Pas desak projek perindah sekitar Tugu Negara RM650 juta ditangguh
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak pihak kerajaan supaya menangguhkan projek untuk memperindahkan kawasan sekitar Tugu Negara yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM 650 juta.
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, DPPWP tidak menolak idea untuk menghijaukan Kuala Lumpur, tetapi keperluan bagi projek tersebut sangat tidak perlu buat masa ini.
“Kerajaan harus memanfaatkan peruntukan bajet tersebut untuk keperluan rakyat yang lebih utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Lagipun, ujarnya, idea ikonik hutan tropika mini dalam bandar raya tersebut juga dibimbangi akan mengulangi kegagalan projek dusun bandar yang terletak di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
Projek dusun bandar yang di bawah seliaan Kementerian Wilayah Persekutuan didapati banyak menghadapi masalah dan keraguan kewangan sepertimana yang dilaporkan dala Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012.
“Negara dan rakyat sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi. Kitaran krisis ekonomi juga dijangka bakal berlaku pada tahun 2017/2018. Maka, apa perlunya kerajaan dan agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?,” tambahnya.
DPPWP, katanya, mahu supaya peruntukan tersebut diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar termasuk perbelanjaan kepada golongan miskin dan mudah terjejas. Kami tidak mahu projek tersebut diteruskan buat masa ini. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment