Bekas Ketua Polis Negara ditawarkan RM2 juta sebulan untuk tutup kegiatan jenayah
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan bahawa beliau ditawarkan RM2 juta sebulan supaya menutup mata terhadap kegiatan jenayah di negara ini.
Bercakap pada sebuah seminar mengenai integriti untuk penjawat awam semalam, Musa berkata, beliau bukan sahaja menolak tawaran itu tetapi mengambil tindakan lebih tegas dan menutup aktiviti haram berkenaan.
Susulan langkah tegas itu, beberapa ketua samseng dan kongsi gelap berjaya ditangkap semasa khidmat Musa sebagai Ketua Polis Negara.
“Ketika berkuasa, sindiket tawarkan saya RM2 juta setiap bulan untuk membenarkan mereka menjalankan aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan pinjaman wang haram tanpa pemeriksaan,” katanya yang dipetik The Star hari ini.
Ditanya sama ada ketua polis lain juga menerima tawaran sama, Musa berkata beliau tidak tahu.
“Saya juga enggan menerima hamper semasa saya adalah IGP. Kami, pegawai-pegawai kanan, perlu memimpin melalui teladan.”
Musa juga mengimbas kembali bahawa beliau pernah dituduh mengambil rasuah ketika dirinya adalah pegawai penyiasat di Melaka.
“Pegawai dari Badan Pencegah Rasuah memberitahu, saya disiasat kerana beberapa orang bawahan menggunakan nama saya untuk meminta rasuah.
“Saya beritahu pegawai itu, tangkap mereka. Orang seperti ini tidak perlu diberi sebarang kelonggaran,” katanya.
Sebagai IGP, Musa berkata beliau tidak bertolak ansur dengan sebarang kegiatan jenayah.
Musa menjadi KPN kelapan, menggantikan Mohamed Bakri Omar pada September 2006. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment