10 Perkara Yang Perlu Pupus Pada Tahun 2019
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita meninggalkan 2018 dan memulakan tahun baru 2019. Sepanjang tahun ini kami menyedari terdapat beberapa perkara yang menjengkelkan di dalam dunia teknologi. Berikut ialah senarai sepuluh perkara yang kami rasakan perlu pupus pada tahun hadapan.
1. Port Pengecasan Mikro USB
Telefon pintar pertama dengan port pengecasan USB-C ialah LeTv Le 1 yang dilancarkan pada April 2015. Selepas tiga tahun, penggunaan port USB-C hanya terhad kepada peranti mercu dan sesetengah peranti kelas pertengahan. Memandangkan kita sudah hampir ke tahun 2019, adalah baik sekiranya USB-C dijadikan port pengecasan tunggal pada kesemua telefon pintar dan tiada lagi port pengecasan mikro USB. Ia bukan sahaja mempunyai rekaan yang lebih mudah untuk disambungkan dalam kegelapan malam malah kini lebih murah kerana digunakan dengan lebih meluas.
2. Pengecasan “Pantas” 10W
Kapasiti bateri semakin besar dan penggunaan peranti pula semakin meningkat. Satu perkara yang aneh kami lihat pada tahun 2018 ialah peranti yang masih hanya mengecas pada kuasa 10W (5V/2A). Ini adalah bersamaan dengan format pengecasan Qualcomm QuickCharge 1.0 yang diperkenalkan pada tahun 2013. Ia tidak lagi layak dikategorikan sebagai “pengecasan pantas” sama seperti Snapdragon 600 yang turut dilancarkan pada tahun yang sama tidak lagi layak dipanggil sebuah cip mercu.
3. Menyampaikan Mesej Tular Tanpa Usul Periksa
Media sosial direka untuk mengeratkan perhubungan antara saudara mara serta rakan taulan. Bermula dengan Friendster kini terdapat puluhan laman media sosial yang boleh digunakan. Namun satu perkara negatif yang berlaku sejak ianya wujud ialah penyampaian mesej tular yang tidak diketahui asal usul. Penyampaian tanpa asal usul ini mengakibatkan kematian di India dan pembersihan etnik di Myanmar.
Di Malaysia setahu kami kes tragis kerana penyebaran mesej tular sebegini masih belum berlaku. Namun beberapa insan telah disaman kerana memburukkan nama baik perniagaan (seperti Starbucks, McDonalds, Tesco), individu atau organisasi kerana khabar angin tidak berasas. Pihak SKMM terpaksa mewujudkan laman Sebenarnya.my bagi membanteras berita tular palsu. Anda boleh melakukan carian sendiri di Google sebelum menekan butang kongsi. Hapuskan budaya penyebaran berita palsu pada tahun 2019.
4. Peranti Bertakuk Tetapi Berdagu Besar
Apple iPhone X memulakan trend peranti bertakuk besar bagi memperkenalkan sistem imbasan wajah 3D Face ID. Sungguhpun begitu ia mempunyai bezel dan dagu yang nipis. Rekaan ini kemudian menjadi ikutan pengeluar lain tetapi jatuh ke dalam kategori tanpa sebab munasabah.
Banyak peranti Android bertakuk tetapi mempunyai dagu yang masih agak tebal. Ia menyebabkan rekanan hadapan peranti kelihatan tidak seimbang. Jika takuk ingin terus digunakan, kami harap biarlah ia bersebab seperti pada Mate 20 Pro (juga menyokong imbasan wajah 3D) dan Pixel 3 XL (untuk pembesar suara pada bahagian hadapan). Dengan dagu yang lebih kecil, pembohongan dalam pengiklanan seperti yang dilakukan oleh OnePlus dan Google akan dapat dihindarkan pada tahun 2019.
5. Peranti Terbaru Dengan Android Oreo
Android Pie telah dilancarkan pada Ogos 2018. Selepas empat bulan peratus penggunaan sistem operasi terkini ini masih lagi amat rendah. Ini tidak dibantu oleh pengeluar yang masih melancarkan peranti pada bulan Disember dengan sistem operasi Android Oreo. Pada tahun 2019 kami berharap tiada lagi telefon pintar terbaru dilancarkan dengan sistem operasi yang sudah satu generasi ke belakang.
6.Sokongan Navigasi Gesture Android Pie
Google mengesahkan sistem navigasi berasaskan gesture akan digunakan pada peranti Android selepas ini menggantikan tiga butang navigasi atas skrin. Ia lebih mudah dan pantas digunakan terutamanya dengan sebelah tangan. Sedikit merisaukan terdapat beberapa pengeluar seperti Sony dan Huawei yang tidak menyertakan sistem navigasi Android Pie asli pada peranti mereka. Sebaliknya sistem navigasi gesture sendiri digunakan yang pada hemat kami tidak selancar sistem yang dibangunkan oleh Google.
Mengapa mereka masih berkeras tidak kami ketahui kerana Xiaomi dan Nokia tiada masalah menggunakannya. Sokongan navigasi Android Pie Asli harus diberikan bagi memberikan pengalaman penggunaan yang terbaik pada tahun 2019.
7. Laman Yang Menghadkan Jumlah Aksara Kata Laluan
Hey 2019, kalau boleh tiada lagi had aksara yang boleh digunakan oleh pengguna apabila menetapkan kata laluan. Tidak logik langsung ada sesetengah laman perbankan hanya memberikan 8 aksara sahaja sebagai kata laluan. Bagi sebuah institusi penting yang menjadi portal pembayaran, lebih banyak aksara sepatutnya lebih bagus kerana mengurangkan kebarangkalian kata laluan diteka dengan mudah oleh penggodam.
8. Penghantaran TAC Hanya Menerusi SMS
Meneruskan lagi tema perbankan, sudah tiba masanya sistem penghantaran TAC dihadkan hanya kepada SMS. Ia menyukarkan dan kurang selama kerana terbukti SMS boleh dipintas oleh golongan tertentu. Pada waktu yang sama kerap kali tempoh menanti SMS adalah terlalu lama. Apabila berada di luar negara pula, pengguna perlu menggunakan khidmat perayauan yang mahal untuk menerima SMS. Sistem SecureTAC sudah digunakan oleh CIMB. Diharap semua bank-bank yang menawarkan perbankan atas talian akan memberikan fungsi TAC menerusi aplikasi peranti pintar. Ia lebih pantas dan selamat.
9. Fungsi Yang Hadir Beberapa Bulan Selepas Peranti Dijual
Satu trend aneh yang berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini ialah fungsi baharu yang diperlihatkan ketika majlis pelancaran peranti tetapi hanya akan hadir beberapa bulan selepas ia dijual. Contoh terbaik ialah mod Portrait iPhone X dan imbasan objek 3D pada Mate 20 Pro. Pengguna kemudian akan menerima perisian versi Beta untuk diuji yang tidak berfungsi sebaik yang diperlihatkan di atas pentas. Ia adalah trend yang kurang kami gemari kerana menjanjikan sesuatu yang kemudiannya tidak berfungsi sebaik demo. Pengguna secara tidak langsung menjadi penguji Beta yang tidak berbayar.
10. Fanboyism Yang Melampau
Berita masalah Android dan iOS di Amanz pasti dipenuhi komen berbaur kutukan dari peminat dua sistem operasi telefon mudah alih popular ini. Pada tahun 2019 kami hanya boleh berharap pembaca akan menjadi lebih matang. Tidak ada sistem operasi yang benar-benar sempurna kerana kod ditaip oleh manusia bukannya tuhan. Sebagai manusia terpelajar dengan peranti pintar di tangan, komentar yang lebih pintar juga perlu ditinggalkan pada tahun 2019. Mari kita memperbaiki diri di tahun-tahun mendatang. Selamat tahun baru kepada pembaca Amanz.
Ini adalah senarai sepuluh perkara yang kami rasakan perlu pupus. Adakah anda bersetuju? Apakah pula perkara yang anda rasakan perlu dikuburkan sahaja tahun ini? Tinggalkan komen anda di bawah.
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2TdCZtF
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment