Ditahan kerana pecah rumah, warga Indonesia di Mukah bakal hadapi tuduhan berat kerana miliki pistol
MUKAH: Seorang warganegara Indonesia yang asalnya ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pecah rumah bakal berhadapan hukuman lebih berat, apabila pihak polis menemui sepucuk pistol dalam simpanannya, ketika melakukan penggeledahan.
Mengesahkan perkara ini, Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, lelaki tersebut ditahan di rumah kontena miliknya di Kampung Sau, Sungai Matapus dekat sini, Rabu lalu, susulan beberapa kejadian pecah rumah di bandar itu pada Jun lalu.
“Hasil penggeledahan dan siasatan lanjut, pasukan penyiasat menemui sepucuk pistol revolver yang dipercayai buatan sendiri serta 94 butir peluru berhampiran katilnya,” katanya.
Polis kini sedang menyiasat sama ada senjata tersebut digunakan dalam siri pecah rumah yang dilakukan suspek bersama-sama rakannya.
Siasatan lanjut kemudian menyaksikan pasukan Siasatan Jenayah Mukah berjaya memberkas dua lagi suspek pada hari yang sama di kawasan Balingian dan Mukah sekitar jam 7 dan 10.30 malam.
Kesemua suspek yang berusia 40 tahun bukan sahaja disiasat kerana pecah rumah, tetapi turut di disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api dengan menyalahi undang-undang
Sabit kesalahan, individu yang terlibat bakal berhadapan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment