Mahathir rayu pengundi Kuala Kangsar sokong AMANAH
KUALA KANGSAR: Selepas seharian berkempen untuk AMANAH di Sungai Besar semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memulakan kempennya di Kuala Kangsar.
Dalam program ‘1MDB dan Derma Najib Razak’ anjuran Pakatan Harapan, mantan Perdana Menteri itu merayu hadirin agar memberikan undi mereka kepada calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.
“Saya merayu supaya sokongan diberikan kepada Termizi. Beliau datang dari keluarga ternama, bijak pun bijak.
“Dia nampak matang dan layak wakili (Kuala Kangsar). (Walaupun) rambut dah putih sedikit, dan taklah muda macam saya,” katanya disambut ketawa kira-kira 300 hadirin.
“Beri kemenangan kepadanya, agar kita dapat buktikan yang Najib tidak dikehendaki lagi oleh rakyat,” katanya lagi.
Termizi, 61 tahun, merupakan seorang profesor fizik nuklear dan keturunan keenam Datuk Maharaja Lela, tokoh yang menentang Residen British JWW Birch pada abad ke-19.
Dalam pada itu, Mahathir juga mendakwa beliau pernah bertemu secara peribadi dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan tentang kesalahan Najib, dan mendakwa Hadi sendiri mengakui kebenarannya.
“Saya bagi penjelasan mendalam tentang kesalahan Najib; tentang Najib pada kuasa asing, tubuh 1MDB dan selewengkan duit. Semua ini membazirkan duit rakyat.
“Dia mengaku ada kebenarannya. Tetapi akhirnya tinggal keseorangan dan sebab itu dia berpihak kepada Najib. Kini perjuangan PAS untuk pertahankan Najib,” katanya lagi dalam sidang media.
Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata PAS tidak mungkin dapat mengalahkan BN jika berseorangan dan strategi terbaru parti itu adalah dengan berbaik-baik dengan Najib.
Dalam program ini, Mahathir sekali lagi menekankan skandal yang menyelebungi Najib, terutama berhubung 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam menyatakan kesedihannya berhubung tindakan Mahathir itu, sambil menyifatkan isu tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PRK kali ini.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1Oj4Ftn
Post a Comment