5 benda yang mengubah fikiran saya pasal ‘orang jalanan’ Chow Kit
Di tengah bandaraya orang merata rata
Dari segala bangsa tua atau muda
Ada yang berkereta ada yang jalan saja
Ada yang cuci mata ha ha ha ha ha ha
Bagi yang tak tangkap lagi kat atas ni lirik lagu apa, sahlah korang golongan millenial. Lagu Chow Kit ni dinyanyikan oleh Sudirman, malah dia pernah buat satu konsert gergasi kat Jalan Chow Kit secara percuma, sampaikan 10 ribu orang datang!
Tapi hari ini kalau sebut Chow Kit sekarang, mungkin ia lebih sinonim dengan golongan homeless atau gelandangan, sebab ramai gila datang buat CSR (corporate social responsibility) kat sini. Dorang bawak makanan, minuman, baju terpakai dan bawak anak-anak Chow Kit pergi beli baju sekolah dan baju raya.
Satu NGO yang fokus untuk memberi pendidikan kat warga Chow Kit ni adalah team Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) yang ditubuhkan sejak Ogos 2015. Setiap Ahad, mereka akan berada di belakang bangunan Alka Ria pada pukul 8.30 malam untuk ajar anak-anak dan ibu-ibu Chow Kit.
Saya merupakan salah seorang regular untuk NGO ni. Dan sepanjang tempoh setahun lebih terlibat dengan BJCK, banyak gila yang telah dipelajari tentang warga Chow Kit termasuklah…
*semua nama dalam artikel ini bukan nama sebenar
1. Anak sah taraf, tapi takde surat beranak.
Ada tiga beradik – Isha, Malik dan Idris. Dorang anak sah taraf dan ada mak ayah, tapi takde surat beranak sebab ayah dorang warganegara Malaysia dan mak dorang pulak warganegara Thailand. Mak ayah dorang ni berkahwin di Thailand dan bila balik ke Malaysia, mak ayah dorang tak register perkahwinan tu. That’s why lah dorang ni takde surat beranak.
So, disebabkan takde surat beranak, dorang tiga beradik ni memang ada masalah bila nak pergi sekolah sebab pihak sekolah memang perlukan surat beranak untuk proses register tu.
Walaupun ayah dan mak dorang tak register perkahwinan dorang kat Malaysia, syukurlah ada sorang cikgu yang bersungguh-sungguh pujuk ayah dorang untuk sediakan dan tunjukkan dokumen perkahwinan yang sah untuk proses nak daftar anak-anak dorang di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (kat bawah nanti saya cerita pasal sekolah ni).
Dan, start bulan Oktober hari tu, Isha, Malik dan Idris dah dapat pergi sekolah. Yahoooooo! Dorang dah dapat pergi sekolah macam kawan-kawan dorang. Saya pun tumpang happy bila dorang excited gila cerita pasal sekolah, cikgu-cikgu dan kawan-kawan dorang. Ye la, cikgu mana tak happy bila tengok anak muridnya happy kan kan kan?
Nampak tak yang surat beranak ni penting gila? Ibu bapa tak boleh buat sambil lewa je dalam hal surat beranak ni walaupun anak yang dilahirkan tu tak sah taraf sebab bila dorang dah besar nanti, dorang akan ada masalah untuk pergi ke sekolah, takde status kewarganegaraan dan lain-lain.
“Kita tidak mahu anak yang dilahirkan itu dibuang begitu sahaja oleh ibu bapanya kerana sekiranya anak tersebut tidak mempunyai dokumen sah, apabila anak tersebut mula meningkat dewasa, dia akan menghadapi masalah untuk bersekolah, tiada status kewarganegaraan dan seumpamanya,” – Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Kementerian Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga
2. Ada yang kena bayar bilik sewa ikut hari. Tak dapat bayar, takde tempat tidur.
Kalau korang pergi ke Chow Kit pada waktu malam, korang akan nampak mak-mak dok menyembang, budak-budak tengah main, pak cik-pak cik hisap rokok dan ada yang tengah susun kotak untuk tidur.
Ada yang tidur depan bangunan Alka Ria tu (seperti dalam gambar), tapi ramai antara dorang ni sebenarnya ada menyewa bilik kecik di Chow Kit dan sekitar dengannya.
Contohnya Kak Ros. Dia sewa bilik dengan harga RM25 sehari. Kalau tak dapat bayar hari tu, satu famili kena keluar. Kalau dah ada duit, baru boleh masuk balik. Kalau bayar sebulan dah RM750. Omaigoddddd satu bilik kecik harga RM750 sebulan?
Sorang lagi, Kak Siti. Dia kerja sebagai pembantu kedai dan suami dia kerja sekuriti bergaji RM1,400 sebulan. Harga bilik sewa dorang pulak RM400. Kalau compare Kak Ros dengan Kak Siti, Kak Siti jauh lagi baik la kan?
Soooooo, harga bilik sewa korang pulak berapa?
3. Ada yang nak pergi sekolah, tapi…
Kat Malaysia ni, kira-kira 120,000 kanak-kanak tak pergi sekolah dan takde akses kepada pendidikan rendah. Kajian tahun 2009 pula menunjukkan kira-kira 44,000 kanak-kanak dalam lingkungan umur sekolah tak pernah pergi ke sekolah.
Sebab tu lah kerajaan wujudkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK). SBJK ni inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia untuk anak-anak jalanan di sekitar Kuala Lumpur yang berumur 4 hingga 19 tahun. Syarat utama nak masuk sekolah ni adalah mak atau ayah wajib warganegara Malaysia dan mampu tunjukkan dokumen sah sebagai bukti, walaupun anak-anaknya takde surat beranak.
Cerita pasal SBJK ni, dua orang students saya – Aida dan adiknya, Ani. Sebelum UPSR hari tu, Aida dan Ani ada masalah tak pergi sekolah berbulan-bulan. Bila tanya dorang, dorang bagitau nak pergi sekolah, tapi salah sorang kena jaga adik kecik kat rumah sebab mak pergi kerja dan sorang lagi jual buah.
Lepas tu ada sorang lagi student nama Faizah. Personally saya memang suka dia sebab dia bijak orangnya. Sepanjang awal penubuhan Buku Jalanan Chow Kit, dia rajin datang. Memang nampak la jenis minat nak belajar, tapi rupa-rupanya dia selalu kena attack (baca: sindir, herdik) dengan kawan-kawan pasal famili dia kat sekolah. Sehari dua mungkin dia boleh hadap sindiran dan herdikan tu, tapi kalau hari-hari, siapa boleh tahan kan? Budak-budak pulak tu. Mesti cepat down kan? Yang paling sedih, sekarang, Faizah dah tak pergi ke sekolah sebab (mungkin) dah tak sanggup nak hadap sindiran dan herdikan kawan-kawan dia.
See! Dorang ni anak-anak yang bijak dan nak pergi sekolah, tapi sebab benda benda macam ni, dorang terpaksa korbankan untuk pergi ke sekolah. Tipulah kalau saya tak rasa simpati, tapi apa yang saya boleh buat selain daripada bagi nasihat dan kata-kata semangat kan?
4. Mak ayah bukan jobless, dorang kerja.
Mak dan ayah budak-budak Chow Kit ni bukan jobless. Contohnya, Ibu Nini. Dia ada buat popia simpul dan sambal bilis dan kalau ada stok dia dan suami akan bawak ke Buku Jalanan Chow Kit pada malam Ahad untuk dijual.
Kak Rubi pulak, 43 tahun, baru lepas berhenti kerja sebagai pembantu kedai. Suami dia kerja sebagai sekuriti bergaji RM1,400 sebulan. Suami dia dah allocate RM600 untuk bayar bilik sewa, selebihnya dorang bayar hutang dan buat belanja keperluan harian. Sekarang ni Ibu Siti mengandung 5 bulan dan dia bagi tau:
“Akak harap lepas keluar yang dalam perut ni, cukup la duit laki akak tu”.
5. Ada yang berdarah campuran
Korang ada students mix? Saya ada! flip hair
Malaysia (mamak) + Thailand = Maland??
Isha, Malik dan Idris. Patut la dorang ni lawa dan hensem, rupa-rupanya ayah dorang warganegara Malaysia (muka macam mamak) + mak dorang asal Thailand. Pandai pandai la korang imagine tahap kecantikan dan kehenseman tiga beradik ni.
Malaysia + Indonesia = Malindo??
Minggu lepas first time saya jumpa Alif, Amar dan Akil. Ayah dorang asal Malaysia dan mak dorang dari Indonesia. Dorang ni boleh tahan hensem jugak. Mak dan ayah dorang ni pekak dan bisu dan dorang normal. Kagum gila saya tengok Alif berinteraksi dengan mak dan ayah dia.
Sebab dah lewat malam dan bas pun dah takde, so saya hantar dorang (kecuali ayah) balik ke rumah PPR area Jalan Ipoh. Alang-alang dah hantar tu, mak dorang ajak saya masuk. Kebetulan pulak suami dia baru lepas accident patah tangan, so kira datang ziarah sekali la.
Saya sembang dengan mak dan ayah dorang guna Alif sebagai translator. Time ni la rasa apasal la aku tak pernah belajar bahasa isyarat?
Rupa-rupanya dorang datang ke Chow Kit malam tu sebab makanan dah habis. Ye lah, ayah MC tujuh hari sebab accident, lepas tu mak pulak tak kerja. Dorang takde pilihan lain melainkan naik bas dan pergi ke Chow Kit. Ohhhh ya, ayah dorang ni kerja driver lori.
Apa yang kita boleh buat untuk dorang kat Chow Kit?
Kita rasa dah cukup stress bila akhir bulan duit gaji habis dan terpaksa makan meggi sedangkan berapa ramai orang kat luar sana tak ada duit sepanjang bulan dan mengharapkan bantuan makanan daripada orang lain. Kan?
Mulai sekarang, jom kita sama-sama ubah persepsi kita kat warga Chow Kit. Dorang pun manusia macam kita jugak. Anggap je lah kita ni sebagai ejen perubahan kepada masyarakat terutama sekali dorang kat Chow Kit ni sebab kalau kita yang tak bantu dorang untuk keluar dari kehidupan sekarang, siapa lagi kan?
Kalau tak boleh bantu dorang dengan makanan, mungkin boleh bantu dorang dengan luangkan masa dan jadi volunteer di Buku Jalanan Chow Kit.
Sampai bila kita nak dorang ni tadah tangan di celah lorong gelap dan berharap makanan dan pakaian akan sampai depan mata dorang tanpa perlu berusaha kan? Jom ubah sekarang! Kalau bukan hari ni, bila lagi?
“We make a living by what we get, but we make a life by what we give”. – Winston Churchill
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2hNpxKW
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment