Bertegas tangani golongan yang semarakkan sentimen kaum, agama, benci kerajaan
KUCHING: Kelekaan menghayati semangat patriotisme di kalangan rakyat diburukkan lagi amalan menjadikan media sosial yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan, namun disalah guna fungsinya.
Hal ini mengundang amalan tidak beretika serta tidak bertanggungjawab oleh penggunanya sehingga tergamak menyemarakkan sentimen perkauman, agama dan kebencian kepada kerajaan.
Bercakap pada Program Kembara Jalur Gemilang peringkat Samarahan 2016 di Dewan Mesra Simunjan pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan Awla Dris berkata, “nasionalisme dan patriotisme menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh akibat proses ledakan teknologi maklumat (ini),”
Seharusnya menjadi tanggungjawab generasi hari ini menghayati dan menyemai semangat patriotisme di kalangan masyarakat dan bukan sebaliknya.
Kemerdekaan serta keharmonian masyarakat tidak bertahan lama jika rakyat tidak memainkan peranan untuk mengekalkannya.
Awla berkata pada program anjuran Jabatan Penerangan itu bahawa sepatutnya tindakan tegas diambil bagi menangani golongan yang menyemarakkan sentimen perkauman, agama dan kebencian terhadap kerajaan ini.
“Program seperti ini (dapat menjadi) landasan sesuai untuk meningkat dan mengukuhkan rasa cinta kepada negara di kalangan rakyat negeri ini,” kata beliau.
Tambah Awla lagi, patriotisme seharusnya dapat membantu generasi baru cinta pada bangsa dan negara serta menjadi pemacu kemajuan serta kedaulatan negara. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment