Rumah mampu milik: Kerajaan diminta contohi Selangor
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disarankan mencontohi dasar Rumah Selangorku yang memberi keutamaan kepada pembinaan rumah mampu milik.
Dasar itu yang giat dilaksanakan di Selangor menguntungkan rakyat, dan terbukti keberkesanannya, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar.
Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu kerana perumahan di Selangor berkesan menyelesaikan masalah harga rumah mengikut pasaran semasa.
Beliau berkata, dasar itu menetapkan syarikat pemaju membina lebih banyak projek rumah mampu milik demi kepentingan rakyat Selangor.
“Polisi Rumah Selangorku yang berkuatkuasa sejak Januari 2013 mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik atau Rumah Selangorku,” katanya dalam satu kenyataan.
Contohnya, kata beliau, pemaju yang membangunkan projek perumahan lebih 10 ekar wajib membina 30 hingga 40 peratus rumah mampu milik.
“Terdapat beberapa komponen (rumah) berharga RM42,000, RM100,000, RM150,000, RM180,000, RM220,000 dan RM250,000,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Persekutuan lebih komited memantau projek perumahan milik mereka berbanding pentadbiran Selangor.
Katanya, meskipun Kerajaan Negeri tidak mengawal harga rumah secara langsung, namun ia berusaha untuk memastikan terdapat stok perumahan di pasaran bagi golongan berpendapatan rendah juga sederhana.
“Sejak usaha ini dipergiatkan pada 2015, lebih 20,000 unit rumah diluluskan untuk dibina pemaju, selain Kerajaan Negeri juga turut mengawal jualan rumah mampu milik,” kata Iskandar seperti dipetik SelangorKini.
Beliau berkata, pemaju perumahan Selangor juga diwajibkan menjual Rumah Selangorku kepada pembeli berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berpandukan kepada pendapatan isi rumah bulanan.
“Saya yakin polisi Rumah Selangorku ini sedikit sebanyak menyelesaikan masalah harga rumah yang semakin tidak terkawal.
“Kerajaan Persekutuan perlu memiliki “political will” untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah juga sederhana mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment