Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu kita bakar – Zahid
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru pemimpin lama dan baru saling menghormati dan bersama mencari titik persamaan demi kebaikan serta masa depan sesebuah organisasi itu.
“Kita harus gerak ke hadapan. Kalau tidak kerana yang lama mustahil ada yang baru. Oleh demikian apabila yang baru hormat lama dan yang lama hormat yang baru barulah okey.
“Marilah kita cari titik persamaan bukan mencari titik perbezaan di antara kita. Apabila titik perbezaan dicari maka yang akan sampai kepada kita adalah titik perbezaan.
“Apabila jurang perbezaan itu semakin besar, maka kita mungkin melupakan apa yang pernah kita lontarkan suatu ketika dahulu apabila kita pernah mendakapi kuasa,” katanya sewaktu berucap di Majlis Makan Malam Jalinan Kasih 2016 Pertubuhan Alumni 4B Malaysia di Hotel Istana semalam.
Beliau berpendapat, jika dendam kesumat menjadi keutamaan dan melingkari sanubari serta pemikiran, maka ia akan menjejaskan keseluruhan organisasi.
“Kita khuatir apabila marahkan nyamuk, kelambu yang kita bakar. Apabila zaman kita dah berlalu dan jadi alumni, hormatlah yang ada sekarang.
“Sumbangan itu jangan nafikan, kita tak nafikan, tapi yang dah beri sumbangan harus akui mungkin yang sekarang telah sumbangkan lebih baik,” ujarnya lagi.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pemimpin yang dimaksudkan dalam ucapannya.
Terdahulu, Ahmad Zahid bersama anggota Pertubuhan Alumni 4B Malaysia menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lantang mengkritik kepimpinan Najib yang disusuli dengan tindakan beliau mengetuai kempen Deklarasi Rakyat untuk mendesak perdana menteri berundur.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/2514Iyb
Post a Comment