I Am Alive Surviving The Andes Plane Crash
Assalamualaikumpertama sekali nak ucapkan terima kasih kepada admin jika siarkan tulisan yang tak seberapa ini.
Dan nak minta maaf sebab dalam tulisan ini ada percampuran antara bahasa Melayu dan Inggeris. Alasan aku campur adalah untuk memudahkan penulisan ini, contoh: survivor, maksudnya orang yang masih hidup/bertahan. Jadi aku lebih suka untuk guna survivor, mudah serta ringkas. Dan tulisan ini diadaptasi dari video dokumentari bahasa Inggeris, jadi ada sesetengah perkataan dan ayat aku ambil daripada cerita asal itu. Kepada sesiapa yang tak suka jika dua bahasa ini dirojakkan, aku sarankan jangan baca. Siapa yang nak teruskan, silakan.
Apa yang aku nak kongsikan ini adalah berdasarkan kisah benar tentang tragedi Air Force Flight 571 dari Uruguay yang terkandas. Bagi yang tak pernah dengar, Uruguay ini bersempadan dengan Argentina dan Brazil. Tragedi nahas kapal terbang ini berlaku pada 13 Oktober 1972, kira-kira 45 tahun lalu yang terkandas di pergunungan salji yang dipanggil The Andes. Aku tak pasti berapa ramai yang tahu tentang tragedi ini. Video dokumentari ini bertajuk I Am Alive: Surviving the Andes Plane Crash. Kisah ini juga sudah pun ditulis dalam buku yang bertajuk Alive: The Story of the Andes Survivors oleh Piers Paul Read.
Pada mulanya, aku ingatkan ianya sebuah filem, video tu berlatar belakangkan gunung yang bersalji. Aku pun baca komen-komen dari video tu kebanyakannya tulis amazing, awesome, yang membuatkan aku teruja nak tengok. Rupanya ia bukan filem, tetapi sebuah dokumentari tentang nahas Air Force Flight 571 dari Uruguay yang dilakonkan semula. Apa yang membuatkan aku lebih teruja adalah, dokumentari ini dihasilkan melalui cerita dan pengalaman survivors dari nahas pesawat itu sendiri. Selepas pesawat terkandas di pergunungan salji Andes, mereka ini bertahan selama 72 hari sebelum jumpa jalan keluar.
72 hari di gunung salji! Bayangkan pun aku tak sanggup. Bagaimana pula dengan mereka yang lalui tu? Okay, kepada yang malas nak baca, boleh lah terus ke YouTube dan taip tajuk yang aku dah bagi kat atas tu, tapi agak panjang juga dokumentari tu dalam satu jam lebih. Kepada yang nak baca ringkasan dari kisah itu, silakan baca tulisan ini. Jom, aku mulakan. Nando Parrado. Salah seorang survivor dari nahas tersebut dan juga boleh dikatakan sebagai hero kerana tekad mencari jalan keluar dari pergunungan salji Andes. Bilangan survivors adalah seramai 16 orang termasuk Nando.
Sebelum terkandas, Nando dan rakan-rakannya merancang untuk ke Santiago bagi mengikuti pertandingan ragbi (mereka adalah ahli pasukan ragbi). Oleh kerana tidak mempunyai duit yang banyak, kerana pada waktu tu mereka masih muda remaja, mereka sepakat untuk catar Air Force Flight kerana harganya jauh lebih murah. Sehari sebelum berangkat, kapten pasukan mereka memberitahu bahawa terdapat 10 lagi seat yang kosong, jadi bebas kepada sesiapa yang nak bawa ahli keluarga bersama untuk cukupkan seat tanpa bayaran dikenakan.
Jadi Nando teruja dan terus mengajak ibu dan kakaknya bersama, sebagai hadiah kepada mereka katanya. Jumlah semua penumpang adalah seramai 45 orang. Mereka pergi hari pada hari khamis dan sepatutnya pulang pada hari isnin. Untuk ke Santiago, flight mereka perlu melalui pergunungan Andes yang bersalji. Tetapi, pada hari khamis tu, cuaca tidak berapa elok untuk melalui Andes. Jadi mereka terpaksa berhenti dan bermalam di Mendoza (berdekatan dengan Andes) sehingga cuaca baik. Keesokkannya paginya iaitu pada hari jumaat, 13 Oktober 1972, mereka berlepas semula.
Sewaktu dalam pesawat, masing-masing tenang dan tidak menyangka bahawa suatu tragedi buruk akan berlaku kepada mereka pada hari itu. Tiada siapa yang menyangka mereka tidak akan pulang selama 72 hari. Pilot yang membawa mereka juga berpengalaman dalam merentasi pergunungan Andes. Dari Mendoza, mereka boleh melalui dua jalan, sama ada dari Mendoza terus ke Santiago (jalan A) atau dari Mendoza ke Curico dan ke Santiago (jalan B). Namun, kedua-dua jalan ini perlu melalui pergunungan Andes. Jika menggunakan jalan A, pesawat mereka perlu terbang lebih tinggi, namun akan memberi tekanan yang kuat dan agak berbahaya kerana cuaca yang masih kurang stabil.
Oleh itu, pesawat perlu terbang menggunakan jalan B, dari Mendoza ke selatan iaitu melalui jalan yang bersebelahan dengan Andes, kemudian beralih/belok ke barat iaitu ke arah gunung Andes, yang mana perlu terbang melalui pas yang rendah (Planchon Pass) merentasi gunung Andes (sekejap sahaja), dan muncul di sebelah selatan Andes iaitu di Curico dan akhirnya beralih ke utara dan terus ke Santiago. Dalam erti kata yang mudah, jalan A seperti huruf l, dekat tetapi agak berbahaya kerana perlu terbang tinggi. Manakala jalan B seperti huruf U, jauh dan perlu pusing tetapi mungkin lebih selamat kerana boleh terbang rendah merentasi Andes. (*tak tahu betul ke tak apa yang aku terangkan pasal laluan tu, kalau sesiapa tahu kisah ini, dipersila untuk betulkan).
Pilot tersebut telah memilih jalan B. Setelah melalui pas yang rendah (Planchon Pass) di gunung Andes, dia sepatutnya terus ke selatan iaitu di Curico (kawasan yang tidak bersalji) dan seterusnya ke Santiago. Tetapi dia telah membuat satu kesilapan kerana telah beralih/belok ke utara Andes iaitu menuju terus ke Santiago sebelum tibanya di Curico menyebabkan mereka perlu merentasi banjaran pergunungan Andes yang jauh dan bersalji dengan cuaca buruk. Dikatakan mungkin tersalah pengiraan. Disebabkan kesilapan tersebut, pesawat mereka telah mula bergegar. Apa yang mereka nampak ketika itu hanyalah awan yang gelap menutupi gunung Andes.
Masing-masing sudah mula panik dan risau jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka. Disebabkan awan gelap dan tebal menutupi laluan, pilot tersebut tidak dapat mengawal kestabilan pesawat menyebabkan lama-kelamaan ia terbang semakin rendah. Dan akhirnya menyedari bahawa pesawat tersebut sudah terlalu hampir dengan banjaran gunung Andes yang bersalji. Pilot tersebut mungkin telah mula panik dan terus berusaha untuk terbang lebih tinggi. Akan tetapi, ketika berusaha terbang lebih tinggi dari gunung Andes, tiba-tibaboommm!!!!
Sebelah kanan sayap pesawat terlanggar banjaran gunung berbatu yang dilitupi salji menyebabkan ianya patah dan pesawat tersebut terputus dua. Separuh di bahagian belakang tercampak bersama sayap pesawat. Manakala separuh lagi di bahagian hadapan pesawat tercampak dan tergelongsor dari atas gunung hingga ke bawah dengan kelajuan yang sangat dasyat. Salah seorang survivor iaitu Roberto berkata, dia hanya menunggu pesawat itu merempuh banjaran gunung yang lain. Dia sudah bersedia jika sesuatu yang lebih buruk akan berlaku. Tetapi ia berlaku sebaliknya, separuh pesawat itu tiba-tiba berhenti, dan apa yang dia fikir ketika itu adalah, I am alive!
Namun, pesawat yang jatuh dari ketinggian 11,800 kaki itu mengakibatkan 12 mangsa terkorban termasuk pilot, krew dan ibu kepada Nando. 33 orang survive. Beberapa orang cedera parah termasuk Nando dan kakaknya, Susana. Nando kelihatan terbaring dengan mukanya yang bengkak, koma. Kebanyakan survivors tidak biasa dengan keadaan salji menyebabkan mereka tidak mampu menahan kesejukan. Mereka di kelilingi banjaran gunung bersalji yang sangat tinggi. Jadi, mustahil untuk mereka mencari jalan keluar dan mustahil untuk orang lain menemui mereka kerana keadaan cuaca yang teruk.
Masing-masing mempertahankan diri dengan memakai baju tebal dari bagasi yang dijumpai untuk mengurangkan kesejukan. Mereka hanya berlindung di dalam pesawat (yang separuh) bersama dengan mayat rakan mereka di sisi. Malam pertama di gunung salji adalah perkara yang sangat perit untuk diingati apatah lagi untuk dilalui, kerana matahari terbenam seawal jam 4 petang, dan mereka perlu menunggu selama 15 jam untuk matahari kembali terbit. Suhu yang semakin rendah pada malam itu menyebabkan 5 orang lagi terkorban. Jumlah survivors adalah 28 orang.
Pada hari kedua, terdengar bunyi helikopter yang melalui kawasan terkandas. Mereka bersorak gembira dan sedaya upaya menarik perhatian dengan harapan mereka akan diselamatkan. Tapi, hampa. Mustahil untuk mereka dijumpai kerana serpihan pesawat berwarna putih dan dilitupi salji yang juga berwarna putih. Sukar untuk dikesan. Mereka mula mengeluarkan mayat yang berada di dalam pesawat untuk lapangkan ruang, berkongsi minuman dan makanan. Makanan yang ada hanyalah coklat, sardin yang hanya mampu bertahan selama beberapa hari sahaja.
Setelah koma selama beberapa hari, Nando kembali sedar tanpa sebarang rawatan. Apa yang berlaku kepada Nando membuktikan bahawa suhu yang rendah mampu melindungi kecederaan otak. Rakan-rakannya menceritakan apa yang berlaku dan memberitahu ibunya terkorban dan kakaknya cedera parah. Ianya suatu yang sangat tragis bagi Nando. Dia keluar dari pesawat dan melihat sekeliling, tergamam dan tidak percaya dengan apa yang berlaku kepada mereka. Keadaan yang sunyi, lapang dan tiada jalan untuk meminta pertolongan dan tiada apa yang boleh dijadikan makanan.
Pasukan penyelamat juga giat mencari mangsa, namun tiada apa yang ditemui. Sehingga hari ke 7, keadaan tetap sama dan mereka terpaksa bertahan di tengah gunung Andes yang sejuk. Nando memeluk kakaknya yang cedera parah sepanjang malam sehingga kakaknya juga turut terkorban. Agak berat, tapi dia perlu terima hakikat. Jumlah survivors adalah 27 orang. Hari ke 10, masih tiada apa yang boleh dimakan. Nando membuat suatu keputusan dan memberitahu salah seorang rakannya, dia berkata: Carlitos, I want to eat the pilot.
Keputusan yang dibuat oleh Nando pada awalnya ditentang oleh rakannya, akan tetapi mereka terpaksa akur. Jika mahu terus hidup di tengah gunung Andes, itulah jalan yang terpaksa mereka ambil walaupun perlu memakan daging rakan mereka sendiri yang telah mati. Daging dipotong dengan menggunakan serpihan cermin dari pesawat. Dengan terpaksa, mereka memotong dalam cebisan yang kecil, membakar atau memakannya begitu sahaja. Makan sekadar mengisi perut dan ia sudah cukup untuk hidup. Masing-masing terus berkata: If I die, please use my body, at least one of us can get out of here.
Hari ke 18, pada malam itu, salji turun makin lebat. Mereka berlindung di dalam pesawat dengan kesejukan yang terlampau. Tiba-tiba terdengar bunyi, boommm!!! Nando melihat ke kanan, kelihatan di luar pesawat runtuhan salji yang meluncur seperti air menuju ke arah pesawat mereka, dan keadaan menjadi gelap dengan sekelip mata. Badan dilitupi salji tebal menyebabkan mereka sukar untuk bergerak mahupun bernafas. Tidak lama selepas itu, terdapat beberapa orang dari mereka yang berjaya melepaskan diri dari timbunan salji dan berusaha menyelamatkan rakan yang lain.
Runtuhan salji pada malam itu mengakibatkan 8 orang lagi terkorban. Jumlah survivors adalah 19 orang. Mereka hanya dapat lepaskan diri dari salji di dalam pesawat, tapi tidak dapat keluar dari pesawat tersebut kerana ianya dilitupi salji tebal, seolah seperti sebuah kapal selam. Kesempitan ruang dan kekurangan oksigen. Lemas. Macam masuk dalam kotak. Boleh bayang tak? Sehingga pada keesokan paginya, Nando tekad untuk mencari jalan keluar dengan mengorek salji tapi tidak berjaya. Dia hanya mampu mengorek lubang kecil untuk mendapatkan oksigen. Mereka terperangkap di bawah salji itu selama 3 hari. Akhirnya berjaya mencari jalan keluar.
Setiap hari yang berlalu masih sama. Mereka makan daging daripada mayat, minum air dari salji yang dicairkan melalui cahaya matahari. Nando dan dua lagi rakannya mula berjalan di sekeliling kaki gunung. Dengan harapan mungkin adanya jalan keluar. Namun, keadaan salji yang tebal menyukarkan pergerakan mereka apatah lagi tanpa peralatan yang khusus. Hari ke 30, Nando, Roberto dan Antonio tetap berusaha mencari jalan yang mungkin boleh dilalui untuk mendapatkan bantuan. Masih tidak berjaya. Hari ke 34, terdapat rakan-rakannya yang semakin lemah kerana kecederaan yang dialami. 2 orang lagi terkorban. Jumlah survivors adalah 17 orang.
Dan selepas 60 hari, jumlah survivors adalah 16 orang. Oleh sebab itu, Nando tekad mahu mencari jalan keluar dan mengajak rakannya untuk mendaki gunung Andes yang tingginya beribu kaki. Mereka hanya dapat meneka keberadaan mereka melalui matahari terbit. Dan menyangka bahawa di sebalik gunung yang tinggi itu, adanya kawasan yang kehijaun tanpa salji. Nando semakin bersungguh-sungguh untuk mendaki gunung dan mendapatkan bantuan apabila mereka tiba di sana. Nando bersemangat untuk pulang dan kembali kepada ayahnya bagi memberitahu bahawa dia masih hidup.
Kebanyakan rakannya memberi sokongan, namun tidak ada yang sanggup untuk mendaki gunung Andes dengan cuaca yang sejuk dan tanpa peralatan salji yang khusus. Akhirnya Nando mengajak Roberto dan Antonio untuk mendaki bersama, dan mereka sanggup. Rakan-rakannya bekerjasama untuk membekalkan mereka dengan sleeping bag dan peralatan lain yang dibuat sendiri menggunakan barangan yang dijumpai di dalam pesawat. Pada hari ke 61, mereka mula mendaki. Dengan ketinggian beribu kaki, salji yang tebal, kesejukan yang terlampau dan tanpa pengalaman serta latihan mendaki gunung memang sangat menyukarkan pergerakan mereka.
Pergerakan yang perlahan, akhirnya mereka sampai di puncak. Namun apa yang mereka nampak? Adakah pokok dan rumput yang kehijaun seperti yang disangkakan? Jawapannya, tidak. Apa yang kelihatan hanyalah batu-batu yang keras. Nando adalah orang yang paling kecewa kerana apa yang diharapkan setelah seharian mendaki tidak kesampaian. Mereka terpaksa bermalam di puncak gunung dengan keadaan yang sejuk sementara meneruskan perjalanan pada esok hari. Seperti biasa, melangkah dan terus melangkah, pendakian demi pendakian, sehingga tiga hari pendakian hanyalah menyedihkan, mengecewakan dan menyakitkan.
Tiada pokok, tiada rumput, tiada tanah dan tiada sungai yang kelihatan melainkan salji dan batu. Namun, pendakian diteruskan. Dan sekali lagi mengecewakan. Apa yang kelihatan di seberang sana hanyalah gunung yang bersalji. Nando merasakan seolah dia telah mati kerana apa yang diusahakan langsung tidak membuahkan hasil. Dia berkata kepada Roberto: Look, there is no way we can go back, the only way is forward, we will die. Dan Roberto berkata kepada Nando: Okay, we have done so many things together, lets do one more, lets die together.
Namun, sebelum itu, mereka perlu meneruskan pendakian. Dalam kata lain, berusaha hingga ke nafas terakhir. Nando menyuruh Antonio balik semula ke tempat rakan-rakan yang lain untuk keselamatannya kerana mereka tidak tahu apa yang bakal terjadi seterusnya. Oleh itu, Nando mengambil keputusan untuk mendaki bersama Roberto sahaja. Kemudian, perjalanan diteruskan. Mereka turun dan mendaki semula gunung yang lain. Mendaki dan mendaki, berjalan dan terus berjalan tanpa makan. Setelah 10 hari perjalanan, bersamaan dengan hari yang ke 70, akhirnya, apa yang diharapkan tercapai!! Kelihatan sempadan yang memisahkan antara salji dan tanah, rumput yang menghijau, sungai dan di seberangnya kelihatan haiwan ternakan iaitu lembu.
Mereka terus berlari ke arah sungai, meminum dan menghirup air sungai dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan, gembira, sedih dan bersyukur walaupun tidak tahu dimanakah sebenarnya mereka berada. . Melihat kepada lembu yang sedang meragut rumput di seberang sungai, pastinya ada manusia yang hidup di kawasan itu. Namun, mereka tidak dapat menyeberangi sungai tersebut kerana ianya agak besar dan air yang deras. Mereka hanya dapat menunggu sekiranya ada manusia yang melalui kawasan itu sehinggalah waktu malam dan mereka tertidur.
Pada keesokan paginya, hari ke 71, apabila Nando terjaga dari tidur, dia melihat ada kelibat manusia di seberang sungai. Seorang lelaki yang berkuda sedang memerhatikan mereka. Nando mengejutkan Roberto dan berusaha untuk memanggil dan bercakap dengan lelaki itu. Namun tidak berjaya kerana jarak yang agak jauh dan bunyi deruan sungai yang kuat. Berkali-kali mencuba namun gagal. Akhirnya lelaki itu berlalu tanpa sebarang komunikasi antara mereka. Mungkin ia takut atau tidak percaya akan kehadiran Nando dan Roberto dari gunung Andes. Perkara tersebut sekali lagi membuatkan Nando dan Roberto kecewa.
Mereka hanya mampu menenangkan hati sendiri dengan berkata: Look, we are near cilivization, maybe tomorrow we will get help. Mereka terpaksa bermalam di tepian sungai dengan penuh harapan bahawa mereka akan diselamatkan pada esok hari. Seterusnya, pada hari yang ke 72, jam 5.30 6.00 pagi, lelaki itu muncul kembali. Nando bangun dan melihat ke arahnya. Lelaki itu mengikat kertas dan pensel pada sebiji batu dan membalingkannya kepada Nando. Nando terus mendapatkannya dan menulis apa yang berlaku kepada mereka. Setelah selesai, dia membalingkannya ke seberang sungai.
Lelaki itu membaca dan menunjukkan isyarat supaya Nando menunggu disitu sementara dia mendapatkan bantuan di samping memberikan roti kepada Nando sebagai alas perut. Tidak lama kemudian, kelihatan beberapa orang datang dan memberikan bantuan kepada Nando dan Roberto. Mereka berasa seolah mati hidup kembali. Perasaan yang berbelah bagi. Moment yang sangat berharga. Nando memberitahu terdapat 14 orang lagi rakannya yang berada di tempat kejadian dan mereka kemudiannya diselamatkan dengan jayanya. The end.
Sedih kan? Mereka dihuni dengan pelbagai emosi pada ketika itu. Sedih. Takut. Kecewa. 72 hari bukanlah suatu tempoh yang sebentar. Setiap hari bangun dan menanti dengan penuh harapan. Tapi keadaan tetap sama. Akibat dari ketakutan yang dialami, tiada makanan, terpaksa menyaksikan satu demi satu kematian membuatkan jiwa, minda dan mental mereka menjadi kuat untuk keluar daripada situasi itu. Nando dan Roberto sebagai individu yang paling berjasa. Dari mana datangnya kekuatan jika bukan dari minda dan human spirit. ya!
Tragedi ini menunjukkan bahawa manusia boleh dan mampu untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan apabila berada dalam keadaan terdesak. Minda kita akan ligat berfikir untuk mencari jalan keluar. Apa yang menguatkan dan boleh push seseorang manusia adalah mindanya. Sebab kita akan fikir perkara yang menakutkan apabila berada dalam keadaan yang getir. Dan tragedi di Andes ini juga memberi inspirasi kepada kita semua bahawa pentingnya kerjasama, tolong-menolong, persefahaman dan pengorbanan ketika di waktu susah. Jangan pentingkan diri dan jangan pula ada yang mengambil kesempatan di atas kesusahan bersama.
Tidak lupa juga kepada mangsa nahas pesawat dari Negara kita, MH370 dan MH17. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali. Al-Fatihah.
Itu sahaja. Betulkan jika terdapat kesalahan maklumat. Terima kasih.
Cik Noni
Sumber & Kredit: iiumc
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sbOdnS
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment