‘Smurfs: The Lost Village’ Naskhah Sudut Pandang Wanita
SEBELUM anda menonton filem Smurf: The Lost Village (bagi mereka yang masih belum berbuat demikian atau ada perancangan untuk menontonnya), jangan kelirukan diri anda dengan mengaitkan filem ini dengan dua buah filem Smurfs sebelum ini iaitu The Smurfs (2011) dan The Smurfs 2 (2013).
Penulis berkata demikian kerana Smurfs: The Lost Village tiada kaitan langsung dengan dua filem yang disebutkan di atas.
Pertamanya, dua filem terdahulu itu merupakan gabungan filem cereka dan animasi berkomputer manakala filem Smurfs yang baharu ini merupakan filem animasi sepenuhnya.
Dalam erti kata lain, Smurfs: The Lost Village merupakan sebuah naskhah baharu bagi memancing peminat filem animasi khususnya untuk menonton komuniti The Smurfs dalam dunia yang berbeza.
Sekadar berkongsi maklumat, secara teknikalnya, Smurf: The Lost Village bukanlah filem animasi The Smurfs yang pertama.
Sebaliknya, watak francais komik ciptaan Pierre Culliford atau nama penanya, Peyo itu pernah dizahirkan secara animasi ke layar perak sebanyak dua kali menerusi The Adventures of Smurfs (1965) yang memiliki lima cerita di dalamnya dan The Smurfs and the Magic Flute (1976).
Justeru, mungkin menyedari jiwa sebenar The Smurfs terletak pada penerbitan animasi telah mendorong Sony Pictures Animation untuk menghasilkan filem animasi baharu ini selain untuk mengabadikan nostalgia peminat watak makhluk kerdil berwarna biru itu yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa lebih empat dekad lalu.
Seperti mana yang disebutkan, Smurfs: The Lost Village sememangnya sebuah cerita baharu yang mengambil pendekatan berbeza terutama dari sudut tema filem itu sendiri.
Secara ringkasnya, filem animasi arahan Kelly Asbury (Gnomeo & Juliet, 2011 dan Shrek 2, 2004) ini memfokuskan kepada satu-satunya watak wanita dalam dunia The Smurfs iaitu Smurfette (penyumbang suara oleh Demi Lovato) yang mahu mencari siapakah dirinya yang sebenar.
Sementelah, dia sendiri dicipta daripada tanah liat dan dihidupkan oleh ahli sihir jahat bernama Gargamel (Rainn Wilson) untuk melunaskan misinya menghancurkan koloni The Smurfs.
Namun, Smurfette kemudiannya diberikan ‘nyawa’ baharu oleh Papa Smurfs (Mandy Patinkin) dan merubahkan ia menjadi sebahagian daripada keluarga The Smurfs.
Pun begitu, Smurfette merasakan dirinya masih lagi ada kekurangan dan persoalan yang tidak berjawab tentang identiti dirinya sehingga dia nekad untuk keluar dari zon selesanya dan mencari jawapan untuk segala permasalahannya.
Tanpa disedari, sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi selepas mendapat tahu bahawa ada puak lain yang mendiami di satu bahagian terceruk hutan di kawasan tempat tinggal mereka, Smurfette telah diekori tiga sahabatnya, Hefty Smurf (Joe Manganiello), Clumsy Smurf (Jack McBrayer) dan Brainy Smurf (Danny Pudi).
Bermula detik itu bermulalah pengembaraan mereka yang penuh mencabar dan warna-wani lebih-lebih lagi turut disertai oleh Gargamel dan dua pembantunya, si kucing Azrael (Frank Welker) dan seekor burung bernama Monty yang mahu menculik Smurfs sebanyak mungkin bagi melunaskan misi jahatnya untuk menjadi ahli sihir yang lebih berkuasa.
Sehinggalah apabila Smurfette, Hefty, Clumsy dan Brainy menemui perkampungan yang dicari yang diketuai oleh Smurf Willow (Julia Roberts) bersama-sama penduduknya yang kesemuanya adalah wanita.
Dari sudut pandang penulis sebagai seorang audiens, Smurfs: The Lost Village menonjolkan sisi wanita moden yang memiliki pemikiran sendiri, mencari pembebasan diri, masih mengekalkan ciri-ciri wanita sejati selain membuktikan bahawa mereka juga sebenarnya mampu menjadi pemimpin yang baik.
Kesemua ini dapat dilihat menerusi watak-watak yang ditonjolkan seperti Smurfette, Smurf Willow, Smurf Storm (Michelle Rodriguez), Smurf Blossom (Ellie Kemper) dan Smurf Lily (Ariel Winter) yang menggambarkan karakter wanita yang disebutkan.
Barangkali disebabkan juga penulis lakon layarnya juga adalah dua orang wanita, Stacey Harman dan Pamela Ribbon yang mahu memberikan nafas baharu dalam karakter The Smurfs itu sendiri yang sebelum ini penceritaannya banyak berkisar tentang kuasa lelaki.
Bahkan, watak Papa Smurf yang sering kali dijadikan sebagai ketua dan penyelesai masalah juga tidak terlalu ditonjolkan dalam filem Smurfs: The Lost Village sebagai tanda bahawa wanita sebenarnya juga berkebolehan menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu dibantu lelaki.
Babak akhir melibatkan Smurfette dan Gargamel juga secara jelas menunjukkan bahawa biarpun wanita sering kali dianggap sebagai objek yang lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri mereka, tetapi adegan itu membuktikan sebaliknya.
Biarpun begitu, Smurfs: The Lost Village bergerak dengan perlahan dan menimbulkan sedikit rasa bosan di awalnya namun, momentum itu mula menaik secara berperingkat sehinggalah ia ke pengakhirannya.
Dalam konteks penerbitannya sebagai filem animasi, ia masih boleh dinikmati dan dapat memberikan hiburan untuk seisi keluarga selain meninggalkan nostalgia untuk mereka yang membesar dengan watak-watak comel ini.
The post ‘Smurfs: The Lost Village’ Naskhah Sudut Pandang Wanita appeared first on Berita Viral.
Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2okZ5Kz✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment