Ulasan Dell Inspiron 15 7577 – Komputer Riba Permainan Video Yang Boleh Diandalkan Untuk Kegunaan Harian
Dell Inspiron adalah siri komputer riba yang terkenal dengan fokus pada penggunaan di rumah dan juga pejabat. Ia mempunyai rekaan yang tampak profesional, diperbuat daripada logam dan juga mempunyai spesifikasi yang tinggi.
Kebiasaannya, komputer riba gaming daripada Dell adalah dalam siri Alienware dan harga yang ditawarkan agak tinggi jika dibandingkan dengan komputer riba gaming lain. Akan tetapi, Dell melancarkan satu komputer riba gaming baru dalam keluarga Inspiron iaitu Dell Inspiron 15 7577. Komputer riba ini mengekalkan rekaan korporat yang tampak profesional dengan spesifikasi komputer riba gaming.
Spesifikasi
Dell Inspiron 15 7000 (7577) | |
---|---|
Skrin | 15.6″ FHD IPS LED Anti-Glare |
Pemproses | Intel Core i7-7700HQ |
Kad Grafik | NVIDIA GeForce GTX 1060 Max Q 6GB GDDR5 |
RAM | 16 GB (2x 8GB DDR4) |
Storan | 256GB SSD + 1TB HDD |
Sistem Operasi | Microsoft Windows 10 Home |
I/O | x1 HDMI 2.0 x3 USB-A Superspeed USB 3.1 x1 Thunderbolt 3, USB-C 3.1 x1 Pembaca kad SD X1 Bicu Audio 3.5mm |
Output Video | HDMI 2.0, Thunderbolt 3 |
Kamera Web | 720P |
Lain-lain | 802.11ac + BT4.2 + Dual Band 2.4 & 5 + RJ-45 |
Bateri | 56 Wh (4 Sel) |
Harga | RM 6699 |
Komputer riba Dell Inspiron 15 7577 ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci FHD IPS LED dengan kadar segar semula 60Hz. Skrin mempunyai lapisan anti-glare bagi mengelakkan silau ketika digunakan di luar.
Ia dijana oleh cip pemprosesan Intel Core i7-7700HQ, memori sebesar 16GB DDR4, storan 256GB SSD dan storan 1TB HDD. Untuk memperkasakan bahagian grafik laptop ini, Dell memuatkan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 dengan memori 6GB GDDR5 dan rekaan MaX Q. Secara teorinya cukup bagus untuk memainkan kebanyakan permainan-permainan komputer yang terbaru pada resolusi 1080P dan tetapan sederhana. Lebih menarik, komputer riba ini turut menyokong penggunaan peranti realiti maya seperti HTC Vive dan Oculus Rift.
Dari segi pilihan I/O pula, komputer riba Dell Inspiron 15 7577 ini dilengkapi dengan jumlah port yang cukup banyak. Terdapat tiga port USB 3.1 Type-A, sebuah port Thunderbolt 3 USB-C 3.1, sebuah port HDMI 2.0 bersaiz penuh, sebuah port LAN RJ-45, sebuah pembaca kad SD dan juga bicu audio 3.5mm.
Golongan gamer tidak gemar membawa penyesuai dan pilihan I/O yang diberikan ini adalah cukup baik terutamanya port LAN RJ-45. Turut disertakan pada sisi kiri ialah kunci Kensington untuk tujuan keselamatan.
Reka Bentuk
Rekabentuk komputer riba Dell Inspiron 15 7577 ini mempunyai rekaan korporat walaupun ia adalah sebuah komputer riba gaming. Keseluruhan tubuh komputer riba berwarna hitam dengan hanya logo Dell berwarna merah memberikan petunjuk ini bukan komputer riba biasa.
Rekaannya lebih lembut jika dibandingkan dengan Dell Inspiron 7567 yang merupakan “abang” kepadanya. Lohong udara dengan rekaan geometrik digantikan dengan kekisi mendatar. Panel berwarna merah di bahagian hadapan 7567 kini berwarna hitam kusam pada 7577. Secara peribadi kami merasakan rekaan 7567 lebih seksi lengkap dengan sinki haba berwarna merah tetapi bagi mereka yang mahukan komputer riba yang lebih stealth, 7577 adalah lebih sesuai dengan jiwa anda.
Hampir keseluruhan komputer riba ini diperbuat daripada logam. Kecuali bingkai paparan yang diperbuat daripada plastik yang menyebabkan masalah lenturan skrin yang ketara. Ketika kerja menaip, skrin komputer riba ini tidak bergoyang kerana rekaan bingkai yang tebal serta bahagian bawah yang berat.
Kemasan komputer riba yang diperbuat daripada logam ini mengurangkan masalah pemanasan berlaku dan boleh dikatakan sentiasa sejuk ketika menggunakannya. Lubang udara untuk penyejukan komputer riba ini pula terletak di bahagian belakang untuk memastikan hembusan udara panas tidak akan mengganggu pengguna.
Papan Kekunci
Papan kekunci dilengkapi kekunci menggunakan rekaan chicklet yang kini menjadi rekaan standard pada hampir kesemua komputer riba di pasaran. Kerana saiz komputer riba yang besar, kekunci bernombor (numeric keyboard) disertakan. Ia direka dengan kemampuan kalis percikan air jadi pengguna tidak perlu risau kerosakan kritikal berlaku jika berlaku tumpahan. Golongan gamer gemar makan dan minum ketika sesi permainan video maka kemampuan kalis air ini amat diperlukan.
Terdapat sokongan lampu bagi memudahkan proses menaip atau sesi permainan video di dalam gelap. Ia walau bagaimanapun hanya memaparkan lampu berwarna merah dengan sokongan mematikan dan menghidupkannya sahaja. Tiada kawalan keterangan lampu yang kerap ditemui pada komputer riba kelas premium.
Ketiadaan sokongan lampu RGB dan kawalan keterangan ini bukanlah masalah besar bagi kami. Tetapi jika ada seorang gamer tegar yang inginkan kerdipan lampu yang selari dengan aksi pada skrin, Inspiron 7577 mungkin bukan untuk anda.
Binaan panel papan kekunci adalah amat teguh. Kami gemar menaip dengan pantas dan agresif sehingga kadang kala kami sedari berlaku lenturan pada panel papan kekunci komputer riba. Pada Inspiron 7577 ini tidak berlaku dan proses menaip terasa lebih selesa tanpa masalah lenturan.
Menaip tugasan sepanjang tempoh ulasan adalah amat selesa walaupun kekunci yang digunakan sedikit kecil dan jarak travel yang sedikit pendek. Secara peribadi kami lebih menggemari papan kekunci dengan jarak travel yang lebih besar. Tetapi kami sedari Dell perlu menyeimbangkan keperluan menaip kerja dengan keperluan ketika sesi permainan yang mahukan tekanan kekunci dikesan lebih pantas. Oleh itu jalan tengah diambil dan hasilnya ialah pengalaman menaip yang sederhana tetapi tidak mendatangkan masalah yang besar.
Komen negatif yang boleh diberikan mengenai papan kekunci ini ialah lampu merah yang digunakan kurang terang. Ia sedikit kurang bermaya apabila menaip di waktu malam. Alangkah baiknya jika keterangan lampu boleh dikawal dan dinaikkan sedikit untuk insan seperti kami yang sudah biasa dengan lampu kekunci yang lebih terang.
Pad Sesentuh
Touchpad Dell Inspiron 15 7577 menggunakan driver Windows Precision sekaligus menyokong kawalan gesture standard Windows 10. Walau bagaimanapun, saiz touchpad agak kecil dan sangat tidak selesa menggunakannya baik membuat kerja atau bermain permainan video. Seperti papan kekunci, Dell mengambil jalan tengah bagi menyeimbangkan keperluan gaming dan kerja dalam rekaan pad sesentuh.
Pada sesentuh kecil digunakan bagi mengelakkan ia tersentuh secara tidak sengaja ketika sesi permainan video yang agresif. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami masalah tersentuh pada sesentuh ketika sesi permainan video maka keputusan Dell menggunakan pad yang kecil dan sedikit kekiri adalah keputusan yang tepat. Walau tersentuh sekalipun perisian palm rejection yang digunakan mengesannya dengan baik.
Permukaan pad sesentuh yang sedikit kesat membuatkan tatalan kurang lancar jika ia digunakan untuk melakukan suntingan gambar menggunakan Photoshop misalnya. Kepada bakal pembeli, kami mengesyorkan anda membawa tetikus sepanjang masa kerana ia dapat mengurangkan masalah kejituan pad sesentuh yang digunakan.
Audio
Audio sering dianaktirikan pada komputer riba dan pada Inspiron 7577 kualiti pembesar suara yang digunakan adalah mengecewakan. Dua pembesar suara diletakkan pada bahagian hadapan dan ini menyebabkan “tembakan” bunyi tidak menghala terus ke telinga pengguna. Pada tetapan audio tertinggi bunyi yang dihasilkan tidak cukup kuat pada hemat kami.
Bunyi bass yang dihasilkan tidak berdentum dengan memuaskan. Terasa amat rata walaupun ketika mendengar muzik EDM. Treble mempunyai prestasi yang baik tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan. Bagi komputer riba gaming, kami mengharapkan kualiti audio yang lebih baik berbanding komputer riba biasa.
Kualiti audio hanya meningkat apabila kami menggunakan fon telinga. Terdapat sokongan audio spatial terbina untuk sesi permainan video yang lebih menyerlah. Dentuman bass akhirnya dapat dirasai sehingga tertanggal kerap telinga. Keseimbangan audio juga baik apabila fon kepala digunakan.
Oleh itu kemampuan audio Inpiron 7577 adalah seperti Dr. Jekyll dan Encik Hyde. Apabila menggunakan pembesar suara terbina ia mengecewakan dan hanya berubah apabila fon kepala berkualiti tinggi digunakan.
Ciri-Ciri
Komputer riba Dell Inspiron 15 7577 ini sebuah komputer riba yang ringkas dan mudah digunakan, jadi ia tidak mempunyai terlalu banyak gimik untuk diperkatakan. Walaupun begitu, ia tetap mempunyai beberapa ciri-ciri yang membuatkan pengalaman menggunakan laptop ini pengalaman yang cukup menarik.
Pertama ialah penggunaan kad grafik GeForce GTX 1060 Max Q dengan RAM GDDR5 6GB serta RAM sebesar 16GB membuatkan masalah pemanasan jarang berlaku. Sewaktu kami rancak bermain permainan-permainan komputer dengan komputer riba ini, bunyi kipas daripada laptop ini tidak kedengaran kuat kerana kad grafik Max-Q dan juga kualiti audio daripada pembesar suara yang baik.
Bagi mereka yang selalu menggunakan komputer riba untuk tugas-tugas menyunting gambar ataupun video, kelajuan penghantaran data yang pantas adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Port-port USB 3.1 Type-A mempunyai kelajuan menghantar data setinggi 500-600MB/s, manakala port Thunderbolt 3 USB-C 3.1 pula mempunyai kadar penghantaran data setinggi 1GB/s, kemampuan penggunaan kad grafik luaran dan juga kemampuan penggunaan monitor dengan resolusi 8K.
Ujian Tanda Aras
Antara ujian tanda aras yang kami lakukan adalah terhadap kemampuan grafik 3D dan juga ujian DirectX12.
Ujian DirectX12 ini dilakukan menggunakan Time Spy oleh 3DMARK. Markah keseluruhan yang diperoleh adalah 3162.
Ujian 3D pula dilakukan menggunakan Fire Strike oleh 3DMARK. Markah keseluruhan yang diperoleh adalah 8347.
Pengalaman Pengguna Dan Bateri
Komputer riba Dell Inspiron 15 7577 ini sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan cukup ciri-ciri penting dan utama, dan pada pendapat kami, ini adalah sesuatu yang agak baik. Penggunaan CPU Intel Kaby Lake dan kad grafik NVIDIA GTX 1060 Max Q bermakna beberapa permainan-permainan komputer terbaru boleh dimainkan dengan tetapan dan resolusi paparan yang cukup baik, khususnya jika anda seorang yang gemar bermain permainan video seperti PUBG, Rise of The Tomb Raider dan Wolfenstein II, komputer riba ini tiada sebarang masalah untuk bermain permainan sedemikian pada tetapan yang sederhana. Jika pengguna menetapkan pada tetapan maksimum, sedikit lengah masa akan terasa dan bunyi bising daripada kipas akan kedengaran.
Dari segi penggunaan harian. kami tidak menghadapi sebarang masalah menggunakan komputer riba ini. Dari segi pelayaran web, menonton video resolusi tinggi (Full HD, 4K) dan sebagainya. Jika anda menggunakan komputer riba ini sebagai untuk kegunaan umum untuk aktiviti-aktiviti bekerja dan juga permainan komputer, komputer riba Inspiron 15 7577 ini sebuah komputer riba yang cukup sesuai sekali untuk tugas-tugas tersebut.
Walaupun bersaiz agak besar, kami mendapati ia masih selesa digunakan di atas riba ketika digunakan di luar rumah. Tambah mengejutkan Inspiron 7577 ini kekal sejuk walaupun digunakan pada waktu yang lama. Tiada masalah riba terasa seperti dipanggang hidup-hidup seperti pengalaman kami mengulas beberapa komputer riba gaming sebelum ini.
Salah-satu masalah terbesar mengenai penggunaan komputer riba ini adalah jangka hayat bateri 56 Wh yang sangat lemah. Ketika melakukan tugas-tugas ringkas seperti melayari web, menaip artikel atau menonton video bateri komputer riba ini hanya bertahan selama 4-5 jam. Manakala, bermain permainan video ia hanya bertahan selama 90 minit sahaja. Walaupun port Type-C nya menyokong Thunderbolt 3, sayang sekali ia tidak boleh digunakan untuk mengecas.
Sebaliknya port pengecasan DC disertakan lengkap dengan kabel pengecasan 180W yang mempunyai bongkah yang besar dan berat. Inspiran 7577 ialah komputer riba dengan berat 2.85 kilogram. Apabila digabungkan dengan pengecas gergasi, pengguna perlu membawa lebih 4 Kilogram beban setiap kali ia disanding pada bahu. Oleh itu Ini bukanlah komputer riba yang ingin anda sandang sepanjang hari.
Dari segi skrin pula, Inspiron 15 7577 ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi 1920 x 1080 dengan kadar segar 60Hz yang cukup terang. Ia juga mempunyai sudut pandangan yang lebar dan ini membolehkan anda berkongsi skrin dengan orang lain tanpa sebarang masalah. Untuk komputer riba yang dikeluarkan pada tahun 2018, saiz bezel komputer riba ini agak besar dan mengganggu pengalaman keseluruhan.
Agak sedih kerana komputer riba ini tidak menyokong kadar segar 120Hz dan tidak mempunyai sebarang teknologi paparan seperti NVIDIA GSync atau AMD Freesync. Lokasi webcam juga diletakkan pada lokasi yang normal iaitu pada bahagian bingkai atas tetapi hanya menyokong resolusi 720P.
Kesimpulan
Komputer riba Inspiron 15 7577 ini merupakan sebuah komputer riba yang cukup bagus untuk kegunaan kerja seharian dan juga untuk bermain permainan komputer secara sederhana. Dari segi pemprosesan komputer dan grafik, komputer riba ini hadir dengan spesifikasi yang terkini dan juga cukup berkuasa.
Sayang sekali, saiz touchpad yang kecil ini tidak puas hati digunakan serta berat komputer riba yang hampir mencecah 3 KG membuatkan ia sukar untuk dibawa ke mana-mana.
Akan tetapi ini tidak menghalang komputer riba ini menjadi sebuah komputer riba yang cukup bagus untuk kegunaan seharian, tidak kira ia untuk kerja ataupun gaming.
Jika anda berminat untuk membeli komputer riba ini, ia sudahpun hadir di pasaran tempatan dengan tanda harga RM6,699. Dengan pembelian komputer ini kami rasa ia sudah cukup bagus untuk bermain permainan video pada resolusi dan tetapan yang sederhana. Kami mencadangkan anda menggunakan papan kekunci dan tetikus lain untuk memberi pengalaman penggunaan yang lebih menarik.
PRO | KONTRA |
|
|
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2HYj6l5
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment