Hi! Welcome Back and Stay Tune! Constantinople – Kejatuhan empayar Rom di bawah kerajaan Islam - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Constantinople – Kejatuhan empayar Rom di bawah kerajaan Islam

Constantinople – Kejatuhan empayar Rom di bawah kerajaan Islam

Korang pernah tengok tak Istanbul Aku Datang, cerita yang mengisahkan seorang wanita muda dari Malaysia (Lisa Surihani) datang ke Istanbul untuk menemui buah hatinya (Tomok). Dalam cerita ini diorang berlakon dekat Istanbul, Turki. Tapi korang tahu ke asal usul negara Turki tu macam mana dan apa pula kaitanya dengan Constantinople.

Apa benda Constantinople ni sebenarnya?

Peta Constantinople yang dilakarkan pada 1597.

Sebenarnya Constantinople ni adalah sebahagian daripada negara Turki yang ada sekarang. Sebelum ianya jadi sebahagian daripada Turki, Constantinople adalah sebuah kota yang paling kaya dan makmur di dunia pada kurun ke-5 hingga ke-13 dan telah menjadi rebutan oleh Kerajaan Kristian Eropah, Latin, Serbia, Bulgaria dan Kerajaan Islam sendiri.

Kota ini telah didirikan oleh Maharaja Constantine I dari Empayar Byzantium (Empayar Rom Timur). Beliau memindahkan Empayar Rom lama di Itali ke bandar Byzantine selepas ianya diambil alih Jerman dan telah menamakan bandar ini sebagai Constantinople.

Empayar baru ini masih mengikut cara Empayar Rom Kristian tetapi mempunyai wilayah yang lebih kecil berbanding Empayar Rom lama.

Sultan Muhammad al-Fatih, pemerintah Islam pertama yang menguasai Constantinople

Sultan Muhammad al-Fatih. Gambar dari saidagate.net.

Sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi kerajaan Islam telah cuba untuk menakluk Empayar Rom Byzantine dan kota Constantinople  dalam Peperangan Mu’tah. Kemudian, usaha ini diteruskan oleh tiga orang Khulafa al-Rasyidin yang terawal iaitu Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan Uthman bin Affan.

Kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah pun pernah cuba untuk manawan kota ni tetapi semua usaha itu gagal. Kehebatan pertahan kota Constantinople telah terbukti apabila kota ini mampu bertahan selama hampir 1000 tahun. Sebenarnya Semangat membara umat Islam pada zaman itu untuk menguasai Constantinople berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang telah dinyatakan ketika Perang Khandaq.

Sabda baginda:

”Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”.

Tetapi umat Islam hanya berjaya membuka kota ini 800 tahun selepas kewafatan nabi Muhammad s.a.w iaitu semasa era pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih dari kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Siapa Sultan Muhammad al-Fatih ni?

Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada 29 Mac 1432 di Edirne dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, berdekatan Gebze adalah Sultan ke-7 dalam Empayar Turki Utmaniyyah. Beliau menaiki takhtah pada usia 19 tahun dan berjaya menawan kota Constantinople pada usia 21 tahun yang telah membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Constantinople pada ketika itu dikenali sebagai kota yang paling ampuh di dunia dan mustahil untuk ditawan. Bagaimana kota ini ditawan, jom kita ikuti kronologi pembukaan Kota Constantinople.

Sebelum menyerang, sultan berbaik-baik dulu dengan jiran-jiran Constantinople

Constantinople pada zaman Rom. Gambar dari gohighbrow.com

Sebelum kejayaan pembukaan kota Constantinople, ayah kepada Sultan Muhammad al-Fatih iaitu Sultan Murad II dan para panglima perang Islam yang lain seperti Saidina Ali (34 Hijrah), Muawiyah bin Abu Sufian (84 Hijrah), Sultan Sulaiman (91 Hijrah), Khalifah Harun al-Rasyid (165 Hijrah) dan Sultan Beyazid pada tahun 1391, 1397 dan 1400 Masihi telah cuba menawan kota tersebut tetapi semuanya menemui kegagalan.

Kalau korang nak tahu, pertahanan Kota Constantinople adalah antara yang terbaik pada zaman tu berbanding dengan kota-kota lain yang ada dekat Eropah. Kota tersebut telah telah dilindungi oleh dua lapisan tembok di mana tembok luar setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter manakala tembok dalam pula setinggi 40 kaki dan setebal 15 meter.

Gambaran semula Theosodian Wall. Gambar dari burnpit.us

Selain itu, kota ini juga telah dilindungi oleh Selat Tanduk Emas, Selat Bosporus dan juga Laut Marmara (laut yang memisahkan Turki Asia dan Turki Eropah). Nak bagi gempak lagi, Maharaja Constantinople pada masa itu memasang telah memasang seutas rantai raksasa sepanjang 275 m bagi mengawal pintu masuk daripada diceroboh oleh kapal-kapal perang musuh.

