Dulu mangsa ‘bash’ kini diminati
JATUH bangun kerjaya seni aktres cantik, Mawar Rashid bermula sejak dia menyertai Pencarian Dewi Remaja 2014/15.
Menjadi antara finalis pilihan dalam pertandingan tersebut, Mawar atau nama lengkapnya Wan Mawar Shahputri Wan Abdul Rashid tiba-tiba menjadi buah mulut netizen waktu itu apabila dia dikatakan ‘buta’ mengenai isu semasa.
Lalu bermulalah ‘perang’ di media sosial antara peminat pelakon ini dengan netizen lain yang tidak berpuas hati terhadap tahap kepekaan bintang yang berasal dari Kelantan ini mengenai isu hangat yang melanda negara.
Meskipun mengakui tertekan dengan kisah itu, Mawar cuba bertenang dan memberi ruang buat diri sendiri untuk menjadi lebih profesional.
Sedikit demi sedikit dia mula membina keyakinan baru dengan memberi fokus sepenuhnya terhadap cita-citanya. Isu hangat itu kini menjadi antara episod yang tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar anak seni.
Enggan menoleh ke belakang, Mawar kini optimis dengan segala peluang yang ada dan pada masa sama cuba membuktikan sesuatu kepada pencinta seni tanah air.
Mawar seboleh-bolehnya mahu peminat industri lakonan tahu bahawa kehadirannya bukan sekadar selesa dengan tiket fizikal semata-mata.
Pertemuan Media Hiburan dengan pelakon Suamiku Paling Sweet ini pada majlis pelancaran produk penjagaan wajah, Nurish Organiq di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini membuka 1001 kisah yang terbuku di hatinya.
Terang Mawar, misinya ketika ini hanyalah satu, iaitu fokus pada kerjaya selain mahu menyumbang sesuatu kepada industri seni.
Kalau boleh, dia tidak mahu menjadi pelakon ‘kosong’ yang hanya sensasi dek kisah kontroversi yang akhirnya memakan diri. Terpalit isu itu, Mawar sejujurnya dapat merasakan ada hikmah di sebalik isu GST itu dan kini dia mula berhati-hati dengan setiap tutur katanya.
“Saya belajar supaya lebih peka dan sensitif dengan isu negara. Terima kasih pada mereka yang tegur dan peminat saya yang tidak putus-putus menyokong.
“Paling tidak pun, saya jadi lebih matang pada usia muda. Dugaan tu sebenarnya ada hikmah. Rezeki saya pun Alhamdulillah, bertambah,” katanya serius.
Sebagai artis baru, banyak pengalaman yang perlu ditimba ke arah menjadi lebih versatil, malah Mawar juga tidak pernah putus asa dan akan berusaha menjadi pelakon yang lebih baik pada masa depan.
Teruja di atas pelantikannya sebagai duta Nurish Organic selama dua tahun, katanya, pelantikan ini ibarat signal kepada kepercayaan orang luar terhadap kredibilitinya.
“Bila dapat tawaran daripada Nurish Organiq, saya mesti nak cuba dulu. Dah setahun cuba, Alhamdulillah, result yang diterima pada kulit memang memuaskan,” katanya.
Watak komedi
Mawar baru saja selesai menjalani penggambaran drama 20 episod untuk slot Kelakarama di TV9 iaitu Isteriku Mem Besar di samping Arash Mohamad dan Amyza Aznan.
Selain itu, pelakon ini akan ke set satu lagi telemovie komedi, Imam Samar-Samar dan dia sendiri seronok mencuba watak lain serta tidak terikat dalam peranan sama.
Ditanya sejauh mana penerimaannya dalam pemilihan watak lakonan, Mawar sejujurnya mahu mencuba pelbagai watak.
Tidak kisah sama ada besar atau tidak, tapi andai memberi kesan pada penonton, sudah pasti peluang yang diterima tidak akan dilepaskan.
“Saya bukan jenis pilih watak. Sebagai pelakon baru, saya perlu explore apa saja watak yang ada. Saya pernah pegang watak jahat, perempuan ayu dan sebagainya.
“Jadi bila dapat job untuk beraksi gedik dan perlu buat lawak, rasanya itu satu cabaran yang baik untuk asah lagi skil lakonan. Tinggal lagi kita perlu bagi extra effort terhadap kehendak pengarah,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian di MSU, Shah Alam dalam jurusan perniagaan.
Persaingan sihat
Aktres berusia 22 tahun ini menyifatkan kehadiran pelakon baru sebagai satu persaingan sihat dan lebih meriah.
“Ada di antara mereka yang sudah saya kenal. Jadi soal persaingan itu tidak pernah timbul malah saling menyokong. Bagi saya, rezeki itu ada di mana-mana.
“Cuma sebagai pelakon baru, kita perlu kerja keras,” katanya yang turut mengakui rezekinya murah sejak menyertai Dewi Remaja.
“Dulu saya kena bash dan Alhamdulillah, sekarang dah boleh terima siapa saya.
Pandangan mereka pun dah positif. Ya, ini satu hal yang baik. Harapnya sokongan ini kekal berterusan sampai bila-bila, Insya- ALLAH,” akhiri Mawar positif.
The post Dulu mangsa ‘bash’ kini diminati appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rfCiTp
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment