Bukan Islam dilarang pakai singkat? Ridhuan Tee bela usul Hadi
KUALA LUMPUR, 12 Jun — Bukan Islam tidak sewajarnya membantah rang undang-undang (RUU) memperkasakan mahkamah syariah kerana mereka bebas menjalankan aktiviti harian, kata Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Ahli akademik itu memberikan contoh sebilangan bukan Islam yang mengenakan pakaian mencolok mata, namun masih tidak dilarang berbuat demikian di negara ini.
“Contoh, sekarang orang nak pakai singkat, ada kita tegur? Tapi bila (orang Islam) nak kembali kepada cara hidup kita, janganlah ada orang bukan Islam membantah,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau melihat pelaksanaan syariah, yang menjadi nilai kehidupan orang Islam, sebagai jawapan kepada masalah sistem demokrasi yang dianggapnya kian gagal.
“Selepas sekian lama kita berada dalam sistem demokrasi yang tidak berjaya untuk memanusiakan manusia. Demokrasi hari ini sudah mula nak ‘membinatangkan’ manusia.
“Kita tengok di Barat, yang jaguh pada demokrasi, cara hidup mereka semakin lama semakin tidak menjadi manusia, jadi kenapa kita bersangka buruk pada undang-undang Islam ini,” katanya dalam wawancara tersebut.
Ridhuan mengulas RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat hujung bulan lalu.
RUU persendirian itu mendapat kebenaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak namun tidak disenangi ramai pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.
Pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan Gerakan berhasrat meninggalkan jawatan masing-masing jika RUU persendirian itu diluluskan Parlimen. SUPP juga menolaknya.
Ridhuan berkata umat Islam yang majoriti di negara ini tidak perlu mendapat kebenaran bukan Islam, yang dianggapnya “orang luar”, bagi melaksanakan syariah.
Namun kerana perundangan negara perlu merujuk ke Parlimen, maka umat Islam akur berbuat demikian, tambahnya.
“Pada saya kalau (hudud) hendak dilaksanakan pun di Kelantan, lebih 95 peratus adalah orang Islam dan mereka sendiri memintanya.
“Kalau tanya saya lebih ekstrem lagi, kenapa peribumi perlu minta hak, keizinan kepada orang luar untuk melaksanakan cara hidup dia?
“Saya amat pelik, tidak perlu pun kalau tanya saya, tidak perlu minta kebenaran Parlimen pun. Namun kerana sistem sudah sedemikian rupa,” katanya.
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1tk53hw
Post a Comment