Bersyukur boleh, kata pesara kerajaan, tetapi dengan syarat
Rata-rata mereka yang hadir pada perhimpunan pesara kerajaan semalam berkata mereka bersedia menyokong pemerintah.
SERDANG: Pesara sektor yang hadir pada majlis dihadiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam rata-rata bersedia menyokong kerajaan seperti yang disarankan, tetapi mereka juga berharap kebajikan mereka lebih diambil perhatian.
Mohamad Ismail, 68, yang pernah bertugas di Jabatan Telekom Malaysia, berkata masalah utama pesara yang tidak berpuas hati adalah mengenai pencen yang diberi oleh kerajaan.
Ismail berkata ada rakannya menerima pencen serendah RM200 sebulan dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Kita kena kembali pada asasnya, mungkin ada permohonan yang diminta daripada perdana menteri telah ditolak.
“Bila kakitangan diswastakan, ada yang terima pencen RM200 jadi mereka jadi ‘beku’. Jadi golongan ini pendam rasa,” katanya yang merupakan antara 7,000 pesara dan bakal pesara kerajaan yang hadir di Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Serdang semalam.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri dalam ucapannya mengingatkan mereka supaya berterima kasih kepada kerajaan.
“Kebersamaan kita pada hari ini dan hari akan datang bagi pastikan berterima kasih kepada organisasi dan kerajaan Malaysia yang selama ini memberikan perlindungan dan terus bagi perlindungan kita selama ini.
“Insya Allah, kita takkan pernah menggigit tangan yang pernah memberi makan pada kita,” katanya.
Zahid berkata pesara tidak perlu melayani perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan kerana akan hanya menyebabkan hati diselubungi “rasa benci yang tiada noktah”.
Ismail berkata, tidak menjadi masalah menyokong kerajaan.
“Sokongan itu kalau fikir secara rasional, tidak ada apa. Sebab kita bukan orang politik,” katanya.
“Memang sokong sebab tangan yang memberi kenapa perlu kami sumpah. Itu rezeki dari Allah. Terimalah apa ada,” katanya.
Ibrahim Mustafa, 63, pesara Lembaga Pertubuhan Peladang, berkata dalam menyokong kerajaan, pesara juga perlulah mendapat balasan yang setimpal.
“Pesara ini kadang-kadang lihat orang yang bekerja (dalam sektor awam) terima pelbagai kemudahan. Setiap tahun pesara hanya dapat 3% atau 4% kenaikan pencen. Orang kerajaan dapat lebih.
“Pesara pun banyak tanggungan. Kita sokong kerajaan cuma kita minta kerajaan beri sama rata. Kerana pesara sudah tahu suasana politik dan pentadbiran. Di samping sokong kita nak balasan.
“Kita juga ada bangkitkan kemudahan seperti rawatan, pengangkutan dan perkhidmatan diberi kepada pesara,” katanya.
Pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Rosnah Yusof, pula berkata untuk pesara berpuas hati 100% pada kerajaan itu memang susah.
Tetapi, jika 70% peratus menyokong kerajaan juga sudah memadai dan selagi kerajaan menjaga kebajikan, pesara perlu menyokong kerajaan, katanya.
Beliau turut merungut mengenai kadar pencen.
“Kos sara hidup bertambah tinggi,” tambah Rosnah, 58.
FMT
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2wdoptQ
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment