Empat suspek disyaki penyamun ditembak mati
KAJANG: Polis hari ini menembak mati empat daripada lima individu yang dipercayai terlibat dalam kes samun di Sungai Sekamat berhampiran Plaza Tol Sungai Long, Kajang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, kesemua mereka yang ditembak mati pada jam 6.15 pagi tadi, sebelum itu dikatakan cuba memecah masuk ke sebuah banglo di Taman Saujana Impian, Kajang pada jam 3.15 pagi.
“Suspek terdiri daripada lima individu cuba memecah masuk sebuah banglo milik seorang jurutera, namun tindakan mereka gagal selepas alat penggera rumah berkenaan berbunyi.
“Pemilik rumah itu yang terdengar penggera rumahnya berbunyi kemudian bertindak menghubungi polis dan sepasukan anggota D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digerakkan ke lokasi,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, pasukan polis kemudiannya berjaya mengesan semua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu di sekitar Sungai Sekamat.
Namun jelasnya, semua suspek berkenaan bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang yang memaksa beberapa das tembakan dilepaskan ke arah mereka sebagai langkah mempertahankan diri.
Katanya, tembakan itu menyebabkan empat daripada suspek terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi berjaya melepaskan diri dan dipercayai cedera ditembak.
Menurutnya, polis giat memburu suspek berkenaan dengan bantuan unit anjing pengesan K9.
Beliau turut meminta orang ramai dan klinik serta hospital supaya menghubungi pihak polis sekiranya ada individu cedera akibat tembakan mahu mendapatkan rawatan.
– BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1OYWz9q
Post a Comment