Rantai raksasa yang masih disimpan sampai sekarang. Gambar dari burnpit.us.

Dalam hal ini, kebijaksanaan al-Fatih terbukti apabila baginda telah melaksanakan persiapan yang sangat rapi sebelum menuju ke medan perang. Sebelum peperangan bermula, baginda telah membangunkan 140 buah kapal perang moden dan telah menyediakan hampir 150,000 orang tentera, termasuk 12,000 tentera Janisari yang terlatih.

Bukan itu sahaja, baginda juga telah menyemak semula hubungan sedia ada antara kerajaan Turki dengan negara-negara Eropah dan Balkan. Serta menawarkan hubungan dagangan yang lebih baik dari tawaran pemimpin Uthmaniyyah sebelumnya.

Dan yang paling pentingnya, perhatian khusus telah diberikan kepada negara-negara jiran dan negara yang bersekutu dengan Constantinople, supaya mereka neutral apabila Constantinople diserang. Untuk mencapai kemenangan, Empayar Uthmaniyyah telah mencipta 4 buah meriam gergasi dan puluhan mortar untuk meremukkan tembok kebal Constantinople.

Meriam Diraja yang digunakan oleh tentera Turki untuk meruntuhkan tembok Constantinople.

Empat buah meriam Diraja ini diberi nama Meriam Basilica iaitu meriam terbesar di dunia pada zaman itu. Meriam ini mempunyai berat hampir 700 kilogram dengan pelurunya yang seberat 300 kilogram. Disebabkan saiznya yang besar gedabak, meriam ini memerlukan 2 jam untuk memasukkan satu peluru dan ianya mampu menembak 10 das tembakan dalam sehari pada jarak capaian bom sekitar 1-2 kilometer.

Selepas 1000 tahun, Constantinople akhirnya jatuh ditangan Kerajaan Islam

Sebelum memulakan peperangan, Sultan Muhammad al-Fateh telah memberikan dua pilihan kepada kepada Maharaja Constantinple iaitu memeluk Islam atau menyerahkan kunci Kota Constantinople. Tetapi Maharaja Constantine XI pada masa itu memilih untuk berperang. Maka berlakulah peperangan yang memakan masa selama 53 hari.

Peperangan ini dimulakan dengan mengepung Constantinople sambil menghalakan Meriam Diraja ke pintu kota. Kapal-kapal perang diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Constantinople tetapi tidak berjaya memasuki perairan Tanduk Emas disebabkan oleh kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu masuk. Pada peringkat permulaan, tentera Uthmaniyyah megalami kegagalan untuk memasuki Constantinople di sebabkan oleh dinding kota yang kukuh.

Meriam yang dihalakan ke pintu kota. Gambar dari europebetweeneastandwest.wordpress.com

Di sinilah terjadilah satu peristiwa yang amat mengagumkan yang tidak pernah difiikirkan oleh tentera musuh apabila kapal-kapal perang baginda berlayar di atas daratan merentasi Semenanjung Fera lalu berlabuh di depan Kota Constantinople. Hanya dalam satu malam, 70 buah kapal perang Uthmaniyyah berjaya dialihkan melalui jalan darat bagi melepasi sekatan rantai raksasa tentera Constantinople yang jaraknya hampir 5 km dengan hanya menggunakan bantuan kayu balak dan lemak haiwan.

Tentera musuh yang terkejut dengan adanya armada perang di perairan mereka tidak dapat berbuat apa-apa dan ini telah menyebabkan pertahanan Constantinople kacau bilau dalam menerima asakan serangan yang berterusan dari tentera Uthmaniyyah.

Al-Fatih memerintahkan supaya kapal-kapal perangnya dipindahkan melalui jalan darat bagi melepasi sekatan rantai raksasa Constantinople dalam hanya satu malam.

Masa peperangan nak bermula, Maharaja Constantinople ada meminta bantuan daripada Paus di Vatican City (Ketua Gereja Kristian) dan Raja-Raja dari Eropah. Tetapi disebabkan perbezaan agama diorang, orang-orang Eropah tak nak tolong pun. Untuk pengetahuan korang, Empiyar Byzantine ni pakai mahzab Kristian Ortodoks manakala masyarakat Eropah lain pada masa itu mengamalkan pegangan Kristian Khatolik.

Selepas peperangan selama 53 hari, akhirnya Pada tanggal 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857 Hijrah sebuah kota agung Eropah telah berjaya ditawan oleh kerajaan Islam di bawah pimpinan Muhammad al-Fatih. Maharaja Constantine XI (Maharaja terakhir Constantinople) telah mati dalam peperangan dan kehilangan Constantinople ini telah memberikan tamparan hebat kepada kerajaan Kristian di Eropah. Di samping semangat Perang Salib yang masih membara pada ketika itu, pada fikiran diorang, kalau kota sehebat Constantinople pun bulih ditawan oleh al-Fatih, apatah lagi kerajaan dan empayar diorang yang ada di Eropah.

Gambaran kejatuhan kota Constantinople. Gambar dari blog.justinyodonnell.com

Akibat terkejut dan terancam dengan kejayaan tentera Islam menawan Constantinople, Paus Nicholas V dari Vatican  telah melancarkan kempen untuk melakukan Perang Salib terhadap kerajaan al-Fatih. Bagaimanapun, akibat daripada permasaalahan dalaman di Eropah, seruan Paus tidak diendahkan dan ini telah memaksa Paus sendiri pergi untuk berperang tetapi kematian awal beliau telah melenyapkan harapan serangan balas.

Setelah Sultan Muhammad al-Fatih berjaya meletakan Constantinople di bawah naunganya, baginda telah membuat beberapa perubahan. Antaranya,  tiada paksaan dalam beragama di mana rakyat Constantinople bebas dalam mengamalkan pegangan dan budaya mereka.

Baginda juga telah menukarkan nama Constantinople kepada ‘ISLAM BUL’ dan kemudian Mustafa Kemal Atatürk menukarnya menjadi ISTANBUL semasa era pemerintahan Turki moden. Baginda juga telah menjadikan gereja Ayasofya kepada masjid di mana bangunan ini sering dianggap sebagai salah sebuah bangunan teragung dan tercantik di dunia dari segi seni binanya namun ianya telah ditukar sekali lagi oleh Mustafa Kemal Atatürk menjadi muzium sehinggalah ke hari ini.

Kesan Penawanan Constantinople kepada Dunia dan Malaysia

Sebelum penawanan constantinople oleh Kerajaan Uthmaniyyah, Kota ini pernah ditawan pada  1203 oleh tentera Latin kesan daripada Perang Salib yang digerakan di Eropah. Tetapi tiada serangan besar-besaran yang berlaku kerana penawanan ini lebih bersifatkan politik dan perebutan takhta di antara Alexius III dan  Alexius IV.

Penawanan tentera Latin ini tidaklah lama apabila pada tahun 1261 Michael VIII Palaiologos telah berjaya merampas semula Constantinople dari tangan musuh sebelum ianya ditawan untuk kali ke dua dan terakhir oleh Sultan Muhammad al-Fatih dan berakhirnya Empayar agung Rom selama hampir 1000 tahun.

Gambar Sultan Muhammad al-Fatih yang telah diabadikan di dalam wang kertas 1000 Lira, Turki.

Di barat, Sultan Muhammad al-Fatih lebih dikenali sebagai “Mehmed the Conqueror” kesan daripada kejayaanya menakluk Kota Constantinople, kota yang dianggap mustahil untuk ditawan pada ketika itu.

Untuk pengetahuan korang, kejatuhan Constantinople juga teah mempercepatkan penghijrahan sarjana-sarjana Greek  dari Constantinople yang membawa bersama ilmu pengetahuan mereka ke Eropah dan menyemarakkan lagi kebangkitan zaman Renaissance.

Rekaan dalaman Muzium Ayasofya yang mempunyai seni bina Byzantine adalah kesan tinggalan Kota Constantinople yang terletak di Istanbul, Turki.

Constantinople sebenarnya kaya kerana mereka merupakan pusat perdangan yang menghubungkan Eropah dan Asia di mana rempah ratus dari Eropah telah di bawa ke Constantinople dan dibawa pulang oleh perdagang-perdagang dari Eropah.

Apabila kejatuhan Constantinople di tangan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, bangsa Eropah terus berdagang di situ sehinggalah abad ke-16 apabila harga yang tinggi memaksa mereka mencari alternatif lain. Kerajaan-kerajaan di Eropah mula bangkit dan Bangsa Eropah seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda mula belayar ke India dan Asia untuk mencari bekalan rempah yang lebih murah.

Suasana di Istanbul pada masa sekarang. Banggunan sebelah kiri adalah Ayasofya dan masjid Biru terletak di sebelah kanan gambar.

Christopher Columbus juga telah menjumpai dunia baru iaitu Amerika apabila bangsa Eropah mula memberanikan diri belayar jauh untuk menjalankan perdagangan dan penjajahan. Untuk Malaysia, akibat daripada kebangkitan di Eropah ini, Portugis telah sampai ke Melaka dan bermulalah siri penjajahan di Tanah Melayu selama 446 tahun yang bermula dari tahun 1511 sehinggalah kita mendapat kemerdekaan dari pada pihak British pada tahun 1957.

Kesimpulanya, pembukaan Constantinople ini sebenarnya adalah ekoran pertembungan diantara dua kuasa dan budaya yang berbeza diantara Timur dan Barat yang sudah lama berlarutan. Akibat daripada sifat manusia itu sendiri, peperangan dan penindasan tetap berlaku dari zaman dahulu sehinggalah ke hari ini di mana sesiapa yang lemah akan terus berada di bawah.

Di manakah kedudukan kita pada hari ini?



Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2h1SINq

a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.