Sekolah Mimpi Paling Power
Ramai yang bertanya kepada saya, kenapa tiba-tiba saja membuka sekolah kemahiran? Saya menjawab, sekolah ini adalah impian suami saya. Cerita mahu membuka Kelembai School ini bukan baru. Sudah ada dalam perancangan sejak 2005. Masa suami orang lain berangan mahu membeli naked bike BMW K1200R atau rumah agam elit, gila juga difikirkan mimpi mahu buat sekolah ini. Bertahun menunggu peluang membuka sekolah yang memerlukan simpanan, pelaburan dan perancangan jangka panjang. Untuk menjadikan sekolah ini diiktiraf, punya silibus yang dipantau oleh pihak berwajib serta ada sijil atau diploma yang terkawal; kami akhirnya membuat permohonan dan mendaftar dengan JPK (Jabatan Pembangunan Kemahiran) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Mengapa sekolah kemahiran? Terma pendidikan kemahiran itu sendiri bermaksud pendidikan yang menawarkan praktikal atau kemahiran ‘first hand’ kepada satu-satu bidang atau industri. Kemahiran seperti ini diperolehi sama ada pengalaman secara terus di dalam syarikat dalam bidang terbabit atau pun melalui sekolah kemahiran yang turut menawarkan latihan praktikal dengan jumlah jam yang telah ditetapkan oleh pihak JPK. Jumlah jam praktikal ini begitu banyak; mencecah ribuan jam bergantung kepada bidang pilihan dan tingkat pendidikan yang wajib direkodkan. Tidak ada sistem grading atau pointer. Cuma gagal atau lulus. Mengapa? Tiada penyisihan atau dinding ghaib bodoh-pandai. Semua pelajar harus melalui rutin praktikal yang sama sehingga semua mampu mencapai satu batu aras yang telah ditetapkan silibus. Juga peratusan untuk gagal sangat rendah melainkan pelajar membuat keputusan untuk berhenti.
Apakah perbezaan antara sekolah kemahiran dengan kolej konvensional? Sekolah kemahiran secara relatifnya lebih murah berbanding kolej-kolej swasta (kerana jangka masa belajar yang lebih pendek), menawarkan latihan praktikal yang fokus kepada bidang yang spesifik, program belajar yang lebih singkat dengan pengiktirafan diploma atau sijil. Dengan syarat minimum lulus PT3, lulus bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, anak-anak daripada umur enam belas tahun sudah boleh membuat pilihan untuk masuk terus ke sekolah kemahiran yang spesifik dengan bidang yang mereka ingini.
Kita semua tahu persepsi umum tentang produk sekolah kemahiran. Ia lebih akrab dengan pekerjaan kolar biru, tidak glamor dan terlalu rutin. Prejudis begini harus diruntuhkan tidak kira datang daripada ibu bapa atau anak-anak sendiri. Sekolah kemahiran memberi peluang besar kepada anak-anak yang tidak mampu meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau keciciran. Jika ini dapat difahami, kita dapat menyelesaikan begitu banyak masalah pendidikan dan kekurangan modal insan untuk memenuhi sektor ekonomi.
Tidaklah perlu bergaduh tentang peluang dengan pekerja asing dan pelarian untuk mengisi ruang kerja yang sebenarnya begitu banyak terbentang. Daripada daftar NOSS (National Occupational Skills Standard) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran; kita mempunyai sekurangnya 30 sektor yang sudah lengkap silibusnya daripada teknologi maklumat dan komunikasi, perubatan dan farmaseutikal, pertanian dan asas tani, bioteknologi, pembinaan, hospitaliti dan pelancongan, minyak dan gas, pemesinan serta banyak lagi. Siapa lagi yang perlu mengisi semua ini?
Mahu tahu kelebihan lepasan pelajar kemahiran? Dikhabarkan oleh Kementerian Sumber dan Manusia, seramai 132,022 orang lepasan ijazah ke atas tamat belajar daripada pusat pengajian tinggi pada 2017 sedangkan cuma 9914 pelajar kemahiran (teknikal dan bukan teknikal) untuk memenuhi kerja semua sektor di Malaysia dengan hanya kekosongan kerja sebanyak 82,064. Ya. inilah angka yang merungsingkan pada waktu ekonomi yang begitu merundum. Percayalah, jika tuan puan pergi ke sekolah-sekolah kemahiran pada hari ini, anda dapat melihat sendiri anak-anak yang menduduki semester akhir telah ‘ditempah’ oleh syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor. Tailored program oleh sekolah kemahiran memberikan anak-anak peluang kepada permintaan karier yang jauh lebih besar. Anak-anak daripada lepasan PT3 dan mengikuti program selama tiga tahun akan mendapat diploma pada umur 18 tahun. Tiada masalah untuk memohon pelajaran ke peringkat lebih tinggi, menyambung sarjana ke universiti. Dunia karier juga pendidikan begitu luas buat mereka.
Pada hari ini, Kelembai School (pusat bertauliah LO 2615) setakat ini akan menawarkan kursus artis multimedia-animator (Kod kursus IT-040-2). Jauh lagi perjalanan, tetapi kami mahu memberikan khidmat terbaik. Sebagai ‘niche’, sekolah kemahiran ini mempunyai kelebihan. Untuk pelaburan jangka panjang, Kelembai School menyediakan studio motion capture. Motion capture (rujuk gambar) untuk mereka yang masih asing dengan terma ini, digunakan untuk merakam pergerakan dan digantikan dengan karakter di dalam animasi. Di Hollywood, teknologi motion capture digunakan begitu meluas termasuk di dalam filem mega seperti Lord of The Rings, rangkaian Planet Of The Apes, Final Fantasy dan The Adventures of Tintin. Di Malaysia, motion capture telah membantu mempercepatkan proses produksi dan pembikinan filem Bola Kampung dan banyak siri tv animasi.
Studio motion capture.Selain itu dengan kerjasama Kolej Komuniti Selayang, kami akan menawarkan kursus-kursus pendek untuk professional dalam bidang penerbitan animasi, tv dan filem daripada pra-produksi (penyelidikan, penulisan skrip, konsep seni, papan cerita) hinggalah proses akhir pos produksi (kesan khas, color grading, suntingan). Termasuk juga kursus-kursus khas seperti penggunaan motion capture untuk tenaga pengajar kolej lain dan 3D printing.
Segala perincian kursus-kursus akan diumumkan di dalam pos lain. Semoga mimpi besar kami disambut indah oleh mereka yang mencari kelainan di dalam pendidikan. Saya kira, ramai sudah maklum bahawa Kelembai School diterajui oleh pengetua cilik Aina Wafi Abdul Kadir.
Terima kasih.
PPD Kelembai School Of 3Dimensional Art
Raiha Bahaudin
Sumber Sekolah Mimpi Paling Power
✍ Sumber Pautan : ☕ Macam Macam hal laaaa... Anda patut tahu!!!
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2joju4r
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment