Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan : Acer Aspire VX 15 – Gaming Laptop Berkuasa Sederhana - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan : Acer Aspire VX 15 – Gaming Laptop Berkuasa Sederhana

Jika laptop Acer Predator 21X yang kami ulas bulan Mei lalu berada di luar jangkauan anda, jangan risau, kerana Acer juga ada sebuah gaming laptop yang lebih baik hati kepada akaun bank anda – Acer Aspire VX 15.

Laptop ini hadir buat pertama kalinya di acara Consumer Electronics Show di Las Vegas tahun ini, dan ia merupakan sebuah gaming laptop kelas pertengahan yang dikatakan cukup bagus untuk main permainan video seperti Overwatch, Counter-Strike: Source, DoTA, League of Legends dan sebagainya pada resolusi dan tetapan yang cukup tinggi.

Mari kita lihat jika apa yang Acer katakan ini ada kebenarannya.

Spesifikasi

Acer Aspire VX 15
Skrin 15.6″ Acer ColorBlast LCD 1920×1080 pixel
Pemproses Intel Core i7-7700HQ
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti
RAM 4GB DDR4
Muatan Dalaman HDD 1TB
Sistem Operasi Microsoft Windows 10
I/O USB 3.0 Type-A x3
USB 3.1 TYpe-C x1
Pembaca kad SD x1
Video HDMI 1.4
Lain-lain 2×2 802.11ac

Laptop Acer Aspire VX 15 ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD (1920×1080) dengan teknologi Acer ColorBlast HD yang membuatkan paparan ini tampil dengan warna-warna yang cukup terang dan berwarna-warni.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-7 Intel Core i7-7700HQ, bersama-sama memori DDR4 sebanyak 4GB dan storan cakera keras sebesar 1TB. Untuk memperkasakan bahagian grafik laptop ini, Acer memuatkan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti yang hadir dengan memori GDDR5 sebanyak 4GB, yang secara teorinya cukup bagus untuk memainkan kebanyakan permainan-permainan komputer yang terbaru pada resolusi 720p dengan tetapan yang tinggi.

Dari segi I/O pula, laptop Aspire VX 15 ini hadir dengan jumlah port yang cukup banyak. Ia mempunyai tiga port USB 3.0 Type-A, sebuah port USB 3.1 Type-C, sebuah port HDMI bersaiz besar, sebuah port RJ-45 Cat-5 untuk sambungan kabel ke Internet, dan juga sebuah pembaca kad SD.

Bagi mereka yang mementingkan kualiti bunyi, laptop ini menggunakan sistem pembesar suara Acer TrueHarmony, yang hadir dengan pensijilan Dolby Premium Audio. Tidak seperti laptop Acer Predator 21X, laptop Aspire VX 15 ini hanya hadir dengan sepasang pembesar suara yang diletakkan di bawah bahagian tempat letak tangan.

Rekabentuk

Rekabentuk laptop Acer Aspire VX 15 ini mempunyai banyak sudut-sudut yang tajam dan agresif. Cangkerangnya hadir dalam campuran besi dan plastik berwarna hitam dan jaluran berwarna merah.

Cangkerang bahagian papan kekunci dan komponen laptop ini diperbuat daripada besi, manakala penutup paparan pula menggunakan plastik yang agak tahan lasak dan tidak mudah lentur. Papan kekunci laptop ini juga mempunyai daya tekanan yang cukup selesa digunakan walaupun selama berjam-jam.

Jika anda jenis yang suka membuat kerja atau bermain permainan komputer dalam gelap, papan kekunci ini juga mempunyai lampu latar berwarna merah yang boleh dipasang dan dipadamkan. Sayang sekali lampu latar ini tidak boleh diubah keterangannya. Ia akan hadir sama ada dalam keadaan terbuka ataupun tertutup.

Ciri-Ciri

Laptop Acer Aspire VX 15 ini sebuah laptop yang ringkas dan mudah digunakan, jadi ia tidak mempunyai terlalu banyak gimik untuk diperkatakan. Walaupun begitu, ia tetap mempunyai beberapa ciri-ciri yang membuatkan pengalaman menggunakan laptop ini pengalaman yang cukup baik.

Pertama ialah penggunaan sistem penyejukan Dual Fan Cooling System yang akan menyejukkan komponen-komponen di dalam laptop ini daripada mengalami masalah overheating. Sewaktu kami rancak bermain permainan-permainan komputer dengan laptop ini, bunyi kipas daripada laptop ini akan kedengaran, tetapi ia tidaklah terlalu kuat, kerana bunyi daripada pembesar suara Acer TrueHarmony dapat menutupi bunyi bising kipas tersebut. Penggunaan fon kepala juga boleh membantu anda daripada mendengar bunyi bising tersebut.

Salah-satu masalah terbesar mengenai penggunaan laptop ialah penerimaan isyarat WiFi yang kurang memuaskan. Di sini, Acer memberi anda dua pilihan. Anda boleh menggunakan sambungan kabel melalui port RJ-45 Cat-5 yang terdapat di bahagian tepi laptop ini, ataupun jika anda menggunakan router yang mempunyai sokongan Mu-MIMO (Multiple-user, Multiple Input, Multiple Output), laptop Aspire VX 15 ini menyokong teknologi tersebut, dan melalui teknologi ini, bandwidth untuk laptop ini dapat diutamakan dengan lebih mudah, dan ini mengurangkan masalah sambungan yang perlahan, ataupun terputus sambungan ke Internet.

Bagi mereka yang selalu menggunakan laptop untuk tugas-tugas menyunting gambar ataupun video, kelajuan penghantaran data yang pantas adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Port-port USB 3.0 Type-A mempunyai kelajuan menghantar data setinggi 500-600MB/s, manakala port USB 3.1 Type-C pula mempunyai kadar penghantaran data setinggi 1GB/s.

Pengalaman Pengguna

Laptop Acer VX15 ini sebuah laptop gaming yang tidak hadir dengan begitu banyak ciri-ciri, dan pada pendapat kami, ini adalah sesuatu yang agak baik. Penggunaan CPU Intel Kaby Lake dan kad grafik NVIDIA GTX 1050 Ti bermakna beberapa permainan-permainan komputer terbaru boleh dimainkan dengan tetapan dan resolusi  paparan yang cukup tinggi, khususnya jika anda seorang yang gemar bermain game seperti League of Legends, DoTA 2 ataupun Doom, laptop ini tiada sebarang masalah memainkan tajuk-tajuk tersebut.

Dari segi penggunaan harian. kami tidak menghadapi sebarang masalah menggunakan laptop ini. Dari segi pelayaran web, menonton video resolusi tinggi (Full HD, 4K) dan sebagainya. Jika anda menggunakan laptop ini sebagai untuk kegunaan umum untuk aktiviti-aktiviti bekerja dan juga permainan komputer, laptop VX15 ini sebuah laptop yang cukup sesuai sekali untuk tugas-tugas tersebut.

Akan tetapi, satu kelemahan pada laptop VX15 ini ialah ia tidak mempunyai memori yang mencukupi untuk menjalankan tugas-tugas secara serentak. RAM sebanyak 4GB mungkin cukup untuk menggerakkan perisian secara bersendiri, tetapi katakan anda membuka pelayar web Chrome yang mempunyai 20 tab dan juga permainan video secara serentak, akan ada sedikit sela-masa apabila anda bertukar perisian melalui Alt+Tab.

Jangka-hayat bateri laptop ini juga boleh dikatakan agak bagus kerana dengan kegunaan biasa, ia mampu bertahan selama 5-6 jam dengan satu pengecasan penuh. Jangka-hayat bermain permainan video pula boleh dianggarkan berada di dalam lingkungan 2-3 jam, bergantung kepada permainan video yang dimainkan.

Papan kekunci laptop ini juga agak selesa digunakan, tidak kira anda sedang menaip ataupun bermain permainan komputer untuk masa yang lama. Ia juga hadir dengan lampu LED berwarna merah, yang menerangi kawasan papan kekunci apabila anda menggunakan laptop tersebut di dalam kegelapan.

Dari segi skrin pula, laptop Acer VX15 hadir dengan paparan IPS dengan resolusi Full HD (1920×1080) yang cukup terang. Ia juga mempunyai sudut pandangan yang lebar dan ini membolehkan anda berkongsi skrin dengan orang lain tanpa sebarang masalah.

Kesimpulan

Laptop Acer Aspire VX15 ini merupakan sebuah laptop yang cukup bagus untuk kegunaan kerja seharian dan juga untuk bermain permainan komputer secara santai. Dari segi pemprosesan komputer dan grafik, laptop ini hadir dengan spesifikasi yang terkini dengan CPU Intel Core i7-7700HQ dan NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti.

Sayang sekali, kekurangan seperti ketiadaan SSD dan memori DDR4 yang hanya bertakuk pada 4GB menahan balik laptop ini daripada menjadi sebuah laptop yang benar-benar berkuasa pada harga yang berpatutan.

Akan tetapi ini tidak menghalang laptop ini menjadi sebuah laptop yang cukup bagus untuk kegunaan seharian, tidak kira ia untuk kerja ataupun hiburan. Saiznya tidaklah begitu besar, dan ia masih boleh dibawa ke mana-mana bersama-sama dengan adapter kuasanya di dalam beg galas anda.

Jika anda berminat untuk membeli laptop ini, ia sudahpun hadir di pasaran tempatan dengan tanda harga RM 4399. Jika boleh, kami juga mengesyorkan anda cuba untuk menaiktarafkan jumlah RAM anda untuk mengambil kesempatan penuh kuasa komponen-komponen lain pada laptop ini.

Pro Kontra
  • Spesifikasi CPU dan GPU yang terbaru
  • Rekaan agresif
  • Paparan skrin yang terang
  • Papan kekunci yang selesa digunakan
  • Harga berpatutan
  • Jumlah RAM yang tidak mencukupi
  • Berat
  • Tiada SSD
  • Tiada sistem pencahayaan RGB



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tl7bat

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.