Pelajar guna cermin mata ‘Mission Impossible’ tipu periksa
BANGKOK: Sebuah kolej perubatan terkemuka Thailand menangkap tiga pelajarnya yang menggunakan kamera ala perisik dihubungkan dengan jam pintar di tangan masing-masing untuk membolehkan mereka meniru dalam peperiksaan.
Perbuatan tiga pelajar kaya itu didedahkan Rektor Universiti Rangsit Arthit Ourairat yang memuat naik gambar peralatan berteknologi tinggi itu di akaun Facebooknya kelmarin.
Pengguna media sosial memberikan pelbagai reaksi dengan ada yang kagum dan menganggap ia sama seperti filem Mission Impossible.
AFP memetik Arthit sebagai berkata pelajar terbabit menggunakan cermin mata dengan kamera tanpa wayar yang dipasang pada rangkanya untuk menyalurkan imej kepada sekumpulan orang yang belum dinamakan.
Kumpulan itu kemudian menghantar jawapan menerusi jam pintar yang dipakai pelajar terbabit.
Arthit berkata, pelajar itu membayar 800,000 baht (RM91,500) setiap seorang kepada kumpulan berkenaan untuk peralatan itu dan jawapan.
Rangkaian berita Channel 3 Thailand melaporkan pelajar terbabit disenaraihitamkan.
“Kami mahu perkara ini diketahui umum supaya orang ramai sedar mereka perlu berhati-hati, terutama bagi peperiksaan perubatan di mana mendapat permintaan tinggi di kalangan pelajar tetapi tidak banyak kekosongan kerja,” kata Arthit kepada rangkaian berita itu.
Arthit juga mengumumkan peperiksaan kemasukan terpaksa dibatalkan selepas cubaan meniru itu terbongkar.
Ramai pengguna Internet mengutuk perbuatan pelajar terbabit, tetapi tidak kurang juga memuji kebijaksanaan mereka.
“Bayangkan jika mereka lulus dan tamat pengajian, mereka menjadi doktor yang sebenarnya tidak bertauliah dan mungkin merawat kita,” kata seorang pengguna.
Namun, seorang lagi berkata: “Wah. Tidak ubah seperti Hollywood atau Mission Impossible.”
Ijazah perubatan dipandang tinggi di Thailand kerana pemegangnya boleh menjadi kaya apabila menyertai hospital swasta. Thailand ialah antara hab perubatan paling terkenal di dunia.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1VRp4rR
Post a Comment