Lelaki mati di longkang besar berhampiran SMK Petra Jaya telah dikenal pasti, bedah siasat hari ini – Ketua Polis Daerah Kuching
KUCHING: Pasukan forensik Hospital Umum Sarawak akan melakukan bedah siasat pada hari ini bagi mengenal pasti punca kematian seorang lelaki, yang ditemui lemas di dalam longkang besar berhampiran SMK Petra Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, proses pengecaman dan pengesahan mayat juga akan dilakukan, biarpun setakat ini identiti mangsa telah disahkan oleh ibu dan kakaknya, yang membuat laporan di Balai Polis Gita malam tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Nik Ezree Alwi, 22 tahun, berasal dari Taman Sejoli dekat sini.
“Siasatan awal pasukan forensik polis semalam tidak menemui sebarang unsur jenayah,” jelas Abang Ahmad lagi.
Dalam kejadian sekitar jam 2.15 petang semalam, polis telah menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang berkenaan.
Pasukan Bomba dan Penyelamat kemudian dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dijangka telah meninggal dunia sekitar 12 jam sebelum ditemui orang ramai.
Setakat hari ini, polis masih mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment