Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pandang Pertama: Vivo NEX Dual Display – Telefon Dengan Dwi-Skrin & Tri-Kamera - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pandang Pertama: Vivo NEX Dual Display – Telefon Dengan Dwi-Skrin & Tri-Kamera

Vivo NEX Dual Display
Skrin 6.39” AMOLED, FHD+
Nisbah 19.5:9, 403 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x Kryo 385 Gold 2.7 GHz
4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 630
Memori 10GB RAM
Storan 128GB UFS 2.1
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 2MP f/1.8 + ToF
Kamera Hadapan Tiada
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem Funtouch OS 4.5
Android 9.0 Pie
Bateri 3500 mAh, Pengecasan 22.5W
Dimensi 157.2 x 75.3 x 8.1 mm
Berat & Ketebalan 199g, 8.1mm

Tahun 2018 menyaksikan banyak memperlihatkan rekaan peranti yang menarik dalam usaha untuk menghasilkan peranti berskrin penuh. Walaupun usaha ini telah mula digerakkan oleh Sharp (menerusi Sharp Aquos Crystal) dan Xiaomi (menerusi Xiaomi Mi MIX), pengeluar pada tahun ini nampaknya semakin agresif dalam menghasilkan peranti berskrin penuh ini. Apa yang menarik, ia direka bukan hanya sekadar konsep, tetapi menjadi produk akhir yang boleh dibeli pengguna.

Pada awal tahun ini, Vivo telah melancarkan peranti berskrin penuh mereka menerusi Vivo NEX dengan rekaan kamera kecil yang boleh dikeluarkan ke atas. Kemudian, OPPO pula hadir dengan Find X yang menyajikan rekaan mekanikal yang boleh dikeluarkan secara automatik. Selang beberapa bulan berikutnya, Xiaomi hadir dengan Mi MIX 3 dengan rekaan belakang yang boleh diluncurkan secara manual. Sebuah lagi peranti yang mencuri perhatian ialah ZTE Nubia X, dengan mendatangkan skrin di bahagian belakang, untuk menjadi paparan bagi fungsi penggambaran diri.

Vivo NEX Dual Edition adalah peranti kesinambungan bagi Vivo NEX yang kini hadir dengan konsep yang berbeza. Ia menggunakan konsep yang serupa seperti ZTE Nubia X namun rekaan belakangnya hadir dengan tampilan yang lebih unik. Ia juga membawa spesifikasi yang lebih berkuasa melalui peningkatan saiz RAM berbanding Vivo NEX versi asal.

Rekaan

Satu persoalan yang akan ditanya oleh pengguna ialah, kenapa Vivo memperkenalkan rekaan seperti ini? Adakah ia suatu gimik? Bagi saya, ia adalah satu usaha yang bijak kerana ia tidak menggunakan sebarang bahagian mekanikal yang bergerak. Bahagian belakang peranti selalunya dibiarkan kosong, jadi dengan rekaan ini, ia dapat dimanfaatkan dengan perletakkan skrin kedua.

Jadi apa yang boleh lakukan dengan rekaan dwi-skrin ini? Pertama sekali, sudah tentu, anda boleh menggunakannya sebagai paparan untuk kegunaan swafoto. Dengan penggunaan kamera utama, ia dapat menghasilkan swafoto yang lebih terang dan tajam bersama keupayaan autofokus terbina. Kedua, anda juga boleh menjadikan dua paparan ini sebagai paparan kamera ketika anda mengambil gambar orang lain. Dengan kebolehan ini, orang di hadapan anda dapat melihat paparan kamera yang sama seperti mana yang dilihat oleh anda.

Selain kegunaan kamera, bahagian ini boleh dijadikan sebagai alat kawalan permainan seumpama fungsi touchpad pada DualShock 4. Bayangkan anda memainkan PUBG Mobile, anda boleh menjadikan skrin dibelakang sebagai touchpad untuk menggerakan padangan. Apa yang menarik, kedua-dua skrin ini boleh melakukan dua aktiviti yang berbeza. Seperti contoh, anda boleh memainkan Fornite di bahagian hadapan dan memainkan PUBG Mobile pada skrin di bahagian belakang.

Dengan penggunaan dwi-skrin ini, bagaimana pula dengan ketahanan bateri? Sebenarnya secara terbina, hanya ada satu skrin sahaja yang boleh dinyalakan dalam satu-satu masa, melainkan anda menggunakan menggunakan aplikasi dan fungsi yang boleh menyalakan kedua-dua skrin. Jadi apabila anda menggunakan skrin utama, skrin kedua akan terpadam secara sendiri. Apabila anda menerbalikkan peranti dan menuju ke skrin kedua, skrin utama pula akan dipadamkan. Menariknya dengan penggunaan skrin kedua ini, anda boleh menjimatkan penggunaan bateri kerana saiz paparanya lebih kecil.

Rekaan belakang peranti turut menempatkan satu bulatan yang dinamakan sebagai Lunar Ring dengan rekaan yang menembusi rekaan skrin kedua ini. Bahagian Lunar Ring ini malangnya sedikit timbul sekaligus mengundang kepada kesan calar pada rekaan ini. Menariknya, rekaan ini mampu mengeluarkan cahaya bulat sebagai lampu indikator ketika menggunakan fungsi Portrait Mode. Warna bulatan ini akan bertukar ke warna lain mengikut jenis Portrait Lighting yang sedang diaktifkan. Ia juga menempatkan dua flash LED kecil pada kedua-dua bahagian sisi bulatan ini untuk menerangi swafoto pengguna.

Sebaris dengan bahagian Lunar Ring ini, ia menempatkan sejumlah perkakasan, seperti lampu flash LED utama, kamera utama 12MP f/1.8, kamera kedua 2MP f/1.8, kamera Time-of-Flight (ToF), dan sensor IR illuminator. Apa yang menarik, ia juga menempatkan saluran pendengaran (earpiece) di bahagian atas, sekaligus membolehkan bahagian belakang ini digunakan untuk menjawab panggilan. Di bawahnya terdapat label “NEX” yang berdiri sebagai penjenamaan siri telefon dengan rekaan masa hadapan.

Pada bahagian sisi kanan peranti, ia menempatkan butang pelarasan suara bersama butang kuasa untuk membuka dan mengunci peranti. Di bahagian kiri pula menempatkan butang pembantu maya untuk memudahkan anda melancarkan fungsi Google Assistant. Apabila anda menggunakan skrin di bahagian belakang, kesemua fungsi butang ini masih sama dan tidak ditukarkan kedudukaannya. Jadi apabila anda menggunakan skrin kedua ini, butang pembantu maya berada disebelah kanan, dan butang pelarasan suara/kuasa berada di bahagian kiri.

Agak menarik sebenarnya kerana ia masih mengekalkan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Disaat sejumlah besar peranti mercu membuang bicu ini, Vivo NEX Dual Display ini masih mengekalkannya untuk memberi kesengangan kepada pengguna. Di bahagian bawah peranti menempatkan sambungan USB-C bersama-sama dengan pembesar suara bersasaskan mono. Ia juga menempatkan slot dwi-sim di bahagian bawah, namun tidak menyajikan sebarang perletakkan kad mikroSD.

Seperti Vivo NEX versi asal, pengimbas cap jarinya masih ditempatkan pada bahagian bawah skrin. Kepantasannya juga dilihat hampir serupa — kadangkala ia lancar dan kadangkala ia bertindak sedikit lambat. Namun anda masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah yang terbina, dengan memerlukan anda menerbalikkan peranti ke skrin belakang untuk menggunakannya. Dengan teknologi IR, ia bukan sahaja dapat membuka peranti dengan lebih lancar namun turut boleh digunakan pada waktu gelap.

Dengan rekaan dwi-skrin ini, paparan di bahagian hadapan peranti telah berjaya mencapai nisbah screen-to-body setinggi 91.63%. Ia menyajikan paparan AMOLED sebesar 6.39-inci, yang mana menyerupai saiz paparan Xiaomi Mi MIX 3. Kualiti paparannya dilihat sangat baik, dengan memberi kontras warna yang cemerlang bersama paparan warna hitam yang sebenar. Ia juga hadir dengan darjah pandangan yang luas bagi memudahkan anda melihat skrin ini dari sudut yang berlainan.

Sistem

Vivo NEX Dual Display dijana dengan Funtouch OS 4.5 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan Android 9.0 Pie. Paparan antaramuka ini kelihatan ceria, namun boleh dikatakan banyak terinpirasi daripada rekaan iOS. Paparan skrin utama menyajikan kesemua aplikasi yang terpasang tanpa sebarang perletakkan talam aplikasi. Ia juga menyajikan paparan seakan Control Centre, dengan memerlukan pengguna menaikkan paparan ini dari bahagian bawah ke atas skrin.

Antara fungsi yang telah hadir pada Funtouch OS 4.5 ini, ia menyajikan fungsi Smart Motion untuk kebolehan Raise to Wake dan pengaktifkan suatu aplikasi melalui gesture. Ia juga menyajikan fungsi One-handed Mode dengan mengeluarkan paparan mini untuk memudahkan kawalan pada sebelah tangan. Ia turut hadir dengan fungsi App Clone untuk membolehkan ia menghasilakan aplikasi pendua untuk WhatsApp dan Facebook.

Prestasi

Vivo NEX Dual Display dijana dengan cip yang sama digunakan pada pada Vivo NEX sebelum ini, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 845. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.7 GHz + 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 630. Ia merupakan cip yang terpantas untuk siri Snapdragon tahun ini, dengan membolehkan pengguna memainkan sejumlah permainan terkini pada tetapan grafik tertinggi.

Dengan penggunaan memori setinggi 10GB RAM, ia memberi pengalaman pertukaran aplikasi yang sangat lancar tanpa perlu menunggu untuk aplikasi bersedia semula. Dengan penggunaan storan UFS 2.1, aplikasi dapat dibuka dengan sangat pantas selain mampu mengurangkan masa menunggu ketika membuka permainan.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Vivo NEX Dual Display membawakan sistem tri-kamera, dengan menawarkan sensor utama 12MP (f/1.8, 1/2.55”, 1.4µm), sensor kedua 2MP (f/1.8), dan sensor Time-of-Flight (ToF) untuk penggambaran 3-dimensi. Ia juga menyajikan sistem penstabilan optikal (OIS) pada sensor utama 12MP bagi membantu untuk mengurangkan kesan gegaran. Untuk bantuan penggambaran malam, ia dilengkapi dengan satu lampu flash LED utama dan dwi-lampu LED pada Lunar Ring yang boleh dihidupkan secara terus ketika mengambil swafoto.

Apabila anda membuka kamera melalui skrin di bahagian hadapan, ia akan memaparkan antaramuka standard seperti peranti Vivo yang lain. Ia hadir dengan sejumlah fungsi seperti AI Beauty, Pano, Professional, dan AR Stickers. Di bahagian atasnya pula menempatkan butang kawalan untuk mengaktifkan Selfie Lighting, Live Photo, dan Dual Mode untuk kebolehan memaparkan paparan kamera pada kedua-dua skrin.

Namun apabila anda menerbalikkan peranti dan menggunakan aplikasi kamera pada skrin di bahagian belakang, ia akan memaparkan antaramuka yang lebih dioptimasikan untuk swafoto. Ia hadir dengan butang kawalan yang membulat bagi memberi bayangan kepada rekaan Lunar Ring pada bahagian atas peranti. Fungsinya juga telah dikurangkan, seperti ketiadaan fungsi Professional dan fungsi Dual Mode. Namun anda boleh mengaktifkan lampu dwi-LED pada Lunar Ring, yang mana fungsi ini tidak ditawarkan ketika menggunakan aplikasi kamera pada skrin di bahagian hadapan.

Dari segi rakaman video, peranti ini boleh merakam sehingga resolusi 4K, namun fungsi penstabilan imej hanya boleh diaktifkan untuk rakaman 1080p. Ia juga hadir dengan rakaman 60fps, namun hanya dihadkan untuk resolusi 1080p dan 720p. Bagi mengikuti perkembangan teknologi rakaman pada hari ini, dua format rakaman telah dibekalkan di dalam peranti ini, iaitu format standard H.264 dan format terkini H.265 untuk saiz fail video yang lebih efisien.

Bateri

Vivo NEX Dual Display telah didatangkan dengan kapasiti 3500 mAh iaitu kapasiti yang sedikit rendah berbanding Vivo NEX (4000 mAh). Namun dengan penggunaan cip 10nm menerusi cip Snapdragon 845 ini, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin sekitar 5-6 jam. Dari segi pengecasannya, ia telah menyokong pengecasan pantas 22.5W bagi membolehkan kapasiti bateri ini dicas di bawah 2 jam.

Rumusan

Vivo NEX Dual Display menawarkan peranti berskrin penuh yang menarik dengan rekaan dwi-skrin yang mempunyai banyak potensi di dalamnya. Rekaan ini walaupun dilihat gimik, implementasi yang dilakukan oleh Vivo telah menjadikannya sebagai suatu rekaan yang cukup berguna. Ia bukan sahaja dapat ‘menggalas’ fungsi kamera hadapan, tetapi turut boleh dijadikan alat kawalan permainan sekunder. Apa yang istimewa lagi, ia membolehkan anda melakukan dua perkara berbeza pada setiap skrin yang didatangkan apda peranti ini.

Vivo NEX Dual Display juga hadir dengan spesifikasi yang berkuasa untuk bersaing dengan peranti sekelasnya. Ia hadir dengan cip Qualcomm Snapdragon 845 dan memori 10GB RAM bagi menggalas penggunaan intensif anda. Ia juga hadir dengan storan dalaman 128GB UFS 2.1 dalam menyingkatkan masa pembukaan aplikasi. Dengan skrin AMOLED sebesar 6.39-inci, ia direka untuk pelbagai keperluan, lebih-lebih lagi untuk kegunaan permainan dan multimedia. Ia hebat, pantas, dan futuristik sekaligus membuatkannya sebagai salah satu peranti yang menarik untuk dilihat pada tahun ini.

Dari segi jualan, harga dan tarikh pelancaran Vivo NEX Dual Display untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui buat masa ini. Namun harganya telah diumumkan untuk pasaran China yang mana bersaing dengan OnePlus 6T McLaren Edition. Peranti ini telah ditawarkan pada harga 4,998 CNY (~RM3030) untuk variasi 10GB RAM + 128GB.



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2CvBykG

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.