Dirompak RM10,000 di Kuching Sentral gara-gara batu ajaib
KUCHING: Kerana batu ajaib, seorang warga Indonesia kerugian hampir RM10,000 setelah dipukau sebelum dirompak di Kuching Sentral pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahmad Abang Julai berkata, mangsa merupakan seorang juruteknik elektrik yang sedang menunggu bas ekspres untuk pulang ke Pontianak di Kalimantan Barat.
“Sekitar jam 5.30 pagi, mangsa, 43 tahun, yang berseorangan telah didatangi oleh empat lelaki yang bertanyakan tentang cara untuk pergi ke Brunei.
“Setelah berbual seketika, kumpulan lelaki tersebut kemudiannya bertindak menjual batu delima kepadanya, yang kononnya mampu memberi pulangan yang lumayan kepada pemiliknya.
Kata Abang Ahmad, ketika lelaki tersebut sedang meneliti kesahihan batu tersebut, beg sandang yang mengandungi wang tunai dilarikan oleh kumpulan tersebut.
“Lelaki itu hanya menyedari dirinya ditipu dan dirompak setelah 20 minit kemudian, dipercayai di bawah pengaruh jampi oleh salah seorang daripada suspek.
Mangsa kemudian meminta seorang pemandu teksi untuk menghantarnya ke Konsulat Indonesia di sini untuk mendapatkan bantuan dan tindakan lanjut.
Berikutan laporan polis yang dibuat mangsa, Polis Kuching mula menggerakkan elemen siasatan dan berjaya memberkas suspek
pertama, seorang warga Indonesia, pada keesokannya, 28 Ogos berhampiran Kompleks CIQ Tebedu, Serian.
“Susulan tangkapan tersebut, polis merampas dua keping syiling berwarna emas dan batu merah yang dibalut dengan kain kuning.
“Kita turut merampas dua telefon bimbit dan satu pasport Indonesia milik suspek, namun tidak menemui sebarang wang tunai,” jelasnya.
Hasil siasatan lanjut, kata Abang Ahmad, pihaknya kini memburu dua lagi lelaki yang dipercayai rakyat tempatan yang juga rakan suspek.
“Kami mengenal pasti dua suspek ini sebagai Hipni Sa’adi dan Reduan @ Redzuan Samat, kedua-duanya berusia 52 tahun.
“Turut diburu seorang lagi suspek, yang juga dipercayai rakyat tempatan,” jelasnya.
Suspek pertama katanya, yang berusia 44 tahun, akan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dalam premis yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun, dan / atau denda pada
20 Oktober ini.
“Ketika ini dia sedang ditahan di Penjara Puncak Borneo setelah gagal membayar ikat jamin.”
Kata Ketua Polis Daerah Kuching itu lagi, orang ramai seharusnya lebih berwaspada dan berhati-hati supaya tidak mudah terdedah dan terpedaya kepada sebarang unsur penipuan seperti ini.
Berhubung kes ini, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hwa Lai Yen di talian 016-7815839 atau Inspektor Mohd Hafizi Arifin di talian 012-5140622 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment