7 Isu dan Persoalan Yang Terkandung Dalam Manifesto PRU 2018 PRU 2018 Barisan Nasional
Sebagai kerajaan, manifesto Barisan Nasional atau BN penuh dengan bukti kejayaan yang telah dikecapi jadi manifesto BN lebih tertumpu ke arah matlamat-matlamat kecil yang lebih fokus. Kami akui agak sukar untuk menjumpai lubang-lubang yang boleh diserang dalam manifesto BN kerana isi kandungannya tampak lebih kepada mempromosikan diri sendiri.
Walaupun begitu, tetap ada beberapa persoalan dan isu yang timbul semasa membaca manifesto BN, yang berkemungkinan besar akan menimbulkan kesusahan pada segelintir masyarakat kita kemudian hari.
1. Pengenalan Sistem Pembantu Atas Talian
Kami sudah melaporkan berkenaan masalah penderaan di kalangan pembantu rumah luar yang didera majikan. Walaupun pengurangan kos pengambilan pembantu rumah asing merupakan sesuatu yang baik, sedikit sebanyak ini hanya akan menyebabkan lebih banyak kes serupa majikan bermasalah akan timbul. Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan BN dalam mengawal masalah ini? Adakah pengambilan pembantu rumah asing perlu dikekalkan atau negara kita sepatutnya menggalakkan semula warga tempatan bekerja sebagai pembantu rumah?
2. Memperluas amalan waktu kerja fleksibel sektor awam
Mengapa berhenti di sektor awam? Kerajaan BN pada pandangan kami sepatutnya memperluaskan agenda ini untuk memasukkan juga sektor swasta. Kami faham kesukaran yang akan dihadapi pihak swasta dalam menyediakan ruangan waktu kerja fleksibel, namun dalam menuju negara maju - kita perlu bersedia memastikan professionalisme bukan sekadar di tagih daripada pekerja sahaja, bahkan majikan juga. Selama ini terlalu banyak majikan yang mengambil perihal pekerja dengan sambil lewa khasnya berkenaan tempoh waktu bekerja.
3. Mendorong perniagaan trak makanan
Kami suka inisiatif kerajaan selama ini dalam mewujudkan budaya trak makanan di negara kita yang teratur, berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, perniagaan trak makanan kita belum mampu mencapai tahap 'mainstay' selagi mana harga makanan yang ditawarkan masih lagi lebih tinggi berbanding makan di kedai sahaja. Idea untuk mempopularkan lokasi trak makanan patut juga dilebarkan untuk menambahbaik medan selera di seluruh negara yang kurang mendapat sambutan.
4. Membenarkan suami dalam sektor awam bercuti tanpa rekod 10 hari
Kami tidak pasti apa halangan sebenar perkara seperti ini untuk dilaksanakan juga kepada sektor swasta, kerana sektor swasta adalah tempat di mana majoriti pekerja lelaki di Malaysia berada berbanding sektor awam. Sama seperti amalan waktu kerja fleksibel, pengenalan cuti 10 hari tanpa rekod kepada pekerja lelaki berstatus suami sepatutnya adalah satu perkara mandatori tak kiralah sektor awam atau swasta. Kami juga merasakan ada keperluan untuk diberikan opsyen kepada suami memanjangkan cutinya tanpa rekod sekiranya isteri memerlukan pembedahan untuk bersalin. 10 hari saja tidak memadai.
5. Program MyLesen
Kami tidak membantah pemberian subsidi untuk pengambilan lesen tetapi pada kami, dana yang diperuntukkan sebenarnya lebih baik untuk digunakan bagi mewujudkan satu sistem pendidikan pemandu yang lebih komprehensif dan bukan setakat tangkap muat, yang melahirkan pemandu dan penunggang yang pandai memandu tetapi kurang cermat dalam undang-undang. Kita perlu susahkan pengambilan lesen bagi memastikan pemandu yang lahir berkualiti dan bukan hanya sekadar mahu meramaikan penunggang seperti dalam cadangan.
6. Penyediaan pembuangan sampah dan sisa pepejal yang lebih efisien
Kami inging melihat ada inisiatif yang lebih serius dalam isu pembuangan sisa pepejal ini. Walaupun kempen sudah dimulakan dari dahulu, tetapi nampak seperti masyarakat kita tetap tidak mahu bekerjasama. Ada sesuatu yang perlu dibetulkan dalam masyarakat kita iaitu mentaliti kita tentang pembuangan sampah yang agak longgar, sehinggakan sudah jadi identiti masyarakat kita gemar buang sampah merata-rata walaupun tong sampah ada depan mata. Sekiranya kerajaan BN mempunyai idea mengubah budaya pembuangan sampah di negara kita, itu sangat-sangat kami alukan.
7. Cuti tujuh hari untuk ibu menjaga anak yang sakit
Kami bersetuju dengan cadangan ini. Bagaimanapun 7 hari tidak memadai sekiranya seseorang wanita itu mempunyai lebih daripada seorang anak. Kehidupan seorang pekerja khasnya pekerja wanita di negara kita selalunya didominasi oleh tuntutan kerja dengan keperluan keluarga menjadi perkara kedua. Kami berharap agar kerajaan BN dapat memulakan budaya kerja/hidup yang lebih seimbang dengan memberikan galakan kepada wanita untuk berkeluarga. Sekiranya dia ada seorang anak, dia layak 7 hari cuti, 2 orang anak 10 hari cuti, 3 orang 12 hari dan 4 orang anak 14 hari cuti; ini sebagai contoh. Cuti 7 hari pada pendapat kami sangatlah tidak memadai.
✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2wy5yez
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment