Sejam dunia bersatu dengan Al-Quran
Tinggalkan seketika kesibukan, lupakan dahulu gajet di tangan dan peruntukkan sedikit masa bersama al-Quran.
Saranan itu perlu disambut dengan tangan terbuka oleh setiap insan yang memperakui kitab Allah iaitu al-Quran. Hanya sejam, bermula pukul 9.00 pagi Ahad ini seluruh dunia akan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran sebagai penyatuan.
Program #DuniaNgaji atau World #QuranHour yang julung kali diadakan pada tahun ini mengambil semangat penyatuan umat Islam yang sedang berhimpun di Padang Arafah pada hari wukuf bersamaan 9 Zulhijjah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) yang juga penganjur, Marhaini Yusoff, berkata fokus program adalah untuk melupakan sebarang perbezaan yang wujud sesama umat Islam dan membina iltizam untuk melakukan kebaikan berlandaskan ajaran al-Quran,
“Setelah berinteraksi dan memahami Al-Quran akan terzahir akhlak, nilai, tindak-tanduk mahupun potensi diri berlandaskan al-Quran seperti mana yang diperintah oleh Allah kepada hambanya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengambil sempena hari Wukuf, penganjuran #DuniaNgaji mempunyai signifikan tersendiri.
Paling penting pada hari berkenaan untuk merenung kembali sejauh mana hubungan kita dengan al-Quran, adakah sekadar membaca tanpa memahami inti pati dan pengajarannya atau hanya meletakkannya sebagai al-Quran sebagai hiasan di rumah.
Ternyata jurang al-Quran dengan masyarakat masih terlalu jauh sedangkan di dalamnya terkandung cara hidup yang boleh menjadi panduan dalam segala permasalahan dalam masyarakat dan negara.
“Selama ini kita terlalu sibuk dengan dunia…mengata orang dalam media sosial, mengutuk dalam WhatsApp, sudah tiba waktunya kita tengok bagaimana hubungan kita dengan al-Quran.
“Kalau kita sebagai pemimpin keluarga, setakat mana kita berani laksanakan dalam kehidupan kerana kita belum lagi mengarusperdanakan al-Quran,” katanya.
Usaha berterusan memperkukuhkan ummah dengan Al-Quran telah dimulakan WUI sejak awal 2016 melalui kempen-kempen antaranya #KeluargaNgaji pada Januari dan Februari, #SekolahNgaji (Mac), #OrganisasiNgaji (April), #KomunitiNgaji (Mei), #MalaysiaNgaji (29 Jun lepas bersamaan 24 Ramadan) dan kemuncaknya #DuniaNgaji.
Program Sejam #DuniaNgaji mendapat kerjasama banyak negara termasuk negara minoriti umat Islam seperti Hong Kong, Korea dan Russia.
India turut menyatakan persetujuan untuk menyertainya dengan penglibatan lebih lapan juta umat Islam di tujuh lokasi terpilih, begitu juga negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Marhaini berkata, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjadi rakan penganjuran bersama bertindak menghubungkannya dengan banyak negara luar yang melibatkan pelajar mereka.
Terdapat 117 negara yang pelajar mereka sedang dan telah menamatkan pengajian di UIAM dengan 31 Chapters Alumni UIA di luar negara yang telah dihubungkan untuk bersama-sama dalam program #DuniaNgaji itu.
“Yayasan turut bekerjasama dengan Tahfiz Sulaimaniyah dari Turki yang mempunyai cawangan di 165 buah negara dengan 10,000 pusat pengajian selain turut bergabung dengan badan bukan kerajaan Muslim seluruh dunia,” katanya sambil menambah jemaah haji Malaysia di Arafah juga akan memperuntukkan masa sejam untuk program itu.
Selain acara perdana di UIAM yang menjadi lokasi ‘hot spot’ untuk program sejam itu, 14 negeri seluruh Malaysia turut mengadakan acara yang sama membabitkan gabungan Rumah Ngaji di setiap negeri di bawah WUI, agensi kerajaan, majlis agama, syarikat korporat, masjid dan surau.
“Program perdana di UIA bukan sekadar membaca Al-Quran, sebaliknya dimulakan dengan alunan zikir diikuti tadabbur bagi memahami al-Quran seterusnya diikuti alunan bacaan al-Quran oleh 604 orang yang mana setiap seorang membaca satu muka surat.
“InsyaAllah dalam masa lima minit akan selesai membaca satu juzuk Al-Quran,” katanya. #DuniaNgaji adalah kesinambungan daripada inisiatif yang dilakukan sejak 2013 dalam usaha menghidupkan Al-Quran.
Dimulakan dengan penubuhan Rumah Ngaji di ibu pejabat Media Karangkraf, yang juga penaung WUI yang menyediakan pusat belajar Al-Quran secara percuma.
Menurut Marhaini, gabungan teknik Cordobana dari Bandung, Indonesia dan Al Badar, teknik tempatan membolehkan mereka yang tidak mahir membaca Al-Quran boleh menguasainya dalam masa tiga hari pembelajaran.
Daripada pengalamannya hanya tiga daripada 10 orang boleh membaca Al-Quran. Ia sesuatu yang amat merisaukan, tegasnya.
“Teknik Al Badar, contohnya, berjaya mempercepatkan seseorang itu membaca Al-Quran dan ini diakui oleh ramai yang telah menyertai Rumah Ngaji,” katanya.
Kemudiannya pembelajaran al-Quran di Rumah Ngaji ditambah baik dengan pengajaran tadabbur untuk lebih memahami isi kandungan Al-Quran agar ia dapat diamalkan serta meninggalkan nilai dalam karektor setiap orang yang membacanya.
“Kita mahu lahirkan masyarakat yang bukan sahaja boleh membaca al-Quran tetapi juga memahami isi kandungannya sebagai panduan hidup.
Banyak persepsi negatif terhadap Islam kerana kita tidak memahami Islam melalui al-Quran dan sunnah. “Kerana itu kita kena bagi ibrah atau pengajaran dalam sesi bacaan Al-Quran agar mereka lebih memahami dan menghargai setiap ayat yang diturunkan itu,” katanya.
Sehingga kini terdapat 1,200 Rumah Ngaji seluruh Malaysia dan tidak kurang 5,000 guru al-Quran yang telah dilatih melalui Rumah Ngaji bagi menjayakan misi masyarakat yang pandai membaca al-Quran, memahami al-Quran dan mengamalkan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Yayasan hanya bertindak sebagai perantara dengan menyediakan latihan untuk guru dan yang menggerakkan setiap Rumah Ngaji adalah komuniti itu sendiri.
Ada yang membuka Rumah Ngaji di rumah, sekolah, hospital, penjara, perkampungan Orang Asli, organisasi dan di mana sahaja asalkan bersesuaian dengan tempat, ada tenaga pengajar dan pelajar, katanya.
“Sangat mudah untuk membuka Rumah Ngaji. Hanya perlu mendaftar di http://ift.tt/2cJGOCR dan kita akan panggil untuk beri nasihat serta melatih guru. Kemudian pihak yang memohon sudah boleh menjalankannya,” katanya.
Bukan sahaja di Malaysia, Rumah Ngaji juga dibuka sebanyak 10 buah di Selatan Thailand dan sebuah di London. Tidak hanya melalui Rumah Ngaji, untuk mengurangkan jurang antara masyarakat dengan al-Quran pelbagai program lain turut diatur.
Ia memerlukan satu kitaran agar dapat melahirkan pemikiran dan menjiwai al-Quran dalam setiap ummah.
Mengakui penyertaan kaum wanita melebihi daripada kaum lelaki dalam setiap program yang dianjurkan, WUI merancang mengadakan #KeluargaNgaji dengan menubuhkan Majlis Ayah.
“Untuk mengukuhkan sebuah keluarga perlu didahulukan dengan pemimpin keluarga iaitu ayah dan ibu sebagai pendamping kerana matlamatnya untuk membawa ahli keluarga ke syurga bersama-sama,” katanya ini adalah gerakan jangka panjang sebagai satu perubahan melalui Al-Quran.
Selain itu, dalam masa terdekat selepas #DuniaNgaji akan diadakan pula khusus untuk wanita seluruh dunia atau WorldWomen #QuranHour pada 25 Sept di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Harapannya apabila sudah biasa berinteraksi dengan Al-Quran dalam kehidupan, akan dapat melahirkan satu masyarakat yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya. – Bernama
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment