Membina Masa Depan Pelarian Rohingya
SEJAK tahun 2000, isu Rohingya mula mengisi laman media massa tempatan. Ketika itu masyarakat belum tahu, mengapa negara ini dibanjiri pendatang Myanmar. Mereka muncul di Kuala Lumpur dan menjadi pengemis, atau pemungut tin dan botol plastik.
Sejumlah kecil pula, mula menjadi peniaga sisa sayur di Pasar Borong, Selayang. Namun, imej khas pelarian Rohingya ialah, wajah anak-anak kecil yang mengemis di jalanan, pasar malam atau warung-warung makan.
Walaupun berada di negara ini dengan Kad Suruhan Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), puluhan ribu pelarian Rohingya tidak mendapat hak perumahan, pendidikan, perubatan, makanan, pakaian dan keselamatan secara khas seperti diperuntukkan Konvensyen 1951 atau Protokol 1967 Bagi Pelarian kerana Malaysia tidak menandatangani perjanjian tersebut.
Namun, hingga kini 60 ribu pelarian Rohingya mengikut data UNHCR berada di Malaysia. Angka sebenar pasti melangkaui 100 ribu. Manakala PBB pada Julai lalu, mengesahkan terdapat 500 ribu pelarian Rohingya di kem-kem sempadan Banglades, terutama di Sittwe dan Cox’s Bazar.
Ihsan dan sikap terdidik masyarakat Malaysia dalam meladeni pelarian antara faktor, Kuala Lumpur jadi pilihan utama. Selain meraih simpati melalui hasil mengemis, anak-anak pelarian kini berpeluang mendapat akses pendidikan dengan terdirinya sekolah-sekolah khas buat mereka. Ia dibiayai dana awam hasil peranan NGO.
Mereka tidak akan pulang ke Myanmar. Percayalah. Nasib pelarian Rohingya berbeza dengan nasib pelarian Vietnam. Pada era perang Vietnam tahun 70-an, ribuan pelarian muncul menaiki bot dan melabuh di Pantai Timur. Justeru, kerajaan Malaysia menyediakan Pulau Bidong sebagai destinasi sementara.
Ribuan pelarian Vietnam kemudian diterima negara ketiga terutama AS dan Austalia. Satu dasar berbeza, kerana Barat terbabit secara dalam Perang Vietnam. Malaysia hanya persinggahan sebagai Negara Kedua, sebelum pelarian Vietnam berpindah ke Negara Ketiga.
Pulau Bidong dibuka pada 1976 dan ditutup pada 1991. Ia tanda berakhirnya era kemelut perang Indo-China dan tamatnya isu pelarian Perang Vietnam. Malaysia menjadi matang kerana sikap ihsannya dalam menerima pelarian asing walaupun bukan negara anggota UNHCR.
Kini apa akan jadi pada 100 ribu pelarian Rohingya? Apa yang pasti mereka tidak akan berpeluang pulang kerana dasar penghapusan etnik Myanmar memang mahukan mereka menjadi pelarian. Manakala, tiada dasar atau inisiatif negara Barat untuk menerima mereka sebagai pendatang suaka politik.
Cuma di Arab Saudi, kini ribuan warga Rohingya diterima bekerja sebagai pelayan dan pencuci. Satu perkembangan yang mengilhamkan model kerjasama kemanusiaan di kalangan negara Islam. Konsep ummah boleh dibincangkan dalam model ekonomi di OIC.
Negara Islam yang maju seperti Turki, Qatar, Bahrain, UAE dan Oman boleh menyumbang sebagai Negara Ketiga OIC, menyertai program usaha kemanusiaan model Arab Saudi.
Malaysia hanya perlu melobi. Termasuk berusaha menyediakan sistem latihan asas kepada pelarian Rohingya bagi kemahiran sebagai pelayan atau pencuci sebelum dihantar ke Negara Ketiga OIC.
Ini Fardhu Kifayah. Kita tidak boleh membiarkan kepapaan ekonomi dan kemiskinan ilmu membelenggu bangsa Rohingya. Kita tahu, pintu jalan pulang ke Myanmar masih tertutup. Kalau pulang sekarang ertinya dibunuh.
Justeru, selain usaha diplomatik bagi mendesak Kerajaan Myanmar melayani mereka dengan adil, usaha membantu ekonomi dan pendidikan mangsa perang etnik ini wajar dilakukan.
Projek penempatan tenaga kerja adalah proses paling efisyen. Mereka tidak boleh dibiarkan menjadi pengemis seumur hidup.
Malah, anak-anak mereka juga tidak wajar dibiarkan meneruskan kehidupan sebagai tanpa pendidikan kemahiran. – MYNEWSHUB.CC
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2f4YPAR
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment