McDonalds’s janji beri kerjasama kes serangan seksual pelanggan
PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan kes serangan seksual ke atas seorang wanita oleh pekerja sambilan di cawangan restoran itu di Taman Mount Austin, Johor Bharu minggu lalu.
Restoran makanan segera terkemuka itu menerusi satu kenyataan berjanji akan memberi akses penuh kepada polis dari segi maklumat kakitangan terbabit serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran itu.
“Kami percaya kerjasama yang kukuh dapat membantu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan segera yang akan membawa kepada penangkapan suspek.
“Di McDonald’s, kami menjaga kebajikan dan keselamatan pelanggan kami dengan serius. Ia adalah hasrat kami untuk melihat pelaku jenayah itu dibawa ke muka pengadilan,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh dilaporkan sebagai berkata, suspek yang berusia hampir 30-an itu ditahan ketika bekerja di restoran makanan segera terbabit pada jam 10.35 malam kelmarin.
Menurutnya, kes itu hanya disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 354 akta sama (mencabul), kerana suspek gagal merogol mangsa dan ia tidak boleh menjadi satu kesalahan.
Kejadian itu berlaku pada jam 6.10 pagi 20 Mei lalu, apabila mangsa sedang membetulkan rambut di hadapan sinki luar tandas restoran makanan segera terbabit, sebelum didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba menggunakan tangannya untuk menutup mulut mangsa dan cuba mengheretnya ke dalam tandas OKU.
Menurut laporan China Press semalam, suspek didakwa memukul kepala wanita itu dan menghentak kepalanya ke dinding dalam cubaan untuk melemahkan mangsa.
Wanita itu sempat menyelamatkan diri, tetapi lebam di bahagian muka dan badan.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/248LgNy
Post a Comment