REAKSI PAS YANG MENGUNDANG KECEWA
BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya dengan penuh rasa sedih dan simpati mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur di atas musibah yang menimpa.
Sesungguhnya sifat sabar dan bersangka baik dengan ketentuan Allah di atas ujian ini merupakan salah satu ciri-ciri orang yang beriman.
Marilah kita meredhai pemergian anak-anak pelajar dan mendoakan mereka yang matinya dalam keadaan yang baik sebagai penghafaz Al-Quran ditempatkan bersama golongan syuhada’ dan orang-orang yang soleh.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Zulhijjah 1438 / 14 September 2017
HARAKAHDAILY 14/9/2017
Kenyataan 2
SEJAK tahun 1990 hingga 2016 sebanyak 19 hospital terbakar di negara ini. Tidak ada pula suara Tan Sri Zainudin Maidin dan rakan-rakan yang seotak dengannya marah kepada hospital. Sudah pasti hospital mempunyai kelengkapan dan piawai yang hebat untuk membolehkan ia beroperasi. Alat pencegahan dan pemantauan secara regular. Itu pun terbakar juga. Kebakaran di wad ICU Hospital Sultanah Aminah Johor pada 25 Oktober 2016 mengorbankan enam orang.
Apabila berlaku kebakaran di Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Keramat Ujung yang meragut 24 nyawa, macam-macam cercaan yang diberikan oleh manusia yang hatinya busuk. Siapa yang hendak kejadian ini berlaku? Siapa yang hendak hospital terbakar? Pihak sekolah cuba berusaha untuk yang terbaik. Apa yang berlaku di luar kemampuan manusia.
Memanglah sekolah seperti ini tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna kerana masalah kewangan. Ia lebih bersifat tanggungjawab sosial sahaja. Bukan bersifat komersial. Yuran rendah, kalau mahal ada pula tuduhan mengatakan ustaz jual agama pula.
Sepatut kerajaan perlu bangga kerana ada lagi masyarakat yang prihatin untuk membangunkan tahfiz seperti ini. Jangan apabila berlaku seperti ini ada segelintir masyarakat seperti Zainudin Maidin naik meroyan marah kepada pihak sekolah. Otak seperti Zainudin Maidin ini tidak banyak sangat di dalam masyarakat. Ini spesies yang makan dedak terlalu banyak sehingga terlekat di hati.
Kerajaan perlu pantau dan cakna terhadap sekolah seperti ini terutama aspek keselamatan pelajar. Periksa secara berkala. Ambil tindakan segera. Perlu bersifat pro aktif, bukan apabila sudah berlaku baru bunyi macam-macam. Al-fatihah untuk mereka yang terkorban semoga bersama orang yang soleh.
USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
15 September 17.
HARAKAHDAILY 15/9/2017
Kenyataan 3
Kebakaran adalah tragedi dan musibah. Tiada siapa yang mahu ia berlaku. Justeru itu, sabar dan takziah buat semua keluarga yang terlibat dalam peristiwa kebakaran yang berlaku di Maahad Tahfiz Ittifaqiah. Semoga mereka yang terkorban tergolong dari kalangan hambaNya yang beroleh syahid.
Kta terlebih dahulu tidak lah perlu membuat sebarang spekulasi mengenainya. Sebaliknya Serahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan mengenainya.
Kenyataan setengah pihak memburukkan Maahad Tahfiz secara umum adalah langkah yang tidak sewajarnya. Malah tidak menyelesaikan sebarang masalah melainkan mengundang salah faham orang ramai kepada pusat pengajian Islam khasnya Tahfiz yang banyak berjasa kepada ummat Islam di Malaysia untuk melahirkan para huffaz.
Kita perlu berlaku adil dalam menentukan sikap, tindakan dan kenyataan. Jangan gopoh tanpa asas dan usul periksa yang cermat pula janganlah pukul rata kepada semua Maahad Tahfiz ini sebagai pusat pengajian yang berisiko.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS
Khamis 14 September 2017
(Dipetik daripada FB Nasrudin Hassan At Tantawi)
Kenyataan 4
TRAGEDI kebakaran pada awal pagi khamis 14 september 2017 yang mengorbankan lebih 20 orang anak-anak yang sedang berjihad menghafaz Kalam Allah tentu sahaja meruntun hati setiap insan. Namun, perginya mereka ke rahmatullah sebagai syuhada akhirat akibat kebakaran sebagaimana sabit dalam Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud, yang diberikan kemuliaan oleh Allah menjadi pengubat hati kepada waris kaum keluarga yang terlibat.
Kita wajar mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas musibah ini. Kata-kata dan tindakan yang membenihkan kesabaran di hati mereka adalah sebahagian daripada skop takziah buat mereka sebagaimana pengajaran Islam.
Tidak perlu dikesali musibah yang telah berlaku dengan pelbagai andaian berunsur “kalau” kerana ia membuka pintu bisikan jahat Syaitan yang bertujuan menambahkan kesedihan. Nabi SAW bersabda:
ْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
“Dan sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah maka janganlah menyebut: ‘kalau saya sebelum ini lakukan demikian tentulah demikian demikian’, tetapi sebutlah: ‘Allah telah menentukan. Apa yang Dia mahu Dia lakukan’, kerana sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ itu membuka tindakan Syaitan.” Hadis riwayat Muslim.
Pada masa yang sama hati dan perasaan kita juga bersama pengasas dan guru-guru pusat Tahfiz tersebut. Mereka telah berjihad dengan masa, tenaga dan harta mereka belasan tahun untuk menyediakan pusat ilmu untuk anak-anak Islam. Dalam tempoh itu mereka telah berjaya melahirkan puluhan para Huffaz yang menjadi kebanggaan masyarakat.
Kejayaan mereka ini sewajarnya dititipkan dengan pujian dan kata semangat. Namun, dalam kerangka kejayaan itu ada ujian yang mendatang. Mereka diuji dengan musibah yang meruntun dan merungsingkan hati dan perasaan mereka. Tentu sahaja ia boleh mematahkan semangat jihad pendidikan mereka. Maka di saat inilah mereka memerlukan motivasi yang berterusan memberikan sinar harapan. Malah, jika ada sebarang kelemahan yang menjadi sebab memungkinkan berlakunya musibah ia boleh dijadikan motivasi pengajaran untuk mendatang.
Bagi pihak berkuasa pula, musibah ini sewajarnya menjadi pemangkin untuk mereka terus melipat-gandakan usaha membantu pusat Tahfiz dan pusat-pusat pengajian Islam dengan dana pembangunan dan nasihat serta panduan keselamatan yang berterusan. Tidak wajar musibah ini diiringi dengan ugutan terhadap pengusaha-pengusaha institusi Tahfiz yang lain yang sedang berjihad di alam pendidikan dengan seribu macam kepayahan. Ia bukan premis untuk mengancam dan mengecam tetapi medan untuk saling membantu dan bekerjasama untuk kebaikan.
Inilah juga masanya bagi masyarakat awam memperkukuhkan dokongan terhadap institusi pendidikan agama seumpama Tahfiz ini. Sangkaan baik kita terhadap mereka ialah mereka berjihad di bidang pendidikan demi Allah dan Rasul dan demi mencari syurga di alam abadi. Membuat andaian dengan sangkaan buruk terhadap guru-guru dan pengurus pusat ilmu ini bukan akhlak umat beriman.
Membuat tuduhan melulu dengan andaian penyelewengan dana yang mungkin berlaku di kalangan guru-guru yang berjihad mengusahakan pusat ilmu ini adalah akhlak yang sangat jelek, apatah lagi jika datang dari mereka yang dianggap ilmuwan. Kemungkinan dan kebarangkalian baik dan jahat boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada jawatan dan amanah apa sekalipun. Tragedi ini bukannya lesen untuk membenihkan persepsi negatif dan jahat meskipun secalit.
Marilah kita bersama menjadikan tragedi ini sebagai rahmah buat ummah di sebalik musibah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Dan pasti Kami menguji kamu dengan sesuatu berupa kebimbangan, kelaparan dan kekurangan sebahagian harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan: sesungguhnya kita milik Allah dan kita kepada-Nya pasti kembali.”
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
AJK PAS Pusat
HARAKAHDAILY 16/9/2017
Ulasan – Empat petikan di atas adalah antara kenyataan yang ditemui daripada pimpinan Pas berhubung tragedi kebakaran sebuah pusat tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur yang telah mengorbankan 23 nyawa.
Hadi Awang minta agar kita meredhai kematian dengan harapan mereka tergolong sebagai syuhada, Idris Ahmad berkata hospital pun terbakar juga, Nasruddin Hassan menyebut kebakaran adalah musibah dan tragedi serta mendoakan mereka yang terkorban beroleh syahid di akhirat dan Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali turut memberi reaksi yang hampir sama.
Sebelum ini, pengetua pusat tahfiz yang terbakar itu turut menyebut tentang syahid juga.
Syurga, syahid, syuhada…syurga, syahid, syuhada…
Kenapa tiada pemimpin Pas yang mempersoalkan bagaimana pusat tahfiz tersebut boleh beroperasi tanpa kelulusan bangunan, tiada sijil keselamatan bomba, pelan bangunannya berubah, hanya ada satu pintu keluar saja dan tidak ada saranan agar pengusaha pusat tahfiz sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap kejadian?
Mengapa tiada pembelaan terhadap keluarga mangsa yang kehilangan orang-orang tersayang dan kalau pun ada, hanya dalam bentuk gambaran di akhirat saja?
Bagaimana dengan pihak yang cuai, mungkin bersalah dan tidak mematuhi undang-undang dunia?
Hmmmmm…..
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2jx4r8x
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment