Aksi, Emosi Seimbang Deadpool 2
KALI pertama filem adiwira baharu, Deadpool diperkenalkan kepada peminat pada tahun 2016, ia menerima pelbagai respons daripada penonton. Kebanyakannya terhibur dengan kelainan dan unsur humor yang disampaikan oleh karakter berbanding filem lain yang menonjolkan sisi serius seorang hero.
Memasuki edisi kedua penerbitannya yang sudah pun menemui penonton di pawagam sejak 15 Mei lalu, ada beberapa perkara yang boleh disentuh mengenai filem itu memandangkan ia kini sudah beralih tangan kepada pengarah lain iaitu David Leitch. Dari segi kandungan, ia sedikit berbeza daripada apa yang dipertontonkan kepada umum menerusi edisi pertama.
Pada kali ini, konsep persembahan jalan cerita diawali dengan emosi apabila dia kehilangan insan tersayang yang membawa kepada pertemuannya dengan seorang remaja mutan, Russell atau Firesfist (Julian Dennison).
Perkembangan watak Deadpool pula dilihat tidak banyak lari daripada yang pertama, kecuali kali ini dia tampil sebagai hero yang berwajah hodoh dalam keseluruhan cerita. Menyentuh dari segi teknikal dan taktikal, Deadpool 2 banyak menyajikan babak aksi dan pertempuran yang sama sekali tidak berubah daripada sekuel pertamanya apabila ia dilakar dengan penuh keganasan.
Malah, pertuturan dan dialog yang diguna pakai dalam filem ini juga tetap dipenuhi dengan perkataan kesat dan berkaitan seks yang dilihat sebagai identiti kekal Deadpool.
Keseluruhan jalan cerita tidak mengandungi sebarang unsur kejutan kerana penonton dapat meneka dengan mudah tanpa adanya sebarang persoalan tentang babak dalam naskhah itu yang menyaksikan Ryan Reynolds turut terlibat dalam pasukan penulisan skrip.
Keliru
Cuma, ada beberapa babak yang menimbulkan kecelaruan apabila terlalu banyak dialog dilontarkan ketika pertempuran berlaku pada masa yang sama sehingga membuatkan berasa sedikit terganggu untuk menikmati perjalanan cerita walaupun ironinya ia selari dengan imej Deadpool; seorang hero bermulut becok.
Menyentuh tentang kemunculan beberapa watak baharu, ada sedikit perubahan apabila watak Domino (Zazie Beetz) yang terkenal dalam filem X-Men dibawa masuk serta mempunyai peranan besar dalam membantu Deadpool.
Kemunculan watak Cable lakonan Josh Brolin juga berkembang dengan baik dan berjaya memutar plot apabila dia bukanlah penjenayah sebenar meskipun ironinya ada timbul pertikaian mengapa watak itu tidak diberikan kepada Arnold Schwarzenegger.
Watak Russell tidak dinafikan peranannya kerana menjadi sebahagian besar tunjang utama dalam perjalanan cerita ini kecuali Yukio atau Surge (Shiori Kutsuna) yang muncul hanya sekadar tempelan dan beraksi dalam satu babak meskipun tergolong dalam kumpulan X-Men.
Apabila Deadpool 2 digambarkan sebagai naskhah yang akan menyaksikan penglibatan lebih ramai pelakon, hal itu dapat dibuktikan dengan selingan beberapa watak seperti Shatterstar (Lewis Tan) dan Peter (Rob Delaney) termasuk Domino yang digelar sebagai X-Force.
Pada bahagian akhir cerita, ada sedikit petunjuk yang mengelirukan sama ada ia pengesahan kepada ura-ura Deadpool akan diangkat sebagai salah satu hero baharu dalam filem X-Men dengan kemunculan Wolverine. Malah, jika diamati dengan betul, ada beberapa petanda sudah diberikan kepada penonton tentang perkara itu.
Contohnya, dalam salah satu babak, terdapat sebuah poster gambar watak Logan yang dilekatkan di dinding.
Namun, tidak keterlaluan jika disimpulkan bahawa naskhah ini tidak mempunyai sebarang kejutan yang lampau untuk tatapan peminat kerana seperti yang diperkatakan, saduran jalan cerita tidak lebih daripada jangkaan meskipun sekuel ini menelan belanja yang lebih besar iaitu sebanyak RM437 juta.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2IPEOYX
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment