Kuasa Rakyat Lebih Kuat Daripada Bom
Berbanding dua tahun dulu, hanya satu perbezaan besar yang saya lihat dan rasa sebaik tiba di bandar raya ini tiga hari lalu. Dulu sejuk sekarang panas.
Saya bercakap mengenai iklim. Dulu ke sini bulan Disember, dengan dingin musim sejuk mencucuk hingga ke tulang sumsum.
Sekarang pertengahan autumn, matahari terik sepanjang hari dengan bunga-bungaan mewarna setiap taman dan sepanjang jalan utama.
Selain perbezaan dua musim itu ibu negara dan pusat pentadbiran kerajaan Turki ini sentiasa penuh keriangan dan aman. Hanya panas iklim; yang lain-lain semua nyaman.
Sebenarnya tidak perlu menunggu dua tahun, kerajaan pimpinan Presiden Reccep Tayyib Erdogan mengambil masa hanya dua hari untuk mententeramkan keadaan beriku-tan rampasan kuasa yang gagal itu.
Hari Jumaat 15 Julai malam letupan bom menggegar dan merosakkan sebahagian bangunan parlimen di sini. Kudeta bermula dengan letupan di sana-sini. Hari Isnin cubaan rampasan kuasa itu berjaya ditumpaskan.
Sepatah kata seorang diplomat asing yang ditemui di coffee house sebuah hotel di pusat bandar raya: “Panas dan huru-hara yang dicetuskan pemberontak hanya untuk beberapa jam. Lepas itu segalanya kembali normal.”
Erdogan pantas bertindak, sekali gus membuktikan kepada kumpulan pemberontak – juga kepada dunia – bahawa kerajaan demokrasi pimpinan beliau tidak boleh diugut dengan kekerasan.
Dalang di sebalik cubaan rampasan kuasa pertengahan Julai itu ialah Fetullah Gulen, seorang ulama yang sejak berpuluh tahun terkenal sebagai pelopor kegiatan wakaf dengan beratus sekolah di seluruh dunia.
Gulen tinggal di Amerika Syarikat, memimpin gerakan menggulingkan pentadbiran Ankara secara licik berselindung di sebalik kegiatan agama.
Dari jauh ‘ulama’ tersebut berjaya mempengaruhi ramai orang penting Turki termasuk penjawat awam, pegawai tentera, hakim dan pendakwa raya untuk bersama merampas kuasa.
Tetapi di dalam negeri Erdogan masih mempunyai ramai pegawai tentera yang masih setia. Presiden bertindak balas menerusi kuasa yang ada.
Setakat ini 50,000 pemberontak telah ditahan dan disiasat untuk perbicaraan. Jumlah ini mungkin meningkat. Erdogan perlu memastikan cubaan kudeta tidak berulang.
Selain ketegasan kerajaan, satu faktor penting yang menggagalkan gerakan 15 Julai ialah perpaduan rakyat dalam menentang pemberontak.
Dalam waktu singkat setelah parlimen dibom beratus ribu rakyat tanpa mengira pegangan politik keluar beramai-ramai mengasak sepanjang jalan menentang pemberontak.
Kata Mehmet Ali Kumbuzoglu Setiausaha Agung Dewan Perhim-punan Rakyat Turki: “pemberontak bertindak dengan kereta kebal, helikopter, bom dan mesingan, rakyat melawan dengan semangat dan tangan kosong…”
Memang, sekitar 200 rakyat gugur syahid – ada yang digilis kereta kebal. Tetapi berjuta lagi rakyat yang sedia mati mempertahankan demokrasi.
“Kita sudah melalui beberapa rampasan kuasa sebelum ini. Tetapi ini pertama kali parlimen dibom. Ini yang tidak dapat diterima oleh rakyat,” kata Mehmat.
Pasca peristiwa 15 Julai juga memperlihatkan kesepakatan parti-parti pembangkang untuk bersama parti pemerintah dalam menghindari berulangnya apa juga bentuk pemberontakan pada masa depan.
Baik parti CHP mahu pun MHP menyatakan sokongan padu terhadap parti AK pimpinan Erdogan dalam menegakkan kerajaan yang sah dipilih secara demokrasi.
Mereka yakin bahawa hanya melalui demokrasi Turki akan menjadi lebih kuat dan lebih terbuka kepada dunia.
“Dalam menegak dan mempertahankan demokrasi pembangkang tidak melihat pemerintah sebagai musuh. Kita hanya pesaing bukan seteru,” kata Ozgur Ozel, Timbalan Pengerusi CHP.
Ada cakap-cakap di Ankara dan Istanbul konon gerakan pemberontak yang didalangi Gulen mungkin akan melakukan serangan kedua.
Bukan mustahil untuk Gulen yang mempunyai rangkaian di lebih 162 negara seluruh dunia, dan dengan dana dianggar RM beratus bilion, meneruskan rancangan merampas kuasa.
Tetapi kerajaan yakin dalam memastikan kesinambungan demokrasi kuasa rakyat terbukti lebih ampuh dari peluru dan kereta kebal.
Sepatah kata Mehmet Akarca, Ketua Pengarah Penerangan & Akhbar yang juga penasihat kanan kerajaan: “Dalam mana-mana perjuangan tidak ada yang lebih kuat dari kuasa rakyat.”
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2duejKz
Post a Comment