Kontinjen badminton negara, anda telah memberikan yang terbaik!
22 OGOS — Ketika artikel ini diterbitkan, majlis penutup sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro sedang berlangsung sekaligus menandakan berakhirnya temasya sukan terbesar dunia itu.
Pada temasya kali ini juga, kontinjen Malaysia turut mencatat sejarah kerana merangkul pungutan pingat terbanyak dalam sejarah pembabitan mereka sejak menyertai Sukan Olimpik di Melbourne, Australia 60 tahun yang lalu.
Jumlah pungutan pingat sebanyak 4 pingat perak dan 1 gangsa di Rio turut memberikan keyakinan kepada negara bahawa kilauan emas yang pertama negara bakal diraih dalam temasya Sukan Olimpik yang akan datang di Tokyo empat tahun dari sekarang.
Jika pada temasya Olimpik 2012 di London menyaksikan hanya dua sukan yang menyumbang pingat iaitu badminton dan terjun, Rio 2016 menyaksikan penguasaan sukan badminton, terjun dan sukan berbasikal. Peningkatan prestasi daripada pasangan bergu campuran dan bergu lelaki kali ini yang masing-masing meraih pingat perak tanpa disangka-sangka oleh kebanyakan pihak, memberi sinar harapan bahawa sukan badminton masih berupaya menyumbang pingat kepada negara sekalipun ketiadaan Datuk Lee Chong Wei selepas ini.
Tatkala negara kita berbangga dan bergembira dengan kejayaan berkenaan, ada juga pihak tertentu khasnya segelintir akhbar tempatan yang jelas kurang peka dengan sentimen semasa apabila menerbitkan tajuk berita di muka hadapan yang seolah-olah menyalahkan pasangan bergu campuran negara kerana menghampakan jutaan rakyat Malaysia selepas gagal meraih emas.
Seperti yang diduga, tajuk dalam akhbar berkenaan akhirnya menjadi viral di media sosial dan dikecam hebat oleh netizens. Rata-rata menyelar tindakan pihak pengarang akhbar berkenaan yang seolah-olah menidakkan sumbangan yang diberikan oleh pasangan bergu campuran negara.
Kepada pihak pengarang akhbar tersebut, apakah tidak ada tajuk berita lain yang boleh digunakan untuk menggambarkan kekecewaan pasangan bergu campuran negara itu? Apa perlunya dan motifnya untuk mengatakan bahawa pasangan tersebut telah menghampakan jutaan rakyat Malaysia?
Benarkah mereka telah menghampakan negara? Dalam konteks apa? Kenapa tidak akhbar tersebut melihat kekalahan pasangan bergu negara daripada aspek prestasi dan pencapaian mereka kali ini? Bukankah ini kali pertama dalam sejarah sukan badminton bahawa acara bergu campuran menyumbang pingat? Mengapa begitu cepat menjatuhkan penghakiman terhadap kegagalan mereka itu?
Dalam konteks editorial yang disajikan, jelas tindakan itu dibuat tanpa mengambil kira sensitiviti dan keringat yang telah dicurahkan oleh pasangan bergu campuran negara tersebut. Itu sebabnya dalam apa jua keadaan ketika menulis sesebuah artikel adalah cukup penting jika si penulis dan si editor untuk menulis secara objektif dan bukan didasari dengan emosi.
Umum memahami bahawa untuk melariskan jualan akhbar, tajuk dan cerita yang disajikan haruslah menarik dan kontroversi. Namun demikian, dalam keghairahan untuk melariskan jualan akhbar, editor berita mempunyai tanggungjawab sosial memastikan bahawa apa yang dilaporkan itu adalah benar, tepat dan mendidik para pembaca, bukannya untuk menjatuh hukum pihak tertentu.
Dalam menulis sesuatu artikel, jangan sesekali membuat tanggapan berdasarkan kepada pemahaman anda semata-mata tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta yang kukuh. Nilai terlebih dahulu apakah tajuk artikel yang diletakkan itu akan memberi impak ataupun kesan sebaliknya kepada perasaan orang lain.
Apa salahnya jika tajuk akhbar itu diubah kepada kempunan raih pingat emas, pasangan bergu campuran tekad untuk cuba lagi ataupun kami telah lakukan yang terbaik. Bukankah tajuk-tajuk sedemikian adalah jauh lebih baik daripada tajuk terdahulu?
Kontinjen badminton negara kita telah mencuba sedaya-upaya mereka. Malangnya, nasib tidak menyebelahi mereka. Tiada siapa yang mahu kalah dalam permainan yang disertainya. Akan tetapi, kalah dan menang adalah adat permainan.
Episod ini mengajar mana-mana si penulis dan editor untuk lebih berhati-hati dalam menulis dan tajuk artikel mereka. Ada ketikanya tajuk artikel yang ditulis oleh pihak media yang tidak menggambarkan jalan cerita sebenarnya dan inilah sesuatu yang perlu dielakkan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada kontinjen Malaysia kerana berjaya mengharumkan nama negara. Jadikan kritikan dan tajuk berita yang kurang sesuai itu sebagai penyuntik semangat untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti. Persiapan bermula dari sekarang.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
Source : Malay Mail Online | All http://ift.tt/2b8kWV5
Today updated news promoted by Mukah Pages
Post a Comment