6 Isu dan Persoalan Yang Terkandung Dalam Manifesto PRU 2018 Pakatan Harapan
Pakatan Harapan memang melakukan kejutan demi kejutan dalam pilihanraya kali terutamanya selepas bekerjasama dengan seteru politik mereka. Kejayaan 'kecil' memenangi dua negeri pada 2008 berjaya diteruskan dan PH berharapan besar pada PRU 2018 mereka akan berjaya memegang tampuk negara.
Membaca manifesto mereka menampakkan kesungguhan Pakatan mengeluarkan bermacam idea baru serta usaha untuk meluruskan apa yang mereka rasakan bengkok. Manifesto Pakatan adalah sebuah manifesto idealis yang cuba mencerap impian ke dalam setiap minda rakyat Malaysia dan tak dapat dinafikan, mereka ada banyak idea. Bagaimanapun, bukan semua idea yang disenaraikan realistik untuk diperkenalkan.
Berikut adalah enam janji dibuat oleh PH bagi menghadapi PRU 2018, yang kami rasakan mampu menimbulkan persoalan yang perlu dijawab.
1. Menangguh tempoh bayaran balik PTPTN sehingga pendapatan cecah RM4000
Kami akui, pada permukaannya nampak menarik. Bagaimanapun, penangguhan bayaran ini amatlah mudah untuk dieksploitasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Persoalan penting kami di sini - apa akan berlaku sekiranya seseorang individu itu gajinya mencecah RM4000 pada usia 40-an?
Adakah dia perlu membayar jumlah ansuran yang banyak dalam waktu yang singkat? Apa pula akan berlaku kepada peminjam yang gajinya tak pernah mencecah RM4000 sehingga dia meninggal dunia?
2. Sistem subsidi minyak petrol bersasar
Dalam manifesto PH, dinyatakan akan ada sistem integrasi menggunakan kad pengenalan yang akan membezakan kelayakan penerima subsidi atau tidak layak subsidi.
Kami juga mendengar ceramah ada yang mengatakan sistem ini dilaksanakan bergantung kepada jenis kereta pula. Sebagai bakal pengundi, agak kurang jelas mekanisme pelaksanaan yang ingin diperkenalkan walaupun bunyinya di atas kertas nampak menarik.
3. Penggalakan kemasukan pelaburan dari China
Kami berada dipersimpangan dilema di sini. Saban hari Pakatan Harapan mengkritik Barisan Nasional dalam membawa masuk pelaburan dari China, namun kami agak terkejut sokongan diberikan pula dalam manifesto pilihanraya.
Kami akui Pakatan menyebut akan menyemak semula semua perjanjian bagi memastikan faedah diperolehi semua, namun mengapakah isu pelaburan ini kerap menjadi modal pilihanraya Pakatan?
4. Pengurangan kadar duti eksais kereta import pembeli pertama
Agak samar-samar mengapa PH memilih kereta import di sini. Ini kerana takrifan import itu agak luas, boleh merangkumi model CKD dan CBU. Apa yang membimbangkan kami adalah kesan langkah ini pada dua model jenama kenderaan tempatan.
Adakah ini akan menjejaskan jualan mereka atau Pakatan sudah beranggapan liberalisasi pasaran kenderaan akan dilakukan sepenuhnya bawah kerajaan Pakatan Harapan?
5. Sistem gaji minima yang dikongsi kerajaan dengan majikan
Dalam meningkatkan gaji minima kepada RM1500, PH mencadangkan supaya kerajaan PH dan majikan berkongsi RM250 setiap pihak, bagi membantu menaikkan gaji minima daripada RM1000 kepada RM1500. Masalah berkemungkinan besar akan timbul bagi pihak majikan dikemudian hari apabila pihak kerajaan PH berhenti mensubsidikan RM250 tersebut.
Pada waktu apakah cut-off itu akan dilakukan? Bagaimana majikan hendak menanggung kenaikan mendadak gaji yang perlu dibayar sekiranya kerajaan berhenti berkongsi amaun yang diperlukan?
6. Janji untuk menjadikan Malaysia lebih baik dalam Universal Periodic Review
Universal Periodic Review (UPR) adalah skala yang digunakan oleh PBB untuk mengenalpasti kejayaan sesebuah negara dalam menjaga hak kemanusiaan rakyat dan warga asing yang bekerja di dalam negara tersebut. Ia merangkumi hak sosial dan ekonomi, penjagaan hak kemanusiaan, kepelbagaian etnik, hak wanita, kanak-kanak dan orang asal,
Malaysia kerap dikritik kerana masih belum bersetuju berkenaan undang-undang pelarian, , gagal mengawal selia sindiket penyeludupan manusia serta masih mengamalkan kekangan pada kebebasan bersuara. Sebenarnya banyak lagilah yang negara kita ketinggalan.
Bagaimanapun, ada dua isu yang kerap menjadikan Malaysia berdepan kritikan dalam persidangan UPR; berkenaan isu hak LGBT di Malaysia serta undang-undang yang melarang kebebasan pertukaran agama. Sebagai masyarakat yang hidup dalam kelompok majoriti Muslim, kami amat berharap agar PH dapat menjelaskan isu ini sebaik mungkin. Apa matlamat PH menyebut UPR dalam manifesto pilihanraya? Adakah PH mensasarkan penambahbaikan dalam sesetengah cabang kajian atau benar-benar mahu menurut sepenuhnya saranan PBB dalam isu ini?
✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2IAzKKV
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment