PRU14: TAK MUNGKIN UNDI MELAYU BERALIH KE PEMBANGKANG
Ong Kian Ming dalam analisisnya tentang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyatakan akan berlaku 15 peratus peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti mana yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008.
Hujah beliau mudah: setiap kali parti Umno berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN.
Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27 peratus.
Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti dua pertiga apabila 6 peratus lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.
Pertanyaannya, bolehkah dicapai 15 peratus peralihan sokongan Melayu ini?
Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut? Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar.
Untuk analisis yang lebih tepat, kita perlu melihat senario tahun 1988-1990.
Situasi inilah yang perlu dijadikan sandaran untuk membuat analisis perubahan undi Melayu kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula di sini.
Pada tahun 1988, Umno berpecah setelah Dr Mahathir (Mohamad) dan Tengku Razaleigh (Hamzah) bertanding merebut jawatan Presiden Umno.
Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah keluar daripada Umno dan menubuhkan parti Semangat 46 (S46).
Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, (Parti Hizbul Muslimin Malaysia) HAMIM, DAP dan (Parti Bersatu Sabah) PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut? Jawapannya tidak.
Kemerosotan pengundi Melayu hanya 2.4 peratus berbanding PRU 1986.
S46 pula hanya memenangi lapan kerusi parlimen daripada 61 kerusi yang ditandinginya.
Bagi peringkat DUN pula, S46 hanya memenangi 19 kerusi daripada 152 kerusi yang ditandingi.
Situasi tersebut sama seperti hari ini yang mana Umno mengalami perpecahan dengan melahirkan BERSATU.
Sukar berlaku peralihan
Maka, bagaimana dengan PRU ke-14 nanti?
Jika melihat kepada realiti sekarang, sukar untuk berlaku peralihan undi Melayu lagi.
Dalam PRU 1999, senario berlakunya peralihan undi Melayu ketika itu adalah berbeza dengan situasi sekarang.
Tahun 1999, negara baru diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam.
PRU ke-14 isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan.
Analisis saya sebelum ini telah menggariskan lima faktor kenapa anak muda akan menyokong BN dalam PRU ke-14 nanti.
Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah “Umno berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang,” itu adalah generalisasi.
(Pilihan Raya Kecil) PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah membuktikan walaupun Umno berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.
Tambahan pula, parti pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti (Parti Amanah Negara) AMANAH yang lahir hasil perpecahannya dengan PAS.
BERSATU dan AMANAH juga adalah parti baru yang masih tidak mendapat sokongan meluas.
Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera.
Maka, kenyataan bahawa akan berlaku perubahan 10-15 peratus undi Melayu kepada pembangkang dalam PRU ke-14 adalah jauh tersasar.
DATUK SERI SALLEH SAID KERUAK merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia serta anggota Majlis Tertinggi Umno.
– M’kini
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2w8KjOf
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment