Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan Huawei Mate 20 Pro – Raja Inovasi Kamera Telefon Pintar 2018 - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan Huawei Mate 20 Pro – Raja Inovasi Kamera Telefon Pintar 2018

Tahun 2018 ialah tahun yang cukup menarik di dalam dunia telefon pintar. Pelbagai inovasi diperkenalkan pada platform Android dan iOS terutamanya dalam pengenalan sistem kamera yang semakin baik. Huawei Mate 20 Pro adalah peranti yang unik di pasaran kerana dilengkapi sistem tri-kamera yang unik. Lensa biasa dipadankan dengan lensa zoom optikal dan juga lensa ultra sudut lebar. Ini bukanlah sistem baharu tetapi sistem yang sama yang diperkenalkan oleh LG sebelum ini tidak mendapat sambutan.

Dari tajuk anda mungkin boleh mengagak Mate 20 Pro adalah peranti dengan kamera terbaik 2018. Ini boleh kami katakan dari awal. Tetapi bagaimana pula dengan sistem lain pada peranti ini? Adakah kamera Mate 20 Pro yang terbaik di dalam kelasnya memadai untuk membuatkan anda membelinya sekarang? Ini ialah ulasan lengkap kami mengenai Huawei Mate 20 Pro.

Spesifikasi

Huawei Mate 20 Pro
Skrin 6.39″ QHD+ OLED HDR (538 PPI)
Pemproses HiSilicon Kirin 980
Cip 2.6 X 2 GHz Cortex A76
1.92 X 2 GHz Cortex A76
1.8 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP10
RAM 6 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 128 Gigabyte UFS
(NM Card sehingga 512GB)
Kamera Utama 40+20+8 Megapixel.
f/1.9+f/2.2+f/2.4, OIS, HDR
Kamera Depan 24-Megapixel f/2.0
Bateri 4200 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Wajah 3D, Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan RM 3599

Skrin peranti adalah sebesar 6.39″ dari keluarga OLED dengan resolusi QHD+. Ini adalah peningkatan saiz berbanding 6″ pada Mate 10 Pro tahun lalu. Perbezaan lain ialah panel peranti ini melengkung pada kedua-dua sisi seperti yang boleh ditemui pada peranti Samsung Galaxy S9. Dengan rekaan melengkung ini, peranti kelihatan lebih premium dan amat selesa di dalam genggaman tangan.

Selain skrin lebih besar, takuk pada bahagian atas skrin juga jauh lebih besar jika dibandingkan dengan yang ditemui pada P20 Pro. Ini adalah kerana sistem imbasan wajah tiga dimensi akhirnya disokong. Takuk yang besar mengandungi bukan sahaja kamera hadapan tetapi komponen pemancar titik infra merah dan kamera tiga dimensi. Bagi yang membenci takuk, ia boleh disorokkan menerusi skrin tetapan.

Seperkara lagi pada skrin kini terdapat pengimbas cap jari terbina. Pengimbas ini bukan sahaja mengimbas jari tetapi mampu mengesan 10 tahap tekanan. Sistem pengimbas cap jari optikal digunakan pada peranti ini. Dalam penggunaan harian kami menyedari ia tiada masalah mengimbas apabila jari adalah bersih. Imbasan sukar dilakukan apabila jari sedikit basah dan kotor. Ini adalah kekurangan sistem imbasan optikal yang menyebabkan pengimbas ultrasonik dibangunkan oleh syarikat seperti Qualcomm.

Akhir sekali skrin peranti ini menyokong paparan warna – DCI-P3 dan HDR10. Kami merasakan paparan warna pada skrin Mate 20 Pro adalah lebih semula jadi jika dibandingkan dengan skrin iPhone XS Max dan Note 9. Pada iPhone XS Max paparan adalah sedikit kuning (dengan Truetone diaktifkan) dan tidak terlalu diproses jika dibandingkan dengan Note 9. Sungguhpun begitu ia mempunyai saku kekurangan kerana menunjukkan colour banding apabila menonton kandungan HDR. Akibatnya apabila memaparkan langit misalnya warna tidak sekata.

Pemproses terkini HiSilicon Kirin 980 dipadankan dengan memori sebesar 6GB RAM dan storan 128GB. Ini ialah satu-satunya model yang ditawarkan di Malaysia buat masa ini. Tiada perancangan membawa model dengan 8GB/256GB ke pasaran Malaysia. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan NM Card. Ini ialah format baru storan yang dibangunkan oleh Huawei yang mempunyai rekaan seakan sebuah SIM nano.

Bercakap mengenai kamera pula, tri-kamera utama kini menggabungkan sensor 40+20+8 Megapixel. Sensor 40-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.8. Sensor 20-Megapixel pula dengan lensa ultra sudut lebar f/2.2 dan akhir sekali sensor 8-Megapixel untuk zoom optikal sehingga 3X. Dengan menggunakan perisian, zoom hibrid nirhilang sehingga 5X boleh dilakukan. Masih terdapat zoom digital sehingga 10X bagi yang memerlukannya.

Menurut Huawei tiada lagi keperluan untuk sensor monokrom pada Mate 20 Pro kerana kerjasama dengan Leica serta cip NPU pada Kirin 980 mampu mengambil alih tugas sensor monokrom. Ini ialah hala tuju baru Huawei dan Leica dalam penghasilan kamera pada peranti pintar keluaran mereka.

Kamera hadapan pula adalah sebesar 24-Megapixel f/2.0. Kamera hadapan ini digunakan untuk sistem imbasan wajah 3D. Ini menjadikan Mate 20 Pro antara sebilangan kecil peranti yang menyokong fungsi ini. Pada waktu yang sama kamera 3D di hadapan ini menyokong sistem imbasan objek yang kemudiannya boleh diakses sebagai model realiti maya dalam aplikasi kamera.

Sebuah bateri sebesar 4200 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan ultra pantas SuperCharge pada tetapan kuasa 40W. Dengan pengecas ini, bateri boleh dicas sehingga 70% dalam masa 30 minit sahaja menerusi USB-C. Tambahan lagi ia turut menyokong pengecasan nirwayar pantas Qi pada kadar kuasa 15W. Ini adalah dua kali ganda lebih berkuasa berbanding yang disokong pada Galax Note 9 dan iPhone XS.

Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68. Sebagai sebuah peranti mercu, Mate 20 Pro mempunyai spesifikasi yang amat lengkap bagi memenuhi kesemua keperluan pengguna moden.

Rekabentuk

Dengan Mate 20 Pro, rekaan peranti kini lebih bulat dan ergonomik. Kami katakan begini kerana pengguna dwi-lengkung pada skrin hadapan dan panel belakang. Ini membuatkan Mate 20 Pro amat selesa di dalam genggaman tangan. Namun seperti yang anda boleh lihat sendiri dari segi estetik ia kelihatan seperti sebuah peranti keluaran Samsung.

Panel hadapan mempunyai nisbah skrin kepada tubuh yang besar. Bezel pada sisi, dahi dan dagu adalah nipis berbanding yang ditemui pada peranti Huawei sebelum ini. Tetapi ia masih lagi lebih tebah jika dibandingkan dengan bezel yang ditemui pada sebuah iPhone X.

Panel belakang didominasi oleh kamera yang disusun dalam bentuk empat segi. Tiga kamera dan flash disusun pada paksi tengah peranti yang memberikannya rekaan yang simetri. Secara peribadi kami amat menggemari rekaan seperti ini berbanding meletakkan kamera pada bahagian bucu kerana ia kelihatan lebih kemas dan simetri. Penggunaan panel kaca pada bahagian belakang kini sudah menjadi kebiasaan pada peranti pintar. Di dalam kes Mate 20 Pro, ini adalah bagi membolehkan ia dicas secara nirwayar dan sistem NFC.

Ia turut membolehkan Mate 20 Pro mengecas peranti lain yang menyokong pengecasan nirwayar. Peranti keluarga Mate sejak dahulu mempunyai kemampuan menjadi sebuah powerbank dengan sambungan berwayar. Tetapi kini pada Mate 2 Pro, kemampuan ini dipertingkatkan untuk mengecas secara nirwayar pula. Ia mungkin sebuah gimik jualan yang tidak akan digunakan dengan kerap tetap ia masih sebuah inovasi yang menarik. Kami merasakan ia sebenarnya mensasarkan fon telinga nirwayar Huawei yang tertiris sebelum ini.

Fakta menarik ialah Mate 2o Pro boleh mengecas peranti lain ketika ia sendiri sedang dicas secara berwayar. Kami telah mencubanya sendiri. Ini mengurangkan keperluan satu pengecas yang perlu disambung ke dinding. Seperkara lagi pengecasan nirwayar ini hanya berlaku apabila panel belakang bersentuh. Meletakkan peranti lain pada skrin hadapan tidak akan mengaktifkan pengecasan nirwayar.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Binaannya kukuh dengan timbal balas yang baik. Ia tidak terasa terlalu lembut atau terlalu keras. Butang kuasa diwarnakan merah bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna. Pada bahagian atas terdapat pemancar infra merah. Mate 20 Pro adalah sebahagian kecil peranti mercu yang masih memberikan sokongan infra merah bagi membolehkan peranti digunakan sebagai alat kawalan jauh. Tiada sebarang butang pada sisi kanan. Talam SIM pula terletak pada bahagian bawah bersebelahan port pengecasan USB-C.

Dimanakah pembesar suara? Pada Mate 20 Pro ia kini terbina di alam port pengecasan USB-C. Ini kali pertama kami lihat pada sebuah peranti. Pembesar suara ini menyokong audio stereo dan dipadankan dengan gagang telinga yang terletak pada takuk skrin. Ini memberikan rekaan bawah peranti yang kemas kerana tiada lohong untuk kekisi audio. Kualiti audio masih lagi baik tetapi tidak selantang seperti pada HTC U12+ dan Galaxy Note 9 walaupun mempunyai sokongan Dolby ATMOS.

Peranti tidak mempunyai bicu audio tetapi ini sudah dilakukan sejak P20 Pro lagi. Kami secara peribadi telah berubah kepada dunia nirwayar sejak dua tahun yang lalu maka ketiadaan bicu audio tidak dirasai. Berita baik di sin ialah sebuah penyesuai USB-C kepada bicu audio disertakan dengan setiap pembelian Mate 20 Pro. Huawei tidak lokek memberikan penyesuai tidak seperti Apple.

Huawei Mate 20 Pro ialah peranti yang mempunyai rekaan premium dan selesa dipegang. Tetapi kerana penggunaan panel kaca yang besar, ia bukan sahaja memerangkap kotoran tetapi turut terdedah kepada bahaya pecah jika terjatuh. Sebuah kerangka lutsinar diberikan dengan setiap pembelian bagi memberikan lapisan pertahanan kepada peranti sementara pengguna membeli kerangka tahan lasak keluaran pihak ketiga.

Antaramuka

Mate 20 Pro adalah antara peranti terawal menggunakan Android Pie. Ini memberikannya beberapa fungsi baharu serta pelancar EMUI 9.0. Antaramuka Huawei ini membenarkan paparan aplikasi kesemuanya pada muka hadapan ataupun pilihan menggunakan talam aplikasi. Pilihan ini diberikan oleh Huawei sejak beberapa versi EMUI terdahulu.

Peranti berfungsi dengan lancar dan pantas. Ini tidak mengejutkan kerana perisian dipadankan dengan spesifikasi yang tinggi. Apa yang kami rasakan sedikit mengecewakan ialah sistem navigasi berasaskan gesture Android Pie tidak disokong, Sebaliknya sistem gesture rekaan Huawei digunakan. Ia tidak semudah yang boleh ditemui pada peranti Pixel.

Pengurusan memori juga adalah sedikit aneh. Apabila kali kami menekan butang menutup kesemua aplikasi untuk menjimatkan RAM, aplikasi tidak ditutup. Kerap kali dua atau tiga aplikasi akan kekal terbuka apabila butang multi-tugas ditekan. Pepijat ini tidak membuatkan masalah prestasi pada peranti cuma adalah kecelaan pada sistem yang sepatutnya tidak ditemui pada sebuah peranti premium.

Peranti juga tidak menyokong tatalan ke atas untuk membuka talam aplikasi apabila paparan talam diaktifkan. Sebaliknya pengguna masih perlu menekan butang talam aplikasi. Sebagai pengguna beberapa peranti Android lain di pasaran yang menyokong fungsi ini (walaupun masih menggunakan Oreo), ketiadaannya membuatkan penggunaan peranti sedikit canggung.

Kami ingin menyentuh tentang sistem imbasan wajah 3D yang digunakan. Ia berfungsi dengan baik walaupun di dalam situasi cahaya yang amat terang dan kegelapan malam. Tetapi ia masih tidak setanding sistem Face ID Apple. Kami katakan begini kerana apabila hanya menukar cermin mata, sistem terus gagal mengenali kami. Perkara yang sama berlaku apabila kami mencukur misai. Pada Face ID ini tidak berlaku sama sekali.

Sedikit mengecewakan sistem imbasan wajah masih tidak boleh digunakan secara menyeluruh sebagai ganti kata laluan pelbagai aplikasi dan laman. Aplikasi CIMB Clicks sebagai contoh tidak menyokongnya. Bagi menjadikan sistem imbasan wajah Mate 20 Pro betul-betul berbaloi, pihak Huawei harus memastikan ia diintegrasikan secara menyeluruh pada sistem dan tidak terhad kepada hanya menjadi sistem nyahkunci skrin peranti.

Jadi kelemahan paling ketara Mate 20 Pro setakat ini terletak pada EMUI 9. Ia peranti Android Pie yang tidak mempunyai fungsi menarik dari Android Pie sepenuhnya. Google telahpun mengesahkan navigasi berasaskan gesture ialah masa depan Android. Melihat pengeluar peranti Android kedua terbesar tidak menyokongnya dengan baik adalah merisaukan.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disokong Mate 20 Pro menerusi EMUI 9.

App Twin – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Easy Projection Nirwayar – Mod desktop Easy Projection kini menyokong paparan kepada skrin secara nirwayar.

File Safe/App Lock – Megunci aplikasi dan fail tertentu dari diakses kecuali selepas identiti pengguna disahkan.

Imbasan Objek 3D – Kamera hadapan peranti boleh melakukan imbasan objek secara tiga dimensi yang selama ini hanya ditawarkan peranti Sony.

Melancarkan kamera dengan pantas – Selain menekan butang pengatup kamera. Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Mengira Kalori – Kecerdasan buatan dari aplikasi kamera mengira jumlah kalori berdasarkan makanan yang dilihat.

Notch – Takuk boleh disorokkan jika tidak diminati pengguna.

Nyakunci Wajah 3D – Seperti Mi 8 Explorer Edition dan iPhone XS, Mate 2o Pro menyokong sistem nyahkunci wajah secara tiga dimensi.

One Handed UI – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar pada kuasa 15W dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar sekiranya perlu. Mate 20 Pro peranti pertama dengan fungsi ini.

Simple Mode – Antaramuka yang dipermudahkan bagi mereka yang kurang mahir dengan peranti pintar.

System Navigation – Tiga pilihan navigasi iaitu tri-butang, gesture atau Navigation Dock.

Theme – Mengubah tema antaramuka yang mungkin lebih sebati dengan citarasa pengguna.

Kamera

Tri-kamera utama sebesar 40+20+8 Megapixel. f/1.9+f/2.2+f/2.4 disertakan dengan sokongan OIS. Sensor utama 40-Megapixel menggunakan lensa biasa, sensor kedua sebesar 20-Megapixel adalah untuk lensa sudut ultra lebar dan akhir sekali ialah sensor 8-Megapixel untuk zoom optikal sehingga 3X. Menerusi Mate 20 Pro, Huawei tida lagi menggunakan sensor monokrom yang digunakan sejak P10.

Menurut Huawei dan Leica, tiada lagi keperluan khusus untuk sensor monokrom kerana perisian pada peranti yang lebih baik berbanding sebelum ini. Sistem kecerdasan Master AI sekali lagi digunakan bagi memberikan tetapan terbaik kamera bergantung kepada situasi. Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 24-Megapixel f/2.0 digunakan untuk rakaman swafoto beresolusi tinggi.

Peranti hanya menangkap gambar dengan nisbah 4:3 pada tetapan 40 dan 10 Megapixel. Tiada pilihan untuk menangkap gambar pada nisbah 16:9 langsung. Sebaliknya nisbah aneh 18.8:9 pada tetapan 6-Megapixel.

Format rakaman video yang disokong pula hanya setakat 4K 30FPS. Ini adalah sedikit aneh memandangkan peranti mercu yang lain menyokong rakaman 4K 60FPS. Kekurangan ini sedikit terubat dengan format rakaman pada nisbah 21:9 yang menghasilkan video yang kelihatan lebih lebar serta sinematik. Sesuai dengan keperluan semasa, codec H265 dan H264 disokong.

Mod-mod kamera yang disertakan adalah Panorama, Time-Lapse, Time Lapse, Slo-Mo, Monochrome dan Portrait. Dalam mod Portrait, terdapat beberapa kesan khas yang boleh digunakan pada gambar. Secara keseluruhan aplikasi kamera Mate 20 Pro dipenuhi pelbagai fungsi tambahan yang menarik.

Kualiti Gambar

Huawei P20 Pro mempopularkan penggunaan tri-kamera awal tahun ini dan sudahpun menjadi ikutan Samsung. Pada peranti tersebut kombinasi sensor biasa, telefoto dan monokrom digunakan dengan kerjasama Leica. Mate 20 Pro mengambil langkah gabungan tri-kamera berbeza iaitu sensor lensa biasa, lensa ultra lebar dan telefoto.

Tiada lagi sensor monokrom digunakan kerana menurut Huawei serta Leica, ia tidak lagi diperlukan. Pada awalnya kami agak ragu-ragu dengan kenyataan mereka. Umum diketahui sensor monokrom digunakan sebelum ini untuk menghasilkan warna dan kontras yang cantik pada gambar peranti Huawei. Ia juga memberikan kualiti “ala Leica” yang cukup dikenali ramai.

Tambahan lagi sebelum ini LG memperkenalkan penggunaan lensa sudut lebar pada peranti mereka tetapi ia tidak mendapat sambutan. Adakah ini perjudian berani mati oleh Huawei? Jawapan yang kami boleh berikan ialah keraguan kami nyata tidak berasas.

Dari segi kualiti warna dan gambar, Mate 20 Pro menunjukkan peningkatan berbanding P20 Pro yang merajai senarai kamera terbaik peranti pintar sebelum ini. Secara peribadi kami merasakan kualiti gambar yang mampu diambil menggunakan Mate 20 Pro adalah yang terbaik di pasaran Malaysia sekarang.

Gambar sentiasa konsisten terang dengan keperincian yang tinggi. Tiada masalah dedahan berlebihan atau tona warna yang lebih panas dari realiti sebenar. Bagi seorang amatur seperti kami, Mate 20 Pro akan memastikan setiap gambar yang diambil akan kelihatan senonoh tanpa kami perlu menggunakan mod manual.

Sistem kecerdasan buatan Master AI memang memudahkan seorang noob seperti kami mengambil foto pada tetapan terbaik mengikut situasi. Apabila mengesan subjek adalah manusia, ia secara automatik mencadangkan mod bokeh. Apabila mengesan bangunan di depan mata, ia mencadangkan penggunaan lensa ultra-lebar bagi mengambil gambar yang lebih menyeluruh. Seperti P20 Pro, kemampuan rakaman pada waktu malamnya masih tidak dapat ditandingi. Gambar bukan sahaja lebih terang tetapi kelihatan lebih bermaya berbanding peranti mercu lain seperti iPhone XS Max dan Note 9.

Bagi majoriti pengguna, kemampuan kamera Mate 20 Pro adalah lebih dari memuaskan. Bagi pengguna profesional mereka mungkin mengatakan gambar yang diambil telah diproses dengan terlalu banyak sehingga tidak kelihatan realistik. Ini adalah benar tapi realitinya sekarang ialah majoriti pengguna tidak mempunyai masa untuk menyunting gambar di dalam Lightroom atau VSCO pada setiap gambar sebelum dimuat naik ke media sosial. Gambar yang telah dipra-proses oleh perisian Mate 20 Pro ini lebih dari memadai untuk perkongsian terus media sosial.

Kekuatan sebenar Mate 20 Pro ialah lensa ultra sudut lebar yang digunakan. Ia membuka dimensi baru fotografi pada peranti mudah alih. Secara peribadi kami amat kagum dengan kualiti dan kemampuan kamera lensa ultra sudut lebar yang disertakan. Gambar kelihatan lebih gah dan menakjubkan.

Audio

Terdapat sokongan audio stereo pada peranti ini dengan satu pembesar suara terletak pada gagang telinga dan sebuah lagi terbina di dalam port pengecasan USB-C. Ini dilakukan bagi memberikan rekaan yang bersih pada Mate 20 Pro. Pada tetapan tertinggi, audio yang dihasilkan adalah lantang dan jelas. Namun ia masih tidak selantang pembesar suara pada Galaxy Note 9 dan iPhone XS Max. Saiz lubang audio yang kecil menerusi port USB-C sedikit sebanyak mengurangkan kualiti audio.

Kami juga menyedari bunyi tidak seimbang di mana audio pembesar suara bahagian bawah adalah lebih kuat berbanding pada gagang telinga. Ini adalah masalah yang sering kami temui pada peranti yang tidak meletakkan kedua-dua pembesar suara pada bahagian hadapan.

Kualiti audio menerusi fon telinga yang disertakan adalah sekadar memuaskan. Ia bukan fon telinga terbaik yang pernah kami gunakan. Tetapi apabila Mate 20 Pro ditambat kepada sepasang fon kepala nirwayar yang baik, peranti mambu memberikan pengalaman audio yang baik. Bass berdentum kuat dengan treble yang nyaring.

Satu kekurangan paling nyata Mate 20 Pro ialah ia tidak menunjukkan tahap bateri aksesori bluetooth yang ditambat. Ia hanya memberikan peringatan apabila aksesori sudahpun di tahap kritikal. Ini adalah aneh sistem menunjukkan tahap bateri aksesori bluetooth disokong oleh sejak Android Oreo. Maka penggunaan aksesori audio bluetooth di Mate 20 Pro menjadi sedikit sukar kerana tiadanya petunjuk tahap bateri ini.

Penanda Aras

Ketika artikel ditulis, cip HiSilicon Kirin 980 ialah yang paling berkuasa digunakan pada peranti Android. Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan ia mencatatkan 3304 markah dalam ujian satu teras Geekbench dan 9867 markah dalam ujian multi-teras. Sementara itu dalam ujian Antutu 3D pula peranti mencatatkan 248,437 markah.

Markah ini masih di belakang markah tertinggi pernah dicatatkan di makmal Amanz oleh iPhone XS Max. Sebagai peringatan Apple A12 Fusion mencatatkan 4834 markah untuk ujian satu teras dan 11,430 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench. Dalam ujian Antutu pula ia mencatatkan 319,929 markah.

Dalam kegunaan harian peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang masalah sela masa. Gabungan pemproses berkuasa dan saiz RAM yang besar memastikan peranti ini tidak mempunyai masalah melancarkan lebih dari 10 aplikasi tanpa perlu melakukan proses segar semula. Melancarkan aplikasi juga pantas. Kesemua ini adalah tidak mengejutkan bagi sebuah peranti mercu Android di tahun 2018.

Bateri

Bateri 4200 mAh yang disertakan adalah besar bagi sebuah peranti Mercu. Sebagai perbandingan Galaxy Note 9 dengan saiz peranti yang setanding dilengkapi bateri sebesar 4000 mAh manakala iPhone XS Max pula hanya dilengkapi bateri sebesar 3174 mAh. Saiz bateri yang besar adalah penting kerana Mate 20 Pro dilengkapi skrin yang besar serta pemproses yang amat berkuasa.

Dalam kegunaan biasa peranti mampu bertahan selama 23.5 jam dengan skrin terpasang selama 8 jam. Pada penggunaan yang lebih berat, peranti bertahan selama 11.5 jam dengan skrin terpasang selama 6.5 jam. Ini pada hemat kami ialah hayat bateri yang baik bagi sebuah peranti mercu.

Sekiranya bateri tidak bertahan lama sekalipun, sistem pengecasan SuperCharge 40W disokong. Peranti boleh dicas sepenuhnya dalam masa hanya 70 minit yang merupakan antara masa pengecasan terpantas pernah kami lihat. Galaxy S9 dengan bateri sebesar 4000 mAh sebagai perbandingan memerlukan sekitar 90 minit untuk dicas sepenuhnya.

Ia turut menyokong pengecasan nirwayar Qi 15W dan mengecas semula peranti lain secara nirwayar sekiranya diperlukan. Dari segi kemampuan pengecasan, Mate 20 Pro adalah unik di pasaran kerana menyelesaikan masalah menanti waktu pengecasan bateri yang lama. Sekiranya anda inginkan sebuah peranti dengan ketahanan bateri yang baik dan pengecasan yang amat pantas, Mate 20 Pro ialah peranti yang memenuhi kedua-dua keperluan ini.

Pesaing

Terdapat banyak peranti mercu yang baik di pasaran. Tetapi pada hemat kami pesaing terhampir Mate 20 Pro ialah Samsung Galaxy Note 9 dan iPhone XS Max. Ketiga-tiga peranti mempunyai saiz skrin yang besar dan kemampuan kamera terbaik di dalam kelasnya.

Peranti Pesaing
Apple iPhone X Max Huawei Mate 20 Pro Samsung Galaxy Note 9
6.5″ AMOLED Super Retina Display, HDR  (458 PPI) 6.39″ AMOLED QHD+ HDR (538 PPI) 6.4″ SAMOLED QHD+HDR (516 PPI)
2+4 Teras Apple A12 Bionic 2.6 x 2 + 1.92 x 2 + 1.8 x 4 GHz Kirin 980 2.7 x 4 + 1.8 x 4 GHz Exynos 9810
Apple Mali-G76 MP10 Mali-G72 MP18
4 Gigabyte 6 Gigabyte 6 Gigabyte
64/256/512 Gigabyte 128 Gigabyte (NM Card sehingga 256GB) 128 Gigabyte (512GB MikroSD)
Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4, OIS, PDAF, Zoom Optikal Kamera Utama 40+20+8 Megapixel. f/1.8+f/2..2+f/2.4, OIS, PDAF, Zoom Optikal Kamera Utama 12+12 Megapixel, (f/1.5+f/2.4) + f./2.4, OIS, Dual Pixel
Kamera Hadapan 7 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 24 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/1.7
IP68 IP68 IP68
3174 mAh (18W)/Nirwayar 4200 mAh (SuperCharge 40W)/Nirwayar 4000 mAh (Adaptive Fast Charging)/Nirwayar
RM 5399- RM 7049 RM 3599 RM 3699

Kesimpulan

Dari segi rekaan Huawei Mate 20 Pro ialah peranti yang harus kami katakan tidak mempunyai rekaan klasik Huawei. Ia kelihatan terlalu hampir dengan rekaan Galaxy S9 kerana penggunaan skrin dwi-lengkung dan sebuah iPhone XS kerana penggunaan takuk yang besar. Dalam mengejar status sebagai pengeluar peranti terbesar di dunia, Huawei seakan hilang identiti rekaan mereka dan ini mengecewakan.

Sungguhpun begitu kualiti binaan peranti adalah baik. Ia amat selesa dipegang di dalam tangan kerana sisi yang dibulatkan serta panel belakang juga mempunyai rekaan dwi-lengkung. Ia masih lagi selesa dipegang walaupun dengan kerangka yang disertakan dengan setiap pembelian.

Peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang masalah ditemui sepanjang tempoh ulasan. Aplikasi dilancarkan pantas dan kerana saiz RAM yang besar sehingga 13 aplikasi boleh dilancarkan sebelum perlu menjalani proses segar semula. Dengan Android Pie, anda menggunakan sistem operasi terkini dengan pelancar EMUI 9 Huawei yang membawakan pelbagai fungsi unik yang tidak wujud pada Android asli.

Sungguhpun begitu kritikan harus diberikan kerana sistem navigasi Android Pie asli tidak disokong dan digantikan dengan sistem gesture Huawei yang tidak cukup mesra pengguna. Apabila melakukan tambatan bluetooth pula, tahap bateri aksesori audio yang ditambat tidak dipaparkan sedangkan ini sudah menjadi standard sejak Android 8.1. Aplikasi juga tidak ditutup kesemuanya apabila butang Close Apps ditekan. Pepijat-pepijat dan kekurangan ini sedikit sebanyak menghilangkan kilauan peranti yang mensasarkan menjadi terbaik di dalam kelasnya.

Kekuatan utama Mate 20 Pro ialah kemampuan kamera yang terbaik di dalam kelasnya. Anda sudah melihat sendiri kualiti gambar yang mampu dirakam jadi tidak perlu kami olah dengan lebih panjang di sini. Secara kesimpulan jika anda tidak gemar menggunakan mod manual atau kurang pintar dalam seni fotografi, sistem kecerdasan buatan Huawei dan aplikasi kamera Mate 20 Pro akan memastikan gambar yang diambil adalah sempurna hampir setiap masa.

Akhir sekali hayat bateri yang baik dipadankan pula dengan sistem pengecasan adi pantas menyelesaikan masalah turun temurun peranti mercu yang tidak bertahan lama.

Pendek kata Huawei Mate 20 Pro ialah telefon pintar terbaik untuk 2018 kerana pakejnya yang lengkap. Ia masih belum sempurna (tiada peranti yang sempurna lagi setakat ini) tetapi apa yang ditawarkan akan memenuhi keperluan 90% pengguna di luar sana. Dengan harga jualan RM3599 sebuah ia adakah peranti yang mampu milik untuk kesemua fungsi yang disertakan.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti Android paling berkuasa pada tahun 2018. Ia berfungsi dengan lancar dan pantas.
  • Skrin yang terang dan tajam. Menyokong paparan HDR.
  • Kemampuan kamera yang amat dengan lensa ultra sudut lebar yang memberikan dimensi fotografi baru pada peranti mudah alih.
  • Ketahanan bateri yang amat baik dipadankan pula dengan pengecasan yang amat pantas.
  • Peranti mercu dengan kesemua fungsi-fungsi utama 2018 yang dijual pada harga paling mampu milik.
  • Pengecasan nirwayar disokong dan boleh menyokong peranti lain secara nirwayar juga.
  • Sistem imbasan objek secara 3D yang disertakan tidak memuaskan serta sukar digunakan.
  • Sistem imbasan wajah juga tidak sepantas Face ID. Gagal mengenali wajah selepas menukar cermin mata dan mencukur misai.
  • Kualiti audio yang tidak setanding pesaing kerana kurang mantap.
  • Pepijat kecil yang membuatkan penggunaan tidak lancar sepenuhnya,
  • Sistem gesture Android Asli tidak disokong.



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2Eyea7m

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.