Kurangkan Cakap Politik, Tumpu Usaha Bantu Rakyat
Semenjak akhir-akhir ini banyak pihak yang memberi perhatian khusus terhadap perkara yang berkaitan dengan masalah atau isu politik.
Walaupun perkara yang berkaitan dengan masalah atau isu politik akan sentiasa mendapat perhatian umum dari semua pihak, namun perkara yang paling penting yang perlu diberi keutamaan pada masa kini ialah usaha untuk membantu rakyat dalam menghadapi gelombang kos sara hidup yang meningkat serta mencari langkah dalam menghadapi suasana ekonomi semasa yang tidak menentu.
Umum sudah pun mengetahui isu kejatuhan harga minyak global serta kelembapan ekonomi dunia yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keadaan ekonomi semasa dalam negara kita.
Oleh itu, perhatian utama yang perlu diberikan pada masa kini ialah dengan mencari jalan bagi menghadapi suasana ekonomi semasa serta mencari langkah untuk mengurangkan impak masalah ekonomi terutamanya kos sara hidup rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dalam negara kita.
Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi membantu rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi semasa masa kini.
Para pemimpin tempatan yang dipilih pada proses pilihanraya yang lalu juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberi perhatian utama kepada masalah yang dihadapi rakyat di kawasan yang mereka menangi. Mereka harus rajin untuk turun ke padang serta menanyakan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Mereka juga harus mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima dari rakyat serta membantu rakyat dengan sedaya upaya mereka.
Pihak berkuasa tempatan juga harus memainkan peranan mereka dengan menguatkuasakan segala peruntukkan undang-undang sedia ada bagi membendung mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil peluang dari masalah ekonomi yang sedang dihadapi dalam negara kita.
Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan harga barangan serta perkhidmatan sentiasa berada dalam kawalan serta tiada peniaga yang mengambil peluang menaikkan harga barangan serta perkhidmatan sesuka hati hingga membebankan para pengguna.
Tindakan undang-undang yang tegas melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] serta mana-mana akta yang berkaitan, perlu diambil bagi mengekang sebarang usaha yang tidak bertanggungjawab oleh mana-mana individu atau organisasi peniaga yang didapati melangari undang-undang terbabit.
Badan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Banyak usaha yang telah diambil oleh badan-badan bukan kerajaan terbabit terutamanya dari aspek pendidikan bagi mewujudkan kesedaran telah banyak membantu masyarakat dalam menghadapi masalah kos sara hidup pada masa kini.
Usaha berterusan harus dibuat oleh semua badan bukan kerajaan terbabit bagi membantu rakyat sekeliling. Setiap individu juga boleh memainkan peranan masing-masing.
Amalan berjimat cermat serta bijak berbelanja harus diamalkan oleh setiap individu dalam menghadapi suasana ekonomi yang mencabar pada masa kini.
Setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti serta dengan baik supaya mereka tidak berbelanja di luar lingkungan pendapatan yang diperolehi.
Kerjasama semua pihak dalam negara kita adalah penting bagi memastikan segala masalah yang dihadapi dapat diharungi dengan baik.
DR MUZAFFAR SYAH MALLOW adalah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2ddyqLh
Post a Comment