PKR Hantar Pemimpin Pulih Situasi Di Sabah
PKR yang kini dalam proses memperkasa kembali parti itu di Sabah sudah menghantar beberapa pemimpinnya ke negeri di Bawah Bayu itu.
Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata demikian ketika mengulas pergolakan politik melibatkan PKR yang sedang berlaku di Sabah ketika ini.
“Kita ada gambaran yang lebih besar tentang apa yang berlaku di sana (Sabah).
“Buat masa sekarang, PKR sedang melaksanakan langkah bagi menjernihkan keadaan di sana,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Sebelum ini, PKR Sabah dilaporkan akan melaksanakan proses penambahbaikan organisasi parti dalam masa terdekat untuk memantapkan saf kepimpinan serta memastikan agenda reformasi terus menjadi teras perjuangan menegakkan keadilan di bumi di bawah bayu itu.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, langkah tersebut dibuat susulan daripada keputusan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin serta beberapa pimpinan PKR Sabah lain meninggalkan parti itu.
Menurut Manivannan lagi, keadaan politik di Sabah pada masa kini tidak menggambarkan situasi semasa dalam parti PKR.
“Situasi PKR di Sabah perlu dipandang secara spesifik dan bukan merupakan pandangan umum yang berlaku dalam PKR secara menyeluruh.
“Meskipun telah berlaku beberapa peristiwa sejak kebelakangan ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mampu tanganinya,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin terdahulu merupakan batu loncatan kepada PKR untuk memperkukuh parti itu.
“Keluar parti bukan perkara baru. Bila seseorang sudah keluar parti, parti biasanya akan jadi lebih kuat dan mantap.
“Dengan adanya Wan Azizah, hal seperti ini bukan masalah besar. Yang penting, kita perkukuh perjuangan parti,” katanya lagi.
Sumber : Negara Pakatan Rakyat http://ift.tt/2dufcmp
Post a Comment