'Televisyen' Zaman Silam
Wayang kulit adalah teater tradisional atau sejenis hiburan pementasan bayang daripada patung yang pada mulanya diperbuat menggunakan daun macang, tapi kemudian beralih kepada kulit lembu, kerbau dan kambing. Terdapat beberapa pendapat berkenaan sejarah wayang kulit namun pengkaji seni tradisional itu bersepakat mengatakan ia berasal dari Selatan Thailand (Pattani).
Bagaimanapun, ada juga yang menyatakan wayang kulit berasal dari Kelantan kerana sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani, Pattani masih berada dalam negeri itu. Selepas perjanjian itu ditandatangani barulah Pattani keluar dari Kelantan.
Menurut Tokoh Wayang Kulit Malaysia, Che Mohd Nasir Yusoff, wayang kulit berasal dari Tumpat diasaskan seorang penganut agama Buddha dikenali sebagai Tok Erok. Namun tiada catatan dokumen berkenaan Tok Erok dan difahamkan beliau mempunyai 15 generasi hingga ke hari ini.
Pemain wayang kulit, Kamarul Baisah Hussain, 35, pula berkata, wayang kulit dimainkan Tok Dalang di sebalik kain layar berwarna putih yang di belakangnya bersuluh lampu elektrik atau lampu minyak. Beliau berkata, Tok Dalang akan menggerakkan pelbagai patung yang diukir daripada kulit haiwan berdasarkan watak tertentu.
“Patung ini akan ditayangkan di belakang kain layar putih bagi membolehkan penonton yang berada di sebelah berlawanan layar dapat melihat bayangannya. Meskipun identiti Tok Dalang tidak diketahui, tiada siapa dapat menafikan kehebatannya kerana mampu menuturkan pelbagai gaya suara mengikut watak yang ada dalam setiap persembahan.
“Persembahan’ suara Tok Dalang mengikut watak sememangnya menghiburkan dan mencuit hati sesiapa saja yang mendengarnya hingga membuatkan penonton tidak kering gusi,” katanya.
Katanya, persembahan Tok Dalang akan dibantu kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh pemain alat muzik seperti geduk, gendang, gedombak, canang, kesi, gong dan serunai.
Beliau yang juga pensyarah Pusat Seni Tradisional Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkata, setiap peralatan itu mempunyai pasangannya seperti geduk ibu dan anak, canang ibu dengan anak kecuali kesi yang tiada pasangan.
“Lazimnya cerita yang dimainkan dalam wayang kulit dipetik daripada koleksi cerita epik Ramayana dan Mahabrata. Watak popular ialah Seri Rama, Siti Dewi dan Hanuman,” katanya dan menambah, wayang kulit dimainkan pada waktu malam. Katanya, ini kerana suatu masa dulu wayang kulit berperanan seperti televisyen.
Peranan itu semakin berkurangan selepas kemunculan televisyen yang mempunyai pelbagai siaran menarik. Kamarul Baisah berkata, wayang kulit dipersembahkan di panggung terbuka yang didirikan di kawasan lapang dan sebelum ini pernah dikaitkan dengan unsur khurafat.
“Bagaimanapun, kini pemain wayang kulit memilih berdoa untuk kelancaran persembahan bagi mendapat keredaan Allah. Bagi cerita yang panjang, wayang kulit ini akan dipersembahkan hingga sebulan kerana kisahnya bersambung-sambung.
“Sementara itu, cerita ranting (pendek) pula biasanya dipersembahkan antara satu hingga tiga hari selama dua jam pada satu malam,” katanya.
Berbicara lebih lanjut, Kamarul Baisah berkata, terdapat empat jenis wayang kulit di negara ini iaitu wayang kulit Kelantan atau Siam, wayang kulit Melayu di Kelantan, wayang kulit dedek (Kedah) dan wayang kulit purwa (Johor). Bagaimanapun katanya, hanya wayang kulit Kelantan saja yang masih bertahan hingga ke hari ini kerana seni tradisional terbabit masih mempunyai ‘pewaris.’
“Ini kerana cara permainan wayang kulit Kelantan dari segi muzik dan jalan ceritanya masih diminati golongan muda. Mereka sanggup mempelajarinya didorong minat yang mendalam selain mahu mempertahankan warisan seni nenek moyang,” katanya.
Berkongsi pembabitan awalnya dalam seni itu, Kamarul Baisah berkata, ketika kecil dia bukanlah seorang yang obses dengan wayang kulit, tetapi diberikan pendedahan awal oleh datuk dan bapanya, Hussain Yusoff, 70. Katanya, beliau dilahirkan dalam keluarga wayang kulit dan beberapa seni tradisional lain kerana ia warisan turun-temurun keluarganya.
“Apabila sering didedahkan (wayang kulit), akhirnya saya jatuh cinta dengan seni tradisional ini selain terpikat dengan jalan ceritanya yang menarik di samping karakter dimainkan,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya dia meminati wayang kulit hanyalah sekadar hobi dan lebih cenderung kepada cita-cita mahu menjadi akauntan. “Dulu saya ingin melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang akauntan, tapi dihalang bapa kerana mahu saya belajar seni di ASWARA.
“Saya tidak membantah dan memenuhi permintaan bapa hinggalah menjadi pensyarah di sini (ASWARA),” katanya yang turut mahir dengan seni tradisional Kelantan yang lain.
Malah beliau turut mengakui wayang kulit perlu dihidupkan kerana ia mempunyai disiplin yang tidak ada dalam permainan seni tradisional lain. “Ia menekankan disiplin bagaimana kedudukan, batas pergaulan, percakapan dan adab dengan orang atasan.
“Contoh lain pula, mendidik kita supaya menghargai alat muzik wayang kulit kerana peralatan itu dibuat oleh bapa atau orang berpengalaman,” katanya. Selain itu katanya, ia juga adalah sumber rezeki kerana masyarakat dulu yang bergantung kepada seni wayang kulit untuk menyara keluarga. Tambahnya, alat muzik terbabit perlu dijaga seperti diri sendiri kerana ia ‘hidup.’
Pada masa sama, ia diperbuat daripada kayu yang jika dibiarkan begitu akan mati atau reput. Sebaliknya, jika kayu itu dimanfaatkan dengan dijadikan alat muzik dan kemudian digunakan, maka ia akan terus ‘hidup’. Oleh itu katanya, seni tradisional perlu terus dipopularkan dalam industri muzik tempatan kerana ia membawa entiti budaya bangsa dalam konteks yang luas.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2sfQpsY
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment