Hi! Welcome Back and Stay Tune! 53 tahun Malaysia, adakah kita sudah bersatu? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

53 tahun Malaysia, adakah kita sudah bersatu?

Seorang lelaki atau wanita yang dilahirkan pada 16 September 1963 di negara ini kini bukan sahaja telah mempunyai anak yang dewasa, tetapi ada daripada mereka menerima pelajaran sehingga ke universiti dan terdedah kepada dunia luar.  Sebahagian daripada mereka telah pun mempunyai cucu. Lelaki atau wanita berkenaan besar kemungkinan telah banyak kali berkunjung ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, selain negeri-negeri lain di negara ini.

Berbanding 40 atau 50 tahun lalu dan berbanding dengan ayah ibu dan generasi terdahulu, lelaki dan wanita terbabit  serta anak-anak mereka telah banyak  bergaul dengan etnik lain bukan sahaja di bangku sekolah, tetapi juga  melalui interaksi di tempat kerja dan dalam acara serta kesempatan tidak formal lain.

Meskipun masih ada jurang dari segi geografi dan budaya, tetapi melalui sistem pendidikan yang  sama, pendedahan melalui media massa,  dan pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan,  jurang psikologi, geografi dan budaya sedikit sebanyak telah dapat dirapatkan.

Lelaki atau wanita itu yang hanya biasa dengan budaya etnik sendiri pada awal 1960-an dan 1970-an kini mulai memakai pakaian etnik lain, makan roti canai, nasi lemak, dan lebih memahami budaya etnik lain.

Nasi lemak yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu turut digemari semua etnik lain. Nasi goreng Cina dan mi hailam turut dimakan oleh orang India, Makanan menjadi lambang persahabatan dan keakraban yang dikongsi pelbagai etnik.

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan sebuah persekutuan terus melangkah ke hadapan dengan yakin. Daripada pendidikan yang diterima, rakyatnya kini mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Sebahagian besar daripada 30 juta rakyat Malaysia  menikmati kualiti hidup yang tidak pernah diimpikan oleh generasi terdahulu.

Perjalanan  Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan sejak  50 tahun lalu adalah panjang dan berliku. Sebagai negara yang bukan sahaja terdiri daripada lebih daripada 80 etnik, Malaysia dipisahkan oleh Laut China Selatan yang terdiri daripada pelbagai negeri dan wilayah.

Ketika pemimpin utama negara dan juga para pemimpin daripada Sabah dan Sarawak bersetuju dengan penubuhan Malaysia pada 1963, mereka sedar bahawa selain untuk melaksanakan pembangunan, terdapat cabaran lain dari segi politik, budaya, sosial, ekonomi dan ancaman dalaman dan luaran.

Itulah sebabnya, sejak dahulu para pemimpin dan kerajaan menekankan kesepaduan sosial, perpaduan dan integrasi nasional.

Kerajaan percaya bahawa kemajuan negara dalam pelbagai bidang hanya dapat diraih jika rakyat pelbagai etnik dapat disatupadukan.

Kestabilan sosiopolitik dijamin melalui hubungan etnik dan budaya yang harmoni.

Melalui dasar integrasi  dan dasar 1 Malaysia, kerajaan berharap untuk mewujudkan masyarakat pelbagai etnik dan negeri yang harmoni dan bersatu padu. Budaya, sosial, agama dan lokasi tidak menjadi hambatan.

Di bawah sebuah unit politik dan sistem persekutuan, kerajaan berharap untuk mewujudkan bukan sahaja integrasi wilayah, tetapi juga integrasi ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan integrasi kebudayaan, membabitkan budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan.

Kejayaan persekutuan Malaysia berpunca daripada pelbagai faktor. Selain adanya kepemimpinan dan kenegarawan yang bijak, tolak ansur pelbagai kaum, perlembagaan yang berjaya melindungi rakyat dan negeri serta kesediaan negeri dan wilayah terbabit untuk saling bekerjasama dari segi ekonomi telah memastikan survival Malaysia.

Faktor persamaan sosiobudaya masyarakat pelbagai etnik di negara ini turut memainkan peranan penting dalam menjayakan sistem persekutuan.

Tolak ansur dari segi bangsa, bahasa, budaya atau agama turut menjadi mangkin peneguh kesatuan sosial dan integrasi nasional.

Bagi mencapai integrasi budaya  menuju 1 Malaysia, jalannya bukan mudah. Dengan kerencaman dan kepelbagaian budaya masyarakat pelbagai etnik dari pelbagai wilayah dan negeri di negara ini, kita dapat bayangkan cabaran dan kesukaran yang perlu dilalui, apatah lagi dengan perubahan landskap politik selepas PRU 1999, dan juga selepas PRU 2008 dan 2013 lalu.

Ruang awam semakin terbuka luas. Rakyat semakin terpelajar dan terdedah kepada media alternatif di alam maya. Kadar celik politik mereka semakin tinggi. Mereka lebih berani menyuarakan hak dan kepentingan etnik masing-masing.

Sesetengah golongan termasuk ahli politik  mencabar dan meragui metaneratif, termasuk kebudayaan kebangsaan. Segelintir lagi jahil tentang budaya masyarakat di negeri lain dan etnik lain.

Mereka seolah-olah berada dalam kepompong etnik dan budaya sendiri. Mereka bagai terpisah daripada etnik lain dan hanya mementingkan diri dan etnik sendiri.

Sesudah Malaysia dibentuk selama lebih 50 tahun, adakah rakyat di  Semenanjung lebih faham akan etnik dan budaya etnik di Sabah dan Sarawak? Dan bagaimana pula rakyat di kedua-dua negeri itu?

Adakah mereka lebih faham tentang budaya dan etnik lain di Semenanjung?  Adakah Laut China Selatan terus menjadi jurang pemisah?

Bagaimana pula dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan? Adakah bahasa itu dipelajari hanya untuk lulus peperiksaan atau turut digunakan secara meluas oleh semua etnik dalam semua keadaan sebagaimana bahasa Indonesia digunakan oleh rakyat Indonesia?

Hakikatnya, dalam usaha kita menuju 1 Malaysia dan melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa, segala tembok psikologi dan jurang pemisah dari segi budaya perlu diruntuhkan dan ditimbus.

Tonggak kesepaduan sosial dan integrasi terutama bahasa Melayu perlu terus diperkukuh dan digunakan dalam komunikasi dan interaksi melibatkan pelbagai etnik. Jika tidak, rakyat akan terus berada di atas landasan etnik dan polarisasi.

Ketika kita melangkah ke fasa kedua selepas 50 tahun Malaysia dibentuk, keterbukaan dan pengintegrasian sosial dan negeri perlu dijadikan tiang seri bagi menjamin kemantapan politik, kestabilan sosial dan kemakmuran ekonomi. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.