APAKAH IBRAHIM ALI BAKAL MENINGGALKAN TUN MAHATHIR?
Semua orang tahu bagaimana hubungan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dengan Tun Mahathir Mohamad. Sejak meninggalkan Semangat 46 dan kemudian menyertai UMNO, beliau telah menukar dirinya bulat-bulat menjadi orang Tun Mahathir.
Ibrahim bukan saja antara yang paling lantang menyebelahi Tun Mahathir ketika kes pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, malah sebagai tanda keakraban, bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga sedia menjadi Penaung Kehomat Perkasa yang ditubuhkan oleh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut.
Dalam pilihanraya 2013, setelah namanya tidak dipilih untuk bertanding atas tiket BN, dikhabarkan Tun Mahathirlah yang membantunya dengan menelefon Najib untuk memasukkan semula nama Ibrahim sebagai calon.
Calon BN yang telah diumumkan bertanding di Pasir Mas ketika itu, Johan Che Pa akhirnya tidak mengemukakan kertas pencalonannya dan dengan yang demikian, dapatlah Ibrahim bertanding atas tiket Bebas tetapi disokong oleh BN.
Sepanjang tempoh kempen pilihanraya, seluruh jentera UMNO dan BN Pasir Mas memberi sokongan penuh kepadanya, tetapi Ibrahim tewas kepada Nik Abduh Nik Aziz dari Pas.
Melalui Perkasa yang menjadi kenderaan perjuangannya, dalam banyak isu melibatkan kepentingan Melayu dan Bumiputera, Ibrahim kerap sekali berganding bahu dengan Tun Mahathir. Suara dan hatinya bukan saja senada dan seirama, malah tidak pernah Ibrahim berbeza pendapat dengan Tun Mahathir.
Dalam sebuah majlis makan malam tidak lama sebelum ini, Ibrahim ada menyebut, hubungan beliau dengan Tun Mahathir adalah kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain.
Orang mungkin nampak saya mempergunakan Tun Mahathir, tetapi sebenarnya Tun Mahathir pun mempergunakan saya dan Perkasa juga, kata Ibrahim dengan ketawa berdekah-dekah yang tidak asing lagi bagi mereka yang rapat dengannya.
Apabila timbul ura-ura Tun Mahathir mahu menubuhkan parti baru, Ibrahim diperkatakan antara orang yang akan bersama dengan rancangan itu. Malah dihebohkan juga bahawa sebahagian besar ahli Perkasa akan turut menyertai parti baru tersebut.
Dikhabarkan, jawatan tertentu juga sudah disediakan untuk Ibrahim apabila parti itu diluluskan. Dalam beberapa kenyataannya pula, Ibrahim sendiri kerap memberi gambaran tidak setujunya dengan kerajaan, sambil mengatakan bahawa hayat UMNO akan berakhir dalam PRU 14 akan datang ini.
Ibarat mendung tapi hujan tak jadi, tentunya ramai yang terkejut apabila Ibrahim tiba-tiba mempersoalkan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM dalam perjuangannya untuk memperkasa agenda Melayu dan Bumiputera.
Kata Ibrahim, kesanggupan Tun Mahathir bekerjasama dengan DAP dan berbaik semula dengan Anwar Ibrahim akan menimbulkan seribu tanda tanya mengenai perjuangan sebenar PPBM.
Aikkk…kenapa tiba-tiba Ibrahim meluahkan rasa tidak setujunya terhadap Tun Mahathir dan PPBM?
Apakah yang menjadi punca sebenarnya? Adakah ia ada kaitan dengan keputusan Tun Mahathir berbaik semula dengan Anwar?
Adakah Ibrahim kini rasa sudah “tertinggal bas” apabila Tun Mahathir berbaik-baik semula dengan Anwar dan sebelum itu menjalin hubungan dengan pemimpin-pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang?
Adakah beliau tidak sealiran lagi dengan pemahaman bahawa tindakan Tun Mahathir berbaik-baik dengan semua parti dan pemimpin pembangkang, termasuk Lim Kit Siang dan Anwar, adalah bertujuan memudahkan lagi usaha untuk mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang?
Dengan kecenderungan ini, apakah Ibrahim sebenarnya sudah mempamerkan tanda-tanda akan meninggalkan Tun Mahathir dan bakal bersama-sama dengan Najib untuk memusuhi bekas Perdana Menteri itu?
Shahbudin Husin
– http://ift.tt/1Ka9Gf1
.
Contributer : Malaysia Chronicle http://ift.tt/2ckxCq1
Post a Comment