Biarkan Mahathir terus bermimpi
Banyak pandangan dilontarkan berkaitan kewujudan dan keberkesanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Bagi UMNO dan BN, meskipun mengakui parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak seharusnya dipandang enteng, namun mereka berpendapat, ia tidak akan menggugat kedudukan UMNO.
Maksudnya, parti yang akan dianggotai oleh orang Melayu dan bumiputera itu tidak akan dapat mengatasi keupayaan UMNO.
“UMNO sudah melalui pelbagai episod hebat penentangan parti politik lain terhadap pemimpin dan parti, maka ia tidak gentar menghadapi ancaman termasuk pada pilihan raya akan datang,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam.
Tidak dinafikan parti itu akan membawa ancaman baharu, namun ini bukan kali pertama UMNO berdepan dengannya.
“Kami sudah melalui pelbagai episod pengalaman yang lebih hebat daripada itu dan terbukti UMNO mampu mengatasinya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Kepala Batas di Lahar Kepar semalam.
UMNO pernah bergolak hebat pada 1988 ekoran tentangan daripada pasukan diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada tahun 1998 sewaktu krisis perlucutan jawatan bekas Timbalan Presidean Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, hampir dua pertiga ketua bahagian dan 20 peratus ketua Pemuda dan Wanita keluar parti
“Dulu yang menentang bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamed siapa, selepas Umno diharamkan, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, dan satu pertiga Kabinet beliau (Dr Mahathir),” ujarnya.
“Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj), Perdana menteri ketiga Tun Hussein Onn (juga pernah ditentang), tetapi kami dapat menghadapinya bukan sebab Tun Dr Mahathir, tetapi sebab UMNO. Itu pun UMNO masih mengekalkan kepemimpinan pada masa itu,” katanya.
Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata biarpun kini cabaran terhadap parti itu datang daripada orang yang pernah menjadi ‘nombor satu’ dalam UMNO, ia tidak bererti UMNO tidak boleh menempuhi halangan dan cabaran.
Tindakan beberapa orang pemimpin UMNO di peringkat akar umbi dipercayai tidak melemahkan parti itu.
Sabtu lepas, Tosrin dan bekas Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah Datuk Baharom Abdul Ghani mengisytiharkan keluar parti kerana mendakwa tidak lagi bersefahaman dengan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ada pemimpin UMNO yakin bahawa ahli UMNO tidak akan terpengaruh dengan Bersatu, yang dikatakan tidak mempunyai asas perjuangan yang jelas.
“PPBM ditubuhkan atas dasar personal, marah dan tidak puas hati,” kata seorang pemimpin UMNO.
Sememangnya, kredibiliti Dr Mahathir diragui kerana ketika beliau memerintah, akar umbi telah diminta untuk ikut cakapnya.
Dengan masa yang tidak menyebelahi PPBM, dan kesukaran mendapatkan pemimpin berwibawa di peringkat negeri, parti itu dijangka tidak akan memberi kesan besar dalam PRU nanti.
Ya, mungkin sahaja beberapa kerusi UMNO akan tumbang, tetapi tidaklah sampai ia dapat menewaskan kekuatan dan pengaruh UMNO.
Untuk sementara waktu, Dr Mahathir dan penyokongnya boleh sahaja bermimpi untuk menakluki Putrajaya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment