Ciuman Mahathir ciuman maut
Ramai rakyat terkejut dengan pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam di lokasi yang cukup ironik.
Bekas Perdana Menteri yang memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 menyebabkan tokoh pembangkang itu turun naik mahkamah kerana kes liwat.
Justeru, apabila kedua-dua pemimpin itu bertemu, bersapa dan berjabat tangan semalam, tentu ramai yang teruja.
“Beliau bersedia datang ke mari dan menyatakan sokongannya dengan permohonan ini dan berharap supaya saya sentiasa sihat, dan dengan itu saya anggap beliau menyokong agenda reformasi,” kata Anwar.
Anwar berkata, beliau menghargai langkah Dr Mahathir itu. Anwar kelihatan berjiwa besar.
“Saya hargainya… hakikat bahawa beliau cukup baik hati dan menyokong permohonan ini,” katanya.
Anwar yang kini dipenjarakan di Sungai Buluh berkata, perkara utama sekarang ialah rakyat.
“Pendirian saya, kebajikan rakyat paling utama. Ini bermaksud sesiapa yang ingin berunding, mesti menerima agenda perubahan kami,” katanya.
“Sesiapa yang menyokong agenda reformasi mesti diberi peluang untuk bersama,”katanya.
Sementara itu, Mahathir menjelaskan beliau datang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan kepada tindakan Anwar yang mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari segi perlembagaan.
“Saya datang bagi sokongan moral kepada beliau kerana lawan akta ini. Sebagaimana saya tulis dalam blog saya, saya juga tentang akta ini,” katanya.
“Saya tak tahu tentang kerjasama, tetapi saya bercakap dengan dia,” kata Mahathir.
Untuk tempoh yang lama, kedua-dua pemimpin serang-menyerang. Bagi Mahathir, Anwar ialah musuh politik yang perlu dihapuskan dari dunia politik.
Bekas perdana menteri itu telah memecat Anwar sebagai timbalannya pada 1998 dalam krisis politik yang meruncing yang kemudiannya mencetuskan gelombang reformasi yang menyaksikan lebih 50,000 orang turun ke jalan raya.
Mahathir dikritik teruk oleh penyokong Anwar dan diberi pelbagai label negatif, manakala Anwar pula menderita di dalam penjara.
Sementara itu, adakah benar ciuman Mahathir ciuman maut?
Berpatutankah peringatan Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak supaya Anwar tidak lupa berhubung apa yang berlaku pada tahun 1998?
Katanya, tidak lama selepas Mahathir bersalaman dengannya, bekas perdana menteri itu menghancurkan kerjaya politik Anwar.
“Mahathir bersalaman dengan Anwar hari ini adalah seperti apa yang berlaku pada tahun 1998 sehari sebelum Mahathir memusnahkan Anwar.
“Ciuman Mahathir adalah ciuman maut,” katanya dalam blognya.
Salleh dalam catatan itu bagaimanapun berkata dirinya tidak terkejut mahupun kagum.
Baginya, tindakan itu satu kompromi politik yang agak biasa, yang membuktikan bahawa Mahathir sudah sampai ke penghujungnya.
“Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di mahkamah hari ini, sebagai tanda sokongan kepada Anwar Ibrahim, bukannya benar-benar satu kejutan mahupun kejutan.
“Ini adalah apa yang kita akan namakan kepentingan politik. Ia hanya menunjukkan betapa terdesaknya Mahathir sekarang,” kata bendahari UMNO itu.
“Beliau terpaksa menumpang daripada Anwar dan Harapan,” katanya.
Adakah Mahathir boleh dipercayai? Dalam keadaan sekarang, ramai yang memetik aforisme, tiada musuh dan teman yang kekal dalam politik; yang kekal ialah kepentingan. Benarkan kini pemimpin yang berseteru hampir dua dekad itu mahu berdamai hanya kerana kepentingan bersama mereka?
Jika mereka berdamai dan berganding, mampukah mereka memenuhi agenda tersebut?
Mahathir kelihatannya sanggup melakukan apa-apa sahaja demi kepentingan peribadinya. Tidakah Mahathir rasa bersalah dan berdosa atas perbuatan lalunya terhadap Anwar? – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment