan propaganda pembangkang yang cuba menjatuhkan kerajaan.
Najib berkata walaupun BN telah mencatatkan banyak kejayaan yang membanggakan kebelakangan ini seperti pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT) serta aliran masuk pelaburan asing yang tinggi, ia masih dikritik pihak pembangkang.
"Jangan kritik tak tentu hala. (Bagi) pembangkang, sebaik manapun yang kita buat, mereka akan putar belitkan supaya rakyat benci kepada kita. Ingatlah, dalam fikiran pembangkang, jika mereka tidak boleh yakinkan, mereka akan kelirukan.
"Ini mantra pembangkang sebab saya pernah bincang dengan seorang tokoh pembangkang, yang dahulunya bersama kita, dia kata seni perang psikologi adalah sebegitu, jika mereka tidak boleh yakinkan, mereka akan cuba kelirukan.
"Oleh itu, kita jangan terpengaruh dengan propaganda pembangkang kerana kerajaan hari ini ialah kerajaan yang komited untuk masa depan Malaysia, " katanya. - BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2wiEtLZ
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